Skip to main content

Minda lestari dalam pengurusan alam sekitar berteraskan maqasid syariah

Isu-isu berkaitan pencemaran alam sekitar terus diperkatakan dari semasa ke semasa. Terbaharu ialah perbuatan melepas dan melupus bahan buangan mengandungi bahan berbahaya ke Sungai Gong yang menyebabkan gangguan bekalan air kepada kira-kira lima juta pengguna di sekitar Lembah Klang. Sebelum ini, terdapat pelbagai kes pencemaran sungai yang memberi kesan secara langsung kepada kualiti kehidupan masyarakat seperti pencemaran sungai Kim-Kim pada awal 2019, pencemaran sungai Selangor pada pertengahan 2019 dan lain-lain lagi. Apa yang disebut di atas belum lagi dicampurkan dengan pelbagai isu alam sekitar lain seperti isu penggunaan dan pembuangan plastik, polisterin, pembuangan sampah, pembakaran terbuka, penebangan hutan, pembangunan yang tidak lestari, pembalakan haram, dan lain-lain aktiviti yang secara langsung atau tidak langsung boleh menjejaskan kelestarian alam sekitar.

Suatu yang harus diakui bersama, faktor utama berlakunya pencemaran dan pengurusan yang tidak lestari ialah manusia. Oleh itu, dalam usaha untuk menambah baik alam sekitar dan pengurusannya, terdapat keperluan kepada usaha yang bersungguh-sungguh untuk membina insan yang prihatin alam sekitar, faham, mengerti dan sedar bahawa pencemaran yang dilakukan atau pengurusan yang hanya mementingkan keuntungan jangka pendek untuk diri sendiri atau kelompok kecil boleh memberi kesan tidak baik kepada alam sekitar dan kehidupan termasuklah juga pihak yang melakukan perbuatan tersebut, keluarga dan keturunan mereka.

Bukanlah suatu tugas yang mudah untuk membina dan melahirkan insan mempunyai minda lestari, dapat memahami serta mengerti kepentingan kelestarian alam sekitar. Walau bagaimanapun, ia bukanlah suatu yang mustahil. Ia boleh diusahakan melalui penerapan dalam kurikulum dan kokurikulum pendidikan di peringkat rendah, menengah mahupun pengajian tinggi di samping melalui pelbagai kursus, kempen-kempen kesedaran, ceramah, kelas-kelas pengajian agama dan lain-lain.

Antara teras yang boleh digunakan dalam pembinaan minda lestari ialah kefahaman dan penghayatan terhadap konsep dan aplikasi maqasid syariah. Maqasid syariah atau objektif pensyariatan memberi penekanan kepada natijah akhir atau matlamat sesuatu tindakan tanpa mengabaikan kaedah atau cara yang diambil untuk sampai kepada matlamat. Dengan kata lain, penekanannya ialah penghasilan matlamat yang baik melalui kaedah yang baik dan betul. Matlamat daripada pensyariatan ialah untuk mendatangkan kebaikan (maslahat) dan menolak kemudaratan (mafsadah). Kebaikan dan keburukan diukur dengan panduan wahyu dan akal. Kebaikan yang ingin diperoleh dan dijaga hendaklah bersifat inklusif dan holistik. Begitulah juga keburukan yang hendak jauhi. Di samping itu, terdapat beberapa peringkat keutamaan kebaikan yang perlu didahulukan iaitu peringkat keperluan asasi (daruriyyat), peringkat keperluan (hajiyyat) dan peringkat penyempurnaan (tahsiniyyat). Pada peringkat keperluan asasi, terdapat lima peringkat penjagaan yang mesti diambil berat iaitu penjagaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

Alam sekitar mempunyai hubungan yang rapat dengan penjagaan nyawa, keturunan dan harta. Sekiranya ia tidak diurus dengan baik, kualiti kesihatan dan kehidupan boleh terjejas bahkan lebih parah lagi, ia boleh membawa kepada kematian. Antara kesan-kesan lain akibat daripada pengurusan yang tidak lestari ialah berlakunya bencana alam seperti banjir, tanah runtuh, pencemaran sungai, udara, laut, menjejaskan kesuburan janin dalam kandungan, menganggu pembesaran anak-anak, menjejaskan kualiti makanan dan lain-lain lagi yang bukan sahaja memberikan kesan kepada penjagaan nyawa, bahkan juga kepada penjagaan keturunan dan harta.

Oleh itu, dicadangkan agar masyarakat diberikan pendedahan tentang cara fikir berpandukan kepada penghayatan terhadap maqasid syariah iaitu dengan menjadikan matlamat mendatangkan kebaikan dan menolak kemudaratan sebagai asas dalam membuat keputusan dan tindakan. Masyarakat didedah dan dilatih untuk mempraktikkan minda berfikir dan menilai sebelum bertindak.  Menilai dari sudut kesan jangka pendek dan jangka panjang kepada diri, masyarakat, kehidupan dan alam dalam kerangka matlamat mendatangkan kebaikan dan menolak kemudaratan bagi menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta di samping kemampuan untuk memilih keutamaan.

Pembinaan minda sebegini bukanlah suatu yang mudah kerana manusia juga dihiasi dengan sifat tamak, sombong dan mengutamakan diri sendiri. Walau bagaimanapun, dengan kesungguhan semua pihak bermula daripada pendidikan di peringkat rendah, usaha ini kemungkinan akan berjaya. Sekiranya berjaya, pencemaran dapat dikurang atau dihapuskan. Alam sekitar juga terjaga dan dapat dinikmati oleh ahli masyarakat dan generasi seterusnya. Suatu yang lebih indah ialah punca utama kelestarian yang terhasil bukanlah daripada ketegasan penguatkuasaan undang-undang, tetapi ia berlaku secara sukarela hasil daripada kesedaran ahli masyarkat yang telah terdidik dengan kepentingan penjagaan alam sekitar lestari kerana mereka memahami, mengerti dan menghayati matlamat mendatangkan kebaikan dan menolak kemudaratan dalam setiap tindakan mereka.

Minda lestari dalam pengurusan alam sekitar berteraskan maqasid syariah

 
Penulis ialah Pensyarah Kanan, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang (UMP).
Disediakan Oleh: Dr. Tuan Sidek Tuan Muda
e-mel: sidek@ump.edu.my

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Admin UMP News