Skip to main content

Universiti Teknologi Terunggul, Haluan Ini Harus Berbeza

100 hari pentadbiran diambil bagi melihat pra perubahan fasa pertama yang diperkenalkan oleh Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang (UMP), Prof. Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff. Jumlah 2,400 jam yang telah berlalu merupakan satu  perubahan yang diperhati dan diukur oleh seluruh warga UMP. Corak perubahan yang berlaku ini amat drastik dan memerlukan pengamatan serta adaptasi segera oleh warga UMP, khususnya warga pentadbir.

Pertamanya, gagasan pentadbiran baharu ini menekankan bahawa perubahan yang  berlaku pada hari ini merupakan satu kerangka awal Pelan Strategik UMP yang ke-5. Walaupun pada masa ini UMP berada di dalam perjalanan Pelan Strategik yang ke-4, kegemilangan yang sedang dijana harus diolah demi memandang masa hadapan yang lebih bermakna.

Tulisan ini dilihat dari skop pentadbir universiti terhadap intipati ucapan 100 hari  Prof. Ir. Dr Wan Azhar Wan Yusoff. Naib Canselor yang ke-4 ini menegaskan UMP seharusnya pada hari ini dapat membantu negara dalam menyediakan tenaga kerja teknikal berkompentensi tinggi.

Bermula saat dan ketika ini, semua warga universiti berkongsi hala tuju yang sama dan perlu diterjemahkan melalui penghasilan kerja masing-masing. Merujuk semula kepada Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), warga UMP harus mendalami makna penubuhan sebuah Universiti Awam dengan mengambil 3 kata kunci utama iaitu “Mengadakan”, “Memajukan” dan “”Mengembangkan”. UMP merupakan sebuah universiti teknikal, oleh kerana itu, institusi ini harus mengadakan pengajian teknikal berdasarkan kepada keperluan negara. Perubahan dunia menuntut untuk pengajian teknikal ini dimajukan mengikut kehendak semasa. UMP juga harus menyelidik perkembangan semasa bagi mengembangkan pengajian teknikal sedia ada hari ini mampu menyokong kehendak kemajuan teknologi untuk masa akan datang.

Hasrat Naib Canselor secara terus disampaikan kepada warga staf untuk re-visit atau melihat semula objektif penubuhan universiti di bawah kluster MTUN.  Para pentadbir diseru untuk bersama-sama membantu Universiti bagi mencorakkan jalan kita sendiri dalam memajukan pendidikan teknikal beraras tinggi. Penekanan Naib Canselor kepada Kejuruteraan Teknologi harus diamati dan difahami sedalamnya oleh warga pentadbir Universiti.

Beliau menekankan sikap kebersamaan dalam menjayakan agenda ini. UMP dari segi infrastuktur dan kemudahan sedia ada, sudah memadai untuk menyokong transisi menjadi sebuah universiti yang berasakan kepada kejuruteraan teknologi. Pada hemat Naib Canselor, sudah sampai masanya cawangan UMP dibuka di luar negeri Pahang. Peranan pentadbir sekali lagi diperlukan dalam membantu universiti dalam merancang dan mengelola program-program pengajian di luar kampus. Sistem pengajian secara anjal juga dicadangkan, iaitu dengan merentasi kolej pengajian. Perkara ini memungkinkan untuk universiti merancang graduan yang mempunyai minor dan major dalam pengajian.

Penubuhan sebuah universiti harus dihayati. Sebagai sebuah pusat gedung ilmu, proses penyampaian maklumat tidak sahaja berlaku dalam kawasan universiti sahaja. Seharusnya proses ini berlaku sehingga di luar universiti. Sebarang program luar yang dianjurkan haruslah berbentuk penyampaian maklumat dan ilmu, tidak hanya sekadar menyampai bantuan material mahupun wang semata. Identiti sebagai pusat keilmuan harus dibawa keluar. Universiti adalah komuniti akademik yang mana keahlian bukan sahaja terdiri dari pensyarah akademik, ia juga merangkumi keseluruhan tenaga kerja sebuah universiti. Tegasnya, komuniti akademik mempunyai asas yang sama, iaitu akhlak dan adab yang terpuji.

Menyentuh kepada soal pentadbiran universiti, banyak perubahan telah berlaku. Lantikan jawatan-jawatan baharu diwujudkan bagi melahirkan pentadbir akademik yang participative dalam hal ehwal universiti dan juga sebagai pelan penggantian kepimpinan UMP untuk masa akan datang. Pentadbiran hari ini agak berbeza dengan pentadbiran yang lepas.

Mengikut kaedah pengajian Sains Politik, teori Decentralization of Power  atau sistem kuasa tidak berpusat telah diaplikasikan dalam pentadbiran UMP. Berbeza dengan Centralization of power atau sistem kuasa berpusat yang dilihat lebih kepada pentadbiran secara rejim berpusat dalam membuat keputusan, Decentralization of Power  memberi ruang yang lebih luas kepada aktor-aktor utama dalam pengurusan tertinggi mahunpun aktor-aktor baharu dilantik membuat keputusan. Kepercayaan ini diberikan kerana aktor-aktor yang dipilih sudah cukup matang dan memahami selok belok pentadbiran universiti serta pengurusan risiko. Perkara ini diputuskan bagi membolehkan Naib Canselor memikirkan hal-hal yang lebih strategik universiti bagi membantu pengembangan sistem akademik negara.  

Kesimpulanya, kesiapsiagaan pentadbir harus berada pada tahap yang paling tinggi. Asas utama yang perlu difahami adalah UMP pada hari ini sedaya upaya mengembalikan objektif penubuhan Malaysian Technical University Network (MTUN), selaras dengan IPTA model 2. Kecekapan pentadbir diperlukan dalam mengatasi sebarang kelompongan dalam pentadbiran natijah daripada perubahan yang berlaku.

Sistem kuasa tidak berpusat membuka ruang kepada ketua-ketua Jabatan yang dilantik membuat keputusan. Sokongan dan buah fikiran pentadbir amat diperlukan dalam menjana keputusan Ketua-ketua tersebut. Positifkan minda kita dalam menyelesaikan masalah dan menghadapi perubahan ini. Perubahan ini menuntut agar kita bersama dalam apa jua keadaan yang berlaku, seperti peribahasa Melayu, Cangkat sama didaki, lurah sama dituruni yang membawa maksud susah dan senang bersama dihadapi. Transisi ini merupakan perubahan UMP ke arah yang lebih jauh!

Sebagai pengakhiran, merujuk kepada surah Al-Zalzalah yang dibaca bersama makna pada awal ucapan Naib Canselor, memberikan satu penegasan bahawasanya, amanah yang dipikul oleh setiap staf UMP tidak kira apa latar belakang mereka, akan dipersoalkan satu hari nanti. Tersirat dari surah yang dibaca, ia merupakan satu junjungan kepada tonggak utama dalam perkhidmatan awam, iaitu integriti dalam menjalankan tugas.

PROFESIONAL-DINAMIK-TERUNGGUL

Universiti  Teknologi Terunggul, Haluan Ini Harus BerbezaUniversiti  Teknologi Terunggul, Haluan Ini Harus Berbeza

Disediakan oleh Raizal Hilmy Mohd Rais yang merupakan Presiden PPTI-UMP dan Mohd Zaki bin Ahmad sebagai Exco PPTI-UMP. 

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri