Skip to main content

Mencari Pendekatan Terbaik Menguruskan Kepelbagaian Bangsa dan Agama Keluarga Malaysia

Antara keunikan Malaysia ialah penduduknya yang berbilang bangsa dan agama. Sungguhpun demikian, mereka tetap hidup aman dan harmoni semenjak kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 1957 dan pembentukan Malaysia pada 1963. Walaupun terdapat beberapa insiden pergeseran akibat silap faham, semuanya dapat ditangani dan keharmonian terus dikecapi sehingga kini.

Selepas 64 tahun merdeka dan 58 tahun berada dalam sebuah keluarga besar ‘Malaysia’, pemimpin dan rakyat harus memandang ke hadapan agar nikmat perpaduan dapat diperkukuh dan dipertahankan. Kepelbagaian yang ada menuntut pengurusan masyarakat dengan penuh hikmah dan bijaksana. Secara umumnya, kepelbagaian di Malaysia dapat dibahagikan kepada dua bentuk iaitu; pertama, pelbagai bangsa dan budaya; dan kedua, pelbagai agama.

Beberapa proses integrasi telah diamalkan dalam pengurusan bangsa dan budaya yang berbeza di Malaysia. Antara yang lazim kelihatan ialah akomodasi dan asimilasi. Akomodasi ialah pendekatan integrasi berteraskan penyesuaian hidup bersama secara aman damai dan saling menghormati antara satu sama lain dalam keadaan mengekalkan identiti bangsa dan budaya sendiri. Manakala asimilasi pula ialah semangat perpaduan yang dibina berasaskan penyatuan antara bangsa yang berbeza untuk membentuk satu kelompok dengan identiti dan kebudayaan yang sama.

Di negara kita, pendekatan secara ‘autoriti’ dalam menguruskan perbezaan bangsa dan budaya ialah akomodasi. Identiti bangsa dan budaya asal kekal diamalkan dalam suasana harmoni. Di samping itu, integrasi juga berlaku secara sukarela sehingga ke tahap asimilasi kesan daripada interaksi sesama ahli keluarga Malaysia. Inilah mungkin acuan yang menjadi inti pati keharmonian negara sehingga kini. Dengan perubahan cara fikir dan peredaran zaman, sudah tentu penilaian kembali perlu dibuat terhadap pelbagai dasar dan pelaksanaan sepanjang kewujudan negara ini agar pendekatan yang diambil pada masa hadapan dapat memperkukuh keharmonian negara. 

Aspek yang kedua ialah menguruskan perbezaan agama. Dalam menguruskan perbezaan yang ada, pendekatan yang lebih berhati-hati perlu diambil kerana tahap sensitivitinya tinggi. Agama merupakan satu pegangan yang memandu penganutnya untuk hidup mengikut kepercayaan yang telah diajar. Sebahagian daripada ajarannya bersifat tetap dan tidak boleh diubah sesuka hati. Antara perkataan yang sering kali disebut dalam menguruskan perbezaan agama ialah toleransi dan hormat-menghormati. Walaupun begitu, penggunaan kedua-dua perkataan ini kebiasaannya dalam bentuk umum. Perincian tentangnya masih kurang dan kelihatan kabur.

Menurut Kamus Dewan, toleransi ialah sikap menghormati atau menerima pendapat orang lain yang berbeza daripada pendapat sendiri. Persoalannya, sejauh manakah sikap menghormati dan menerima pendapat yang berbeza dapat diamalkan dan bagaimana batasan yang perlu diawasi bagi menjaga pegangan agama seseorang. Sudah menjadi lumrah, penganut agama tertentu akan mempertahankan ajaran agamanya adalah yang paling benar. Jika seseorang berpendapat bahawa agama lain yang tidak dianutnya juga benar, barangkali terdapat masalah pada pegangan terhadap agama yang dianutinya.

Atas asas toleransi dan perpaduan, timbul juga pendekatan yang cenderung kepada fahaman pluralisme agama. Pluralisme agama ialah satu pendekatan yang mempromosikan idea setiap agama adalah sama, semuanya membawa kepada kebenaran. Apabila diteliti, pendekatan ini juga boleh membawa kepada ketidakharmonian apatah lagi kepada mereka yang mempertahankan kesucian ajaran agama yang dianutinya.

Dari sudut perundangan, Perlembagaan Malaysia telah menetapkan agama Islam sebagai agama persekutuan. Agama lain bebas diamalkan tetapi tertakluk kepada sekatan untuk dikembangkan kepada masyarakat Islam seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 3(1), 11(1) dan 11(4). Sebagai sebuah negara yang majoriti rakyat beragama Islam, di sebalik penggubalan peruntukan perlembagaan yang berkaitan agama ini tentu terkandung semangat toleransi dan perpaduan. Majoriti bertoleransi dan menghormati hak-hak minoriti dan begitulah sebaliknya dalam membentuk sebuah negara yang harmoni beracuankan Malaysia.

Sebagai agama persekutuan, Islam merupakan satu agama yang meraikan kepelbagaian. Ini jelas seperti yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dalam menguruskan kepelbagaian di Madinah. Ketika mula menyusun komuniti yang pelbagai dengan pegangan agama yang berbeza, Baginda SAW juga menekankan aspek penyatuan rakyat berasaskan peruntukan-peruntukan yang telah termaktub dalam Piagam Madinah. Di samping itu, Islam tidak mengukur kemuliaan seseorang berdasarkan bangsa. Ia juga tidak memaksa orang bukan Islam untuk masuk Islam. Walaupun begitu, Islam mempunyai ajaran yang tersendiri dan tidak membenarkan ajarannya dicampuradukkan dengan ajaran lain.

Pada pandangan penulis, dalam menyuburkan semangat toleransi beragama dalam kalangan keluarga Malaysia, konsep yang paling sesuai untuk dijadikan asas toleransi ialah setuju untuk tidak bersetuju (agree to disagree). Konsep ini menekankan pegangan bahawa agama yang dianuti itu adalah benar dan paling baik. Walau bagaimanapun, dalam masa yang sama perlulah menghormati pegangan penganut agama lain tanpa menafikan ruang buat pihak yang berbeza agama untuk berdialog dengan harmoni dalam memahami agama yang berbeza. 

Bagi memperincikan lagi semangat toleransi berasaskan konsep setuju untuk tidak bersetuju, beberapa garis panduan berikut dikemukakan iaitu pertama, setiap penganut agama hendaklah menyedari tentang ajaran dan kepercayaan agama masing-masing. Soal kepercayaan dan konsep ketuhanan tentulah berbeza dan sama sekali tidak dapat dikompromi dan disatukan. Kedua, pelbagai pihak harus menyedari dan mengakui hak dan tanggungjawab mengajar agamanya untuk penganutnya sendiri walaupun ajaran itu seperti menyinggung ajaran yang lain. Ketiga, pelbagai pihak hendaklah menghormati kepentingan pihak agama lain dalam melakukan amalan mengikut ajaran agama mereka. Keempat, bersikap adil dalam urusan harian iaitu seseorang tidak boleh didiskriminasi atas asas perbezaan agama.

Kesimpulannya, pengurusan kepelbagaian memerlukan pendekatan yang bersesuaian agar perpaduan dan keharmonian dapat diperkukuh dan dipertahankan. Dalam pengurusan kepelbagaian bangsa dan budaya, pendekatan akomodasi boleh digunakan di samping tidak dihalang berlakunya asimilasi secara sukarela. Dalam pengurusan agama pula, pendekatan toleransi berasaskan konsep setuju untuk tidak bersetuju seharusnya digunakan dalam menyuburkan semangat persefahaman terhadap kepelbagaian. Semoga rakyat Malaysia terus bersatu padu, hidup aman dan harmoni.

Dr. Tuan Sidek Bin Tuan Muda
Dr. Tuan Sidek Tuan Muda

Penulis ialah Pensyarah Kanan, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang (UMP).

e-mel    : sidek@ump.edu.my
 

Reports by:
Admin UMP News