Skip to main content

Sekolah Wawasan: Pemangkin atau Pemusnah Perpaduan?

Pengenalan

Sekolah Wawasan merupakan sejenis sekolah integrasi yang menempatkan beberapa buah sekolah yang berbeza aliran di dalam satu kawasan yang sama. Sekolah Wawasan ini telah diluluskan dalam kabinet pada tahun 1997. Dalam konsep ini, Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina SJK(C) dan juga Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil SJK(T) akan ditempatkan dalam satu kompleks sekolah yang sama. Setiap murid daripada sekolah-sekolah tersebut akan berkongsi kemudahan dan prasarana sekolah seperti padang, kantin dan koperasi sekolah yang sama. Dalam pelaksanaan Kertas Konsep dan pelaksanaan Sekolah Wawasan, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah menyenaraikan empat matlamat Sekolah Wawasan iaitu:

  1. Untuk mewujudkan perpaduan dalam kalangan murid-murid yang berbagai-bagai bangsa dan latar belakang;
  2. Untuk memupuk semangat integrasi antara murid dari pelbagai aliran;
  3. Untuk melahirkan generasi yang mempunyai sifat toleransi dan persefahaman yang tinggi demi mewujudkan sebuah negara yangbersatu padu; dan
  4. Untuk menggalakkan interaksi yang maksimum antara semua warga sekolah melalui perkongsian kemudahan sekolah dan pelaksanaan aktiviti-aktiviti lain di sekolah.

Justeru, secara umumnya, konsep Sekolah Wawasan ialah usaha untuk melahirkan anak bangsa Malaysia yang lebih bersifat cintakan negara dengan menyatukan sekolah di dalam satu sistem pendidikan yang seragam yang dahulunya terasing antara satu sama lain bagi mewujudkan sat pertembungan etnik dalam satu ruang yang sama. Sehingga kini, terdapat kira-kira lima buah kompleks sekolah wawasan yang telah beroperasi dengan jayanya iaitu:

  1. Kompleks Sekolah Wawasan Pekan Baru, Parit Buntar,  Perak Darul Ridzuan;
  2. Kompleks Sekolah Wawasan Taman Aman, Alor Setar,  Kedah Darul Aman;
  3. Kompleks Sekolah Wawasan Tasik Permai, Pulau Pinang;
  4. Kompleks Sekolah Wawasan USJ 15, Subang Jaya, Selangor Darul Ehsan; dan
  5. Kompleks Sekolah Wawasan Pundut, Seri Manjung, Perak.

Persepsi Kaum Terhadap Sekolah Wawasan

Bagi masyarakat Cina dan India, terdapat beberapa isu yang telah diutarakan oleh mereka dalam pembentukan Sekolah Wawasan. Antaranya, terdapat segelintir daripada masyarakat Cina menolak pembentukan Sekolah Wawasan kerana mereka berpendapat bahawasa sekolah wawasan ini akan menyebabkan identiti SJK(C) terjejas. Malah, bukan itu sahaja, mereka juga menganggap kewujudan Sekolah Wawasan ini akan mewujudkan ketidakserasian antara murid di sekolah dan sekaligus akan menjejaskan prestasi mereka di sekolah. Maka, disebabkan perkara inilah, terdapat beberapa kontroversi dan tentangan daripada kaum Cina yang terdiri daripada Persatuan Dong Jiao Zong, Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina dan Persekutuan Guru-guru Sekolah Cina.

Persatuan Dong Jiao Zong inilah yang bertanggungjawab sebagai badan yang mengurus dan mentadbir sekolah Cina, mengutip derma, membiayai segala kemudahan dan berbincang dengan kerajaan dalam isu membabitkan pendidikan Cina. Hari ini, badan induk ini bertanggungjawab menyalur dana lebih RM1 bilion setahun untuk membiayai 1,284 Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) dan 60 buah sekolah menengah persendirian Cina di seluruh negara. Keadaan ini menyebabkan persatuan ini melihat dan percaya bahawa perlaksanaan Sekolah Wawasan akan menyebabkan kuasa Lembaga Pengarah Sekolah akan lenyap perlahan-lahan. Alasan terbesar Persatuan Dong Jiao Zhong menolak pelaksanaan Sekolah Wawasan ialah kekhuatiran akan kehilangan identiti Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina, SJK(C) dan identiti orang Cina akan terhakis. Walaupun telah diperjelaskan beberapa kali oleh pihak kerajaan namun mereka tetap sangsi dengan hasrat untuk menyatupadukan antara kaum. Mereka masih beranggapan terdapat sesuatu agenda yang tersirat yang dapat mengganggu gugat kepentingan mereka dan akan berlakunya diskriminasi.

Peranan dan Tanggungjawab

Masyarakat Malaysia perlu memainkan peranan yang besar dalam menjayakan konsep Sekolah Wawasan yang diusahakan oleh kerajaan. Seharusnya, masyarakat di negara kita perlu membuang sifat rasis dan sifat benci membenci sesama kaum demi perpaduan negara dan kemajuan pendidikan di negara kita. Kewujudan  sekolah tersebut mampu mencapai matlamat integrasi perpaduan kaum sekali gus menjadi jalan penyelesaian kepada permasalahan perpecahan rakyat di negara ini. Rakyat terbiasa hidup dalam 'dunia berasingan' sejak zaman sekolah itu jelas boleh dilihat dalam kalangan muda mudi dan remaja yang menghabiskan masa hujung minggu melakukan aktiviti beriadah ataupun belajar di perpustakaan bersama bangsa sendiri. Hal ini membuktikan bahawa perkara ini bukan sahaja dibincangkan di peringkat bawahan malah di peringkat atasan. Ia juga merupakan salah satu isu besar yang menjadi topik hangat dalam kalangan golongan profesional di negara kita.

Selain itu, penglibatan masyarakat dalam melaksanakan dasar pendidikan Sekolah Wawasan ini juga amat ditagih demi untuk mencapai satu kata sepakat untuk merealisasikan konsep Sekolah Wawasan ini. Masyarakat Melayu, Cina dan India khasnya perlu bergabung tenaga ,usaha dan idea untuk mendokong usaha murni kerajaan ini. Pada hari ini, rakyat perlu membuka mata dan memberi fokus kepada usaha untuk menjayakan Sekolah Wawasan berbanding melayan isu isu dan kontroversi antara kaum yang terjadi di dalam negara kita. Hal ini adalah untuk memastikan lebih ramai generasi muda dan generasi akan datang untuk mengenali dan memahami erti perpaduan kaum. Pada hari ini, kita hanya mengharapkan elemen kesukanan, festival, rumah terbuka untuk mengeratkan perpaduan dan ini sememangnya tidak cukup dan negara kita tidak akan dapat mencapai matlamat Wawasan 2020 iaitu mengerat dan memperteguhkan perpaduan antara kaum. Melalui konsep Sekolah Wawasan ini, diharapkan perpaduan antara kaum dapat diteguhkan lagi dan jurang antara kaum juga akan dapat dikurangkan.

Di samping itu, peranan kerajaan juga sedikit sebanyak mempengaruhi dalam usaha menubuhkan konsep Sekolah Wawasan ini. Kerajaan sepatutnya menjelaskan dan menguar-uarkan konsep Sekolah Wawasan ini terlebih dahulu kepada masyarakat semua kaum untuk mengelakkan berlaku perselisihan faham antara kaum. Mentaliti segelintir masyarakat berhubung isu tersebut demi menyatukan keharmonian perpaduan di negara ini dapat ditingkatkan. Persepsi masyarakat dan kaum lain adalah berlainan dengan kita kerana menyangka keistimewaan mereka seolah-olah diabaikan. Justeru, kerajaan perlu menerangkan dengan lebih jelas supaya mereka faham dan menerimanya dengan hati yang terbuka.

Kesimpulan

Pendidikan merupakan salah satu tonggak penting dalam kemajuan dan pembangunan sesebuah negara. Bersesuaian dengan Falsafah Pendidikan Negara yang menitikberatkan keharmonian dalam proses penimbaan ilmu, maka institusi  pendidikan peringkat rendah merupakan wadah yang sesuai bagi kerajaan merealisasikan matlamat untuk menyatupadukan etnik. Sekolah Wawasan yang telah diwujudkan ini berpotensi merealisasikan ke arah melahirkan generasi yang menghargai perpaduan dalam masyarakat majmuk. Justeru, dapatlah kita membuat natijah bahawasanya sekolah wawasan ini merupakan satu usaha yang relevan dan berkesan dalam membentuk masyarakat bersatu padu pada masa akan datang. 

Setiap isu dan permasalahan yang timbul bukanlah sesuatu yang besar tetapi hanyalah sikap cauvinisme yang melampau oleh segelintir pihak yang tidak memikirkan baik buruk bagi sesuatu perkara namun hanya melihat kepada satu sudut pandangan semata-mata. Hal ini kerana, Sekolah Wawasan ini diimplimentasikan bukanlah bertujuan untuk menghapuskan identiti mana-mana pihak seperti SJK(C) dan SJK(T) sebagai contohnya, tetapi Sekolah Wawasan ini diwujudkan untuk mengintegrasikan sekolah-sekolah tersebut di dalam satu kawasan yang telah ditetapkan. Perkara ini dapat dilihat dengan sangat jelas dalam garis panduan pelaksanaan Sekolah Wawasan itu sendiri. Garis panduan yang telah ditetapkan juga telah menegaskan apa jua bentuk perlindungan kepada SJK(C) dan SJK(T) akan tetap dikekalkan sepanjang pelaksanaan Sekolah Wawasan ini. Maka, setiap kaum tidak akan terjejas dari segi identiti mereka masing-masing. 

Konsep Sekolah Wawasan harus dilihat dari perspektif yang positif iaitu satu alternatif untuk mewujudkan sebuah bangsa Malaysia yang bersatu padu dan bukannya bertujuan untuk menghapuskan identiti sesuatu etnik serta menghilangkan terus Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan. Dengan adanya Sekolah Wawasan ini, sikap diskriminasi dan prejudis daripada setiap kaum yang ada di Malaysia akan dapat disingkirkan. Tembok pemisah yang wujud dalam sistem pendidikan di negara kita selama ini juga secara tidak langsung akan dapat dihapuskan. Setiap murid akan dapat berinteraksi dengan lebih berkesan dengan murid-murid daripada kaum dan ras yang pelbagai. Hal ini seterusnya akan dapat memastikan murid akan dapat belajar untuk bersikap lebih terbuka dan secara tidak langsung kita dapat melahirkan generasi yang mempunyai sikap integrasi dan perpaduan yang utuh antara semua kaum. Sekaligus dapat mewujudkan Malaysia yang lebih aman dan harmoni pada masa akan datang.

Imaduddin Abidin
Imaduddin Abidin
Roziana Zahari
Roziana Zahari

Disediakan Oleh: Imaduddin Abidin, Pensyarah di Pusat Sains Kemanusiaan dan Roziana Zahari, Mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan (Elektrik) dengan Kepujian, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, UMP.

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Admin UMP News