Skip to main content

1,528 pelajar baharu kini merupakan sebahagian keluarga UMP

KUANTAN, 8 Oktober 2021 – Seramai 1,528 pelajar baharu yang mendaftar bagi mengikuti pengajian di peringkat ijazah sarjana muda di Universiti Malaysia Pahang (UMP) bagi sesi akademik 2021/2022 kini merupakan sebahagian keluarga besar UMP.

Mereka ini  terdiri daripada ahli lembaga pengarah universiti, pihak pengurusan, pensyarah, pakar bidang, penyelidik, pentadbir, pelajar dan alumni.

Semua pihak umpama anggota dalam sesebuah keluarga perlu saling hormat-menghormati, bertanggungjawab, berpegang kepada amanah dan berusaha mewujudkan sebuah keluarga yang bahagia khususnya dalam keadaan pandemik ketika ini dan sedang menuju ke fasa endemik Covid-19.

Justeru, prinsip pegangan keluarga UMP terdiri daripada hubungan yang kuat dengan maha Pencipta, teguh dalam mempertahankan prinsip yang disepakati, kreatif dalam membuat keputusan yang bijaksana, cekal dalam menghadapi cabaran dan proaktif dalam tindakan.  

MINDS

Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMP, pihak universiti merakamkan penghargaan syabas buat semua pelajar yang terpilih menjadi sebahagian daripada keluarga besar UMP.
 
“Dengan peluang yang telah ditawarkan, maka setiap pelajar perlu mencorakkan masa depan atas kadar ikhtiar dan iltizam masing-masing. 

“Kehidupan kampus menuntut pelajar bijak mengisi masa sepanjang pengajian dan pelajar yang cemerlang tidak hanya hebat di dewan kuliah atau makmal malahan cergas dalam aktiviti kokurikulum,” katanya dalam program Bicara Naib Canselor bersempena Minggu Induksi Siswa (MIND’S 2021) yang berlangsung secara dalam talian menerusi laman rasmi FB UMPMalaysia dan Youtube UMPTV.

Beliau turut menyarankan agar pelajar mengambil peluang menyertai aktiviti kelab atau persatuan sebaik sahaja kembali ke kampus kelak. 

“Terdapat 70 badan pelajar yang berdaftar yang boleh disertai sama ada berteraskan sukan, kebudayaan, rekreasi, inovasi, kepimpinan, pengucapan awam, khidmat komuniti dan keusahawanan.

“Malahan, jadikanlah pembelajaran di universiti sebagai pemecah tembok yang menghalang interaksi harmoni disebabkan stigma kaum, agama dan kenegaraan.

“Kita hendaklah mewujudkan semangat kekitaan dalam konteks keluarga besar UMP,” ujar beliau. 

Dalam pada itu, UMP menawarkan 41 program pengajian pada ambilan kali ini termasuk tujuh program baharu iaitu Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (Automotif) dengan Kepujian, Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (Reka Bentuk dan Analisis) dengan Kepujian, Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan (Minyak dan Gas) dengan Kepujian yang ditawarkan di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA).

Lain-lain program baharu yang mula ditawarkan pada semester ini ialah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Kejuruteraan Pembuatan (Automasi Industri) dengan Kepujian dan Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Mekatronik (Robotik) dengan Kepujian di bawah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM). 

Manakala Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Awam (Bangunan) dengan Kepujian pula ditawarkan di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA) dan Sarjana Muda Analitis Perniagaan dengan Kepujian ditawarkan oleh Fakulti Pengurusan Industri (FPI).

Universiti juga sentiasa komited mencipta inovasi dan keunikan dalam penawaran program akademik melalui jalinan strategik di peringkat antarabangsa yang sentiasa ditambah nilai melalui proses penanda aras secara berterusan menggunakan model bertaraf dunia seperti program kerjasama dengan Karlsruhe University of Applied Science (HKA), Jerman.

Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)

 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit