Skip to main content

Prinsip Kedaulatan dalam Falsafah Perlembagaan

Kedaulatan dalam takrifan popular ialah kuasa agung di dalam sebuah wilayah. Wan Ahmad Fauzi (2018) mentakrifkan kedaulatan sebagai penguasa agung yang memiliki hak mutlak untuk menetapkan sistem politik, undang-undang dan prinsip perundangan serta berkuasa untuk mendelegat kuasa penggubalan undang-undang kepada entiti lain tanpa memprejudiskan hak mutlaknya itu. Undang-undang yang digubal dalam ruang lingkup yang ditentukan oleh penguasa agung adalah sah untuk mencorakkan sistem politik dan undang-undang sesebuah kerajaan atau negara. Undang-undang yang digubal oleh badan perundangan berkompeten boleh dikuatkuasakan sejauh mana gubalannya tidak bercanggah dengan ciri-ciri kedaulatan kerajaan atau negara itu.

Falsafah Perlembagaan pula bermaksud kerangka pemikiran yang menjelaskan hakikat ciri-ciri kerajaan atau kenegaraan berlandaskan jurispruden watannya. Terdapat dua buah kerangka pemikiran yang mentakrifkan kedaulatan dari aspek epistemologi, iaitu Kontinum (continuum) dan Dikotomi (dichotomy). Berpaksi pada dua buah kerangka itu maka lahirlah berbagai-bagai pandangan dan mazhab dalam pentafsiran prinsip undang-undang termasuklah sistem perlembagaan sesebuah negara berdaulat. Dua buah kerangka tersebut juga melahirkan ilmu jurisprudens yang menyoroti isu-isu perundangan dan undang-undang.
 
Takrifan

Black’s Law Dictionary (1990) menggariskan tiga ciri utama kedaulatan, iaitu; pertama, kuasa pemerintahan agung, mutlak dan tidak terkawal lagi bebas, daripadanya punca segala kuasa politik (pemerintahan), pengawal agung kepada perlembagaan dan kerangka kerajaan. Kedua, kuasa itu menjadikan sesebuah negeri itu bebas merdeka, memiliki kebebasan pada peringkat antarabangsa bersama-sama dengan hak dan kuasa untuk mengatur urusan dalam negeri tanpa telunjuk asing. Ketiga, kuasa itu membolehkan sebuah kerajaan atau negeri itu untuk melaksana dan menguatkuasakan undang-undang, untuk mengena dan mengutip cukai dan hasil, untuk berperang atau berdamai, untuk mengikat perjanjian persahabatan atau perdagangan dengan bangsa-bangsa asing dan seumpamanya.

Bouvier (1856) mentakrifkan kedaulatan itu ialah kuasa agung yang dimiliki oleh rakyat dan mereka mendelegatkan kuasa agung itu kepada pemerintah. Sebuah negeri berdaulat menurut Bouvier’s Law Dictionary hendaklah boleh memerintah sendiri, bebas daripada kuasa asing. Kedaulatan itu berada dalam badan sesebuah negara dan merupakan milik rakyat yang dilaksanakan secara delegasi. Delegasi itu lazimnya berlaku dalam tiga cabang kuasa iaitu perundangan, eksekutif dan kehakiman. Tiga cabang kuasa itu dihuraikan sebagai kuasa untuk membuat undang-undang baharu, untuk membetul dan memansuhkan yang lama; kuasa untuk melaksanakan undang-undang di dalam dan luar negara, dan ketiga pula kuasa untuk gunapakai undang-undang tersebut berdasarkan fakta-fakta tertentu bagi maksud untuk mengadili pertikaian antara warganegara, dan untuk menghukum penjenayah.

Awashi mentakrifkan kedaulatan sebagai kuasa tertinggi yang mentadbirkan badan politik, membentuk sebuah negeri dalam keadaan mutlak dan tidak terkawal dalam ruang tersendiri. Dari sudut dalaman, kedaulatan itu membataskan kebebasan peribadi dengan kawalan sosial dalam bentuk undang-undang, atau melindungi kebebasan peribadi terhadap kawalan sosial di luar kerangka undang-undangnya; menghalang dan menghukum kesalahan; melindungi dan menguatkuasakan hak-hak; mengekalkan undang-undang, ketenteraman dan pelaksanaan fungsi-fungsi tertentu lain. Kuasa berdaulat datang daripada rakyat; sesiapa yang melaksanakan kuasa dalam sebuah negeri itu tidaklah lain melainkan kuasa itu bersumber daripada atau didelegat oleh rakyat (Aiyar 1995).

Takrifan-takrifan yang dikemukakan oleh Bouvier mahupun Awashi merupakan pemikiran popular dalam kalangan sarjana sains politik Barat seperti John Locke (1632-1704) yang mempengaruhi Voltaire (1694-1778) dan Rosseau (1712-1778) melalui gagasan teori kontrak sosial. Teori kontrak sosial meletakkan kehendak majoriti rakyat mengatasi hukum hakam dan prinsip perundangan wahyu Tuhan. Istilah ‘kontrak sosial’ masih dipopularkan sehingga hari ini walaupun dari satu sudut, prinsipnya kini dijelmakan dalam istilah ‘demokrasi’ yang cuba mengabsahkan ketuanan rakyat untuk mencipta undang-undang dan prinsip perundangan secara bebas lagi mutlak.

Pada hakikatnya, tidak semua negara pada hari ini berpegang pada prinsip kontrak sosial atau demokrasi sebagai prinsip kedaulatannya.  Dalam kes N. A. Khan versus Province of Sindh PLD 1977 Kar 606, diputuskan bahawa deklarasi yang terkandung di dalam mukadimah Perlembagaan Pakistan menunjukkan 'kedaulatan' ke atas seluruh alam semesta dimiliki oleh Allah SWT yang Maha Besar sahaja, bukan manusia. Prinsip kedaulatan itu menetapkan bahawa kuasa yang boleh dilaksanakan oleh orang-orang Pakistan ditetapkan oleh Allah SWT dalam lingkungan had dan merupakan amanah suci (M. Iiyas Khan, 1995). 

Takrifan bahawa kedaulatan itu milik Allah SWT berbeza dengan teori yang dikemukakan oleh sarjana-sarjana Barat seperti John Locke, Voltaire dan Rosseau. Kedaulatan milik Allah SWT tidak hanya diperuntukkan dalam Perlembagaan Pakistan, bahkan negara-negara lain seperti Kerajaan Arab Saudi. Itu menunjukkan bahawa kedaulatan milik Allah SWT merupakan satu konsep yang menjadi pegangan negara dalam dunia sehingga hari ini. 

Kerangka Kontinuum
Kerangka Kontinuum bermaksud fahaman berbingkai pegangan pada ajaran Islam yang dibawa sejak Nabi Adam as sehinggalah Nabi Muhammad SAW; terasas pada ad-Din yang sama walaupun terdapat perbezaan antara syariat-syariat di sepanjang zaman seperti terkandung dalam wahyu-wahyu kepada para rasul dan nabi utusan Allah SWT. Kerangka itu dinamakan Kontinum kerana istilahnya diambil daripada perkataan ‘continuum’. ‘Continuum’ secara umumnya bermaksud sesuatu yang mengalami proses evolusi secara berlapis tanpa ada pemisahan yang jelas, walaupun dari pangkal permulaan dengan hujungnya, kelihatan ada perbezaan. Pada sisi ajaran Islam, fahaman Kontinuum lebih mudah dijelaskan sekiranya dirujuk kepada petikan ayat al-Qur’an dalam Surah al-Syura 42:13 yang bermaksud:

Allah telah mensyarakkan kepada kamu di antara perkara-perkara agama, apa yang telah diperintahkanNya kepada Nabi Nuh dan yang telah Kami (Allah) wahyukan kepadamu (wahai Muhammad) dan juga yang telah Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Musa serta Nabi Isa, iaitu: Tegakkanlah agama dan janganlah kamu berpecah belah atau berselisihan pada dasarnya, berat bagi orang-orang musyrik (untuk menerima agama tauhid) yang engkau seru mereka kepadanya. Allah memilih serta melorongkan sesiapa yang dikehendaki-Nya untuk menerima agama (tauhid itu) dan memberi hidayat petunjuk kepada agama-Nya itu sesiapa yang kembali kepada-Nya (dengan taat).

Kerangka Dikotomi
Kerangka Dikotomi dibina daripada istilah ‘dichotomy’. Dikotomi menurut Horby (2007) bermaksud pemisahan atau antara dua kumpulan atau sesuatu yang berlawanan; berbeza sepenuhnya. Pada sisi ajaran Islam, fahaman Dikotomi bermula apabila kedaulatan milik mutlak Allah SWT seperti terkandung dalam ajaran Islam sejak Nabi Adam as, dipindahkan kepada manusia. Oleh yang demikian, kerangka Dikotomi adalah berlawanan dengan Kontinuum yang kini mendasari teori demokrasi Barat.

Dalam pemikiran sarjana Barat misalnya, Bodin (1529-1596) berpandangan sungguhpun kedaulatan itu terletak pada rakyat namun mereka masih terikat dengan undang-undang semula jadi termasuklah undang-undang Tuhan. Namun begitu pemikir-pemikir selepasnya seperti Rosseau meletakkan kuasa mutlak kepada kehendak majoriti rakyat untuk menentukan cara hidup mereka sendiri, walaupun bercanggah dengan nilai-nilai keagamaan. 

Kemajuan ilmu yang dicapai semasa zaman ‘the age of enlightenment’ pada kurun ke-18 menuntut setiap perkara dibuktikan secara ‘scientific’ sehingga lahir faham ‘positivism’ yang menolak wahyu-wahyu Tuhan dan ajaran gereja. ‘Positivism’ ialah falsafah yang hanya menerima kesahan sesuatu setelah disahkan secara saintifik, proses undang-undang, atau dibuktikan secara logik akal atau matematik. Lantaran itu, fahaman bercirikan metafizik dan ketuhanan ditolak. Akibatnya, kebanyakan masyarakat di Barat tidak lagi berpegang pada nilai-nilai yang ditetapkan oleh agama, sebaliknya berpegang pada doktrin relativism. ‘Relativism’ mengabsahkan suatu kebenaran berasaskan pada individu dan masyarakat setempat tanpa nilai-nilai yang tetap. Maka tidak hairan LGBT dan perkahwinan sejenis diabsahkan oleh beberapa negara dan jumlahnya semakin bertambah. 

Pengaruh Teori Kedaulatan
Secara umumnya, takrifan kuasa kedaulatan berpaksi pada sumber tertinggi atau kuasa penguasa agung yang memiliki hak mutlak untuk menetapkan sistem politik, undang-undang dan prinsip perundangan. Penguasa agung berkuasa untuk mengabsahkan keluhuran suatu undang-undang dan mendelegat kuasa penggubalan undang-undang kepada entiti lain tanpa memprejudiskan hak mutlaknya. Undang-undang yang diabsahkan melalui hak mutlak penguasa agung itu berkuasa untuk mencorakkan sistem politik dan prinsip perundangan sesebuah kerajaan atau negara. Undang-undang itu boleh dikuatkuasakan dalam kerangka undang-undang tempatan sesebuah kerajaan atau negara kerana kepatuhan kepadanya merupakan perintah daripada pihak yang paling berkuasa.

Konsep sama ada kedaulatan itu milik Allah SWT atau rakyat dalam kerangka undang-undang bergantung pada peruntukan perlembagaan yang dijunjung oleh sesebuah negara. Kedaulatan itu penting kerana sebuah negara tidak akan wujud tanpanya. Pada hari ini kedaulatan secara umumnya ditanggapi oleh manusia dalam empat konsep atau teori berikut iaitu;

1.    Ketuhanan;
2.    Khalifah;
3.    Ketuanan; dan
4.    Komuniti.

Teori ketuhanan bermaksud sumber kuasa perundangan dan prinsip perundangan ditetapkan oleh Tuhan. Teori ketuanan dari perspektif Barat meletakkan paderi atau raja berkuasa seperti tuhan lantaran boleh menggubal undang-undang secara mutlak atas nama kuasa ketuhanan.  Sebaliknya, ajaran Islam meletakkan pemerintah suatu negara sama ada bergelar raja, presiden, perdana menteri atau apa jua pangkat utama sebagai pemegang amanah yang tidak berkuasa mutlak. Istilah yang tepat bagi kuasa tidak bertulis pemerintah ialah prerogatif. Istilah prerogatif lebih tepat kerana prerogatif itu bergantung pada prinsip kedaulatan yang dijunjung oleh sesebuah kerajaan. Prinsip kedaulatan itu dipengaruhi oleh dua buah kerangka kedaulatan yang dijelaskan sebelum ini, sama ada Kontinum atau Dikotomi.

Khalifah bermaksud orang yang diamanahkan untuk menjaga agama dan melaksanakan pemerintahan berdasarkan ajaran agama. Menurut ajaran Islam, setiap manusia merupakan khalifah namun begitu besar atau kecil tanggungjawab seseorang itu bergantung pada kedudukan masing-masing. Makin tinggi pangkat kedudukan individu itu maka semakin besar tugas yang diamanahkan kepadanya. Misalnya, seorang raja bertanggungjawab untuk menjaga kemaslahatan rakyat dan negaranya. Dari sudut yang paling nominal, seorang individu merupakan khalifah bagi dirinya sendiri iaitu bertanggungjawab untuk menjaga agama dan mengawal diri sendiri agar sentiasa mentaati ajaran agama.   Jika individu itu menjadi ketua keluarga maka tanggungjawabnya menjadi lebih besar kerana merangkumi setiap ahli keluarganya. Dalam sistem politik Islam, seorang pemerintah hendaklah berpegang pada prinsip-prinsip atau memiliki ciri-ciri berikut iaitu;

1.    pemegang amanah kepada kedaulatan milik Allah SWT;
2.    penyeru kepada kebaikan dan pencegah nilai-nilai yang bertentangan dengan fitrah manusia;
3.    Prihatin kepada kesejahteraan rakyat melalui penggubalan polisi dan pelaksanaannya yang mampu mencegah kemudaratan kepada negara.;
4.    Bertanggungjawab kerana setiap tindak-tanduknya boleh dipersoalkan bukan sahaja oleh Allah SWT di akhirat kelak bahkan oleh rakyatnya; dan
5.    Beriman kepada ajaran agama kerana seorang pemerintah mesti berpegang kepada ajaran Islam untuk memastikannya tidak tergelincir daripada amanah yang dipikul sehingga bertindak zalim dalam sebarang keputusan dan tingkah laku.    

Sebagai tambahan, seorang pemerintah di sisi ajaran Islam hendaklah mengamalkan syura (perundingan) ketika membuat keputusan penting atau polisi negara termasuklah penggubalan undang-undang. Undang-undang hendaklah berlandaskan prinsip perundangan Islam dan dikuatkuasakan melalui sistem politik yang pada setiap masa mengutamakan keadilan. Prinsip tersebut menunjukkan bahawa fungsi kedaulatan sebenar dilaksanakan secara bersama-sama oleh sekumpulan orang, bukan seorang individu sahaja. Namun tidak dinafikan dalam kumpulan itu perlu dilantik seorang sebagai ketua negara seperti amalan Rasulullah SAW. Seorang pemerintah perlu dibai’ahkan mengikut keadaan yang sesuai dengan adat suatu masyarakat. Cara pemilihannya bergantung juga pada adat dalam sesebuah kerajaan atau menurut perlembagaannya, sama ada ditunjukkan, diwasiatkan atau melalui proses pemilihan.

Kedaulatan berteorikan komuniti berlandaskan kontrak sosial yang disepakati rakyat untuk melahirkan kerajaan monarki, republik, sosialis, komunis atau demokrasi tanpa tertakluk pada ajaran agama. Perlu dibezakan demokrasi Barat dengan sistem politik yang diamalkan di Malaysia yang merupakan evolusi amalan syura warisan Melayu bersumberkan ajaran Islam dalam konteks pemilihan ahli dewan perundangan dan penentuan suatu keputusan. Hal ini kerana sistem demokrasi di Malaysia tidak mutlak di tangan ahli dewan perundangan malah kesemuanya itu tertakluk pada prinsip keluhuran Perlembagaan Persekutuan. 

Kepentingan kedaulatan dalam sistem politik tidak dapat dinafikan oleh sesiapa kerana pematuhan kepada prinsip kedaulatan itu menentukan kedaulatan undang-undang. Kerangka Kontinum mentakrifkan kedaulatan suatu undang-undang jika sumber perundangan itu daripada Tuhan dan mematuhi prinsip perundangan yang ditetapkan-Nya. Kerangka tersebut menuntut pentafsiran undang-undang hendaklah sentiasa berada dalam orbit patuh syariah atau ruang lingkup patuh undang-undang Tuhan. Justeru, pentafsiran peruntukan perlembagaan dan undang-undang hendaklah dilandaskan juga dengan sumber rujukan agama, bagi umat Islam pastinya al-Quran dan al-Sunah.

Berbeza pula dengan kerangka Dikotomi kerana ahli dewan perundangan yang dipilih oleh rakyat berkuasa menggubal apa sahaja mengikut aspirasi rakyat sesebuah negara. Kedaulatan undang-undang dalam kerangka ini mensyaratkan penggubalan undang-undang disempurnakan mengikut proses perundangan yang ditetapkan, tidak tertakluk pada pematuhan kepada ajaran agama.

Ringkasnya, kedaulatan itu saling berkait dengan falsafah Perlembagaan dan mempunyai implikasi ke atas sistem politik dan prinsip perundangan sekaligus membentuk sistem politik mengikut acuannya, sama ada mendokong teori ketuhanan dan pemerintahan berkonsepkan khalifah, atau suatu sistem yang bertuankan pemerintah, atau komuniti (rakyat) itulah kuasa tertinggi yang menentukan segala-galanya. 

Prinsip Kedaulatan dalam Falsafah Perlembagaan

Penulis ialah pengasas Jurisprudens Watan merangka Pengarah Institut Tamadun dan Kajian Strategik (ITKAS), Pejabat Naib Canselor dan Pensyarah, Fakulti Pengurusan Industri, Universiti Malaysia Pahang (UMP).Oleh    : Profesor Madya Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain
e-mel    : wanfauzi@ump.edu.my

Reports by:
Admin UMP News