Skip to main content
Perpustakaan UMP

Perpustakaan UMP beri perkhidmatan terbaik dalam norma baharu

Berdepan dengan wabak pandemik COVID-19 dalam jangka masa panjang bukanlah sesuatu yang mudah. Apatah lagi ia terkesan di seluruh dunia. Tidak terkecuali, perkhidmatan yang ditawarkan oleh sektor awam juga perlu disesuaikan dengan norma baharu. 
Perpustakaan akademik berdepan dengan cabaran apabila pengguna mereka khususnya pelajar menjalani pembelajaran di rumah. Semua perkhidmatan yang ditawarkan oleh jabatan di universiti perlu selari dengan pembelajaran dalam talian dan pembelajaran jarak jauh. 
Perpustakaan UMP juga sedaya upaya berusaha agar pengguna tidak lumpuh dalam mendapat perkhidmatan bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran dan penyelidikan. Sejak Mac yang lalu, beberapa perubahan dan pertambahan perkhidmatan diwujudkan bagi membantu sesi pengguna. Antaranya:
a.    LiveChat,
b.    Kelas pendidikan pengguna dalam talian,
c.    Perkhidmatan bahan yang diimbas,
d.    Akses teks penuh PSM dan tesis di eColLIB melalui ezproxy,
e.    Pinjaman jangka panjang,
f.    Pembekuan denda,
g.    Zon ambil dan letak buku, dan
h.    Perubahan waktu perkhidmatan.

a.    LiveChat
LiveChat merupakan perkhidmatan pertanyaan dalam talian menggunakan portal Perpustakaan. Pengguna sama ada warga UMP atau orang luar boleh mengajukan pertanyaan menggunakan platform ini. Pustakawan akan bertugas mengikut jadual bermula jam 9 pagi hingga 4 petang. LiveChat ini akan diteruskan walaupun selepas pandemik dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sebagai saluran untuk memberi maklum balas pantas kepada warga maya.
 

Paparan Live Chat

                                                       Paparan LiveChat di portal Perpustakaan

b.    Kelas pendidikan pengguna dalam talian 

Sebelum pandemik COVID-19 melanda, kelas dalam talian diadakan sekiranya penceramah tidak dapat berada di lokasi yang ditetapkan. Namun, sejak Mac yang lalu semua kelas pendidikan pengguna diadakan secara dalam talian. Bukan sekadar mengikut jadual yang ditetapkan, pengguna boleh memohon tarikh yang sesuai dengan kelapangan masa mereka.

c.    Perkhidmatan bahan yang diimbas

Pengguna yang amat memerlukan bahan bercetak mengikut bab atau muka surat boleh memaklumkan kepada pustakawan di Seksyen Pendidikan dan Penyelidikan. Perkhidmatan ini disediakan kerana tidak semua pengguna berada di negeri Pahang yang membolehkan mereka membuat peminjaman bahan fizikal. Bahan fizikal tersebut akan diimbas oleh staf dan akan di-e-melkan kepada pengguna. Perkhidmatan ini terhad kepada beberapa bab atau muka surat yang diperlukan sahaja. 

d.    Akses teks penuh PSM dan tesis di eColLIB melalui EzProxy
Electronic Collection Library (eColLIB) sebelum ini dihadkan akses di dalam bangunan Perpustakaan sahaja. Tetapi sejak pandemik melanda, ia boleh diakses dari luar melalui EzProxy (http://ezproxy.ump.edu.my). Kebiasaannya, pengguna mengakses teks penuh Projek Sarjana Muda (PSM) dan tesis di ecolLIB. 

Paparan eCoILIBPaparan eCoILIB

                                                                          Paparan eColLIB

e.    Pinjaman jangka panjang 

Jangan risau apabila membawa balik bahan yang dipinjam ke kampung halaman. Pengguna boleh memohon pinjaman jangka panjang bagi mengelakkan peminjam menerima notis pemulangan dan juga bayaran denda.

f.    Pembekuan denda

Menyedari ramai pengguna yang terperangkap di kampung halaman atau di luar kawasan, Perpustakaan telah memohon dengan pihak pengurusan universiti untuk membekukan bayaran denda. Ia memberi kelegaan kepada peminjam apabila tiada denda dikenakan walaupun tempoh peminjaman telah tamat. Tanggungjawab peminjam adalah memastikan bahan yang dipinjam dijaga dengan baik.

g.    Zon ambil dan letak buku

Pengguna yang ingin memulangkan buku dan juga meminjam buku boleh melakukannya di pintu masuk Perpustakaan tanpa perlu ke kaunter. Troli disediakan di pintu masuk perpustakaan. Pengguna boleh meletakkan bahan yang ingin dipulangkan ke dalam troli yang disediakan.

Bagi membuat peminjaman buku, pengguna hanya perlu menghantar mesej melalui WhatsApp kepada staf yang bertugas dengan memberikan butiran peminjam. Setelah buku tersedia, pengguna boleh mengambilnya di meja yang disediakan. Perkhidmatan ini disediakan sepanjang Mei hingga Ogos. Setelah Perpustakaan dibuka sepenuhnya kepada pengguna, mereka boleh meminjam dan memulangkan buku di kios yang disediakan di dalam Perpustakaan.

h.    Perubahan waktu perkhidmatan

Waktu operasi Perpustakaan sehingga Disember 2020 telah disingkatkan sehingga jam 5 petang sahaja. Namun begitu, semasa musim peperiksaan, Perpustakaan dibuka hingga jam 10 malam bagi memberi peluang pelajar yang berada di sekitar kampus untuk mengulang kaji di tempat yang selesa dan sesuai.

Siti Aishah

Penulis ialah Timbalan Ketua Pustakawan, Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang (UMP),

Disediakan oleh: Siti Aishah Ghani, Perpustakaan UMP

Reports by:
Admin UMP News