Skip to main content

Pendidikan Hingga Ke Menara Gading: Dipandang Sepi atau Kekal Relevan?

Setelah keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diumumkan baru-baru ini, gegak gempita sekali lagi isu pendidikan sehingga ke menara gading yang dikatakan sudah tidak relevan dan tidak menjanjikan masa depan yang cerah. Anak-anak dan ibu bapa disajikan dengan kisah bagaimana seseorang itu mampu menjadi jutawan walaupun tidak mempunyai kelulusan, hatta tidak menghabiskan pengajian peringkat sekolah menengah mahupun universiti. Momokan sebegini ketika era maklumat tanpa batas dan media sosial di hujung jari, mencetus sebuah pemikiran dan persepsi bahawa pendidikan bukan lagi suatu jambatan untuk hidup lebih selesa mahupun gerbang masa hadapan yang cerah. Natijahnya, kewujudan dan fungsi institusi pendidikan tinggi seperti universiti, kolej, politeknik dan seumpamanya kini diganggu-gugat. Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang semakin hilang fungsi atau masyarakat yang salah dalam mendefinisikan?

Realiti dan Cabaran Bakal Graduan

IPT berdepan cabaran hebat, tugas melahirkan graduan yang bersahsiah tinggi, berkemahiran dalam bidang kritikal di samping mempunyai nilai-nilai kompetitif yang dikehendaki oleh setiap pemain industri. Namun, masyarakat termasuk pelajar sendiri mendambakan acuan-acuan ini berupaya menghasilkan satu hasil dengan kadar yang segera dan menghasilkan pendapatan lumayan. Apabila isu pendapatan lumayan menjadi kiblat, maka kursus-kursus seperti kejuruteraan kian dipandang sepi, hatta para pelajar mengambil keputusan untuk tidak melanjutkan pengajian. Lebih baik menjadi pempengaruh media sosial ataupun berdagang saham daripada menghabiskan empat tahun pengajian untuk segulung ijazah yang belum tentu menjanjikan kerja dan gaji yang lumayan.

Harus diakui bahawa isu bayaran tidak setimpal kepada graduan merupakan permasalahan rumit yang masih belum mampu diselesaikan. Masyarakat perlu sedar bahawa masih ada graduan yang sanggup menempuh hakikat yang sukar ini. Berdasarkan pengalaman saya dan rakan-rakan lain sebagai penilai bersama latihan industri dan kajian kobolehpasaran graduan, ada pelajar yang sanggup menerima gaji yang rendah sebagai pemula kerjaya kerana mereka mahu menimba pengalaman dan kepakaran terlebih dahulu. Ada juga bekas graduan yang baharu mendapat pekerjaan tetap dengan gaji yang stabil setelah bertahun-tahun di lapangan. Perkara ini bukanlah suatu justifikasi bahawa gaji rendah itu suatu realiti yang perlu menjadi kebiasaan, namun daya tahan, semangat dan kecekalan yang dimiliki oleh para graduan ini lebih layak terpampang di media-media am serta menjadi buah mulut masyarakat. Hakikat ini juga memberi mesej jelas pada pemain industri, mereka masih mempunyai sumber manusia yang berkualiti, yang perlu diberikan masa dan peluang untuk menjadi sumber tenaga mahir berkemahiran tinggi. Jikalau mereka dihimpit berterusan dengan isu gaji, bukankah industri itu sendiri yang bakal menanggung kerugian kerana ketandusan pekerja?

Inisiatif Institut Pengajian Tinggi

IPT sentiasa berusaha untuk melahirkan graduan yang berdaya saing dan mendapat tempat di industri. Selain merangka struktur kurikulum yang menekankan kemahiran penggunaan teknologi dan aplikasi moden, kaedah pengajian secara work-based learning juga telah diterapkan. Para pelajar diberi pendedahan awal terlibat dengan industri semasa tempoh pengajian. Perdana Menteri juga telah mengumumkan Hari Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara diisytiharkan pada 2 Jun, sebagai usaha meneruskan pemerkasaan bidang kemahiran sebagai salah satu daripada 14 pemacu perubahan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12). Kerajaan juga menyasarkan sekurang-kurangnya 55 peratus pelajar lepasan SPM melanjutkan pengajian dalam program TVET menjelang 2025, seperti ditetapkan dalam RMK-12.

Selain itu, IPT juga menyambut positif program pembangunan keusahawanan melalui Pelan Tindakan Keusahawanan Institusi Pengajian Tinggi 2021-2025. Usaha sebegini memberi pendedahan kepada bakal graduan untuk terlibat dengan aktiviti keusahawanan ketika dalam pengajian. Ia sekali gus membuka peluang kepada para pelajar yang mahu mencebur diri menjadi usahawan pakar dalam bidang setelah berijazah. Ada bekas graduan yang telah berjaya memiliki perusahaan sendiri, mencipta peluang pekerjaan kepada komuniti setempat bahkan ada yang telah menjalinkan kerjasama dengan industri untuk pembangunan dan penghasilan produk serta penawaran servis. 

Pembentukan sahsiah, suri teladan, daya kepimpinan, dan komunikasi serta kerja dalam pasukan merupakan kemahiran yang sering diabaikan, apabila kita meletakkan gred mata pelajaran sebagai tanda aras mutlak berjayanya seorang pelajar. Di sinilah, IPT memainkan peranan untuk melahirkan graduan yang seimbang, bahkan cemerlang dalam kemahiran teknikal dan juga kemahiran insaniah. Para pelajar memperoleh peluang membina kemahiran insaniah melalui aktiviti-aktiviti sama ada tugasan berkumpulan, khidmat komuniti, mahupun pertandingan yang dianjurkan pada peringkat universiti atau nasional. Percaya ataupun tidak, industri-industri pada peringkat nasional mahupun antarabangsa juga telah meletakkan kemahiran insaniah sebagai kriteria utama penawaran kerja. 

Tugas Membangunkan Manusia

Akhir kalam, penulis ingin mengajak pembaca, tidak kira para pelajar, ibu bapa mahupun masyarakat berfikir, adakah gaji yang tinggi, kehidupan yang mewah itu menjadi asbab kita meneruskan dan menyokong agenda pendidikan? Bagaimana dengan kewajipan untuk melahirkan generasi berilmu yang menyumbang untuk masyarakat? Harus diakui, di kala masyarakat dihimpit tekanan ekonomi dan kesempitan hidup, gagasan ini terlalu idealistik untuk dicapai. Namun, membiarkan dibuai dengan minda dan tindakan materialistik bukanlah sesuatu yang boleh dipandang sepi oleh warga pendidik.

Pesan buat masyarakat, kita punya bakal jurutera, doktor, juruteknik dan segala tenaga mahir yang bakal dilahirkan. Jangan dibunuh jiwa mereka ini dengan perlumbaan mengejar wang dan keselesaan pantas. Mereka ini yang kita takut-takutkan dengan peluang pekerjaan, gaji tidak lumayan, kesempitan hidup, mereka ini adi wira yang bakal memimpin generasi masa hadapan, yang bakal kita tinggalkan.

Persoalan apakah menara gading itu kekal relevan atau tidak, ia akan senantiasa menjadi topik panas setiap kali keputusan peperiksaan besar seperti SPM dikeluarkan.

Buat sang pendidik, tugas kita adalah membina manusia. Silibus, pendekatan, kaedah hatta teknologi akan senantiasa berubah. Keikhlasan dan keluhuran hati mendidik anak bangsa akan terus mekar dalam sosok seorang pendidik. Buat para pelajar, pencarian ilmu itu pasti ada lelah dan sukar sepanjang perjalanan. Jalan ilmu ini tidak menjanjikan hamparan wang mahupun kemasyhuran. Tugas membina manusia dan tamadun tidak akan pernah selesai. Kepada bakal pelajar, kami nantikan anda di menari gading!

Ts. Dr. Abdul Nasir Abd. Ghafar
Ts. Dr. Abdul Nasir Abd. Ghafar

Penulis ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), Universiti Malaysia Pahang (UMP). 
e-mel:  abdnasir@ump.edu.my

Reports by:
Admin UMP News