Skip to main content

20 pelajar timba ilmu pengetahuan terumbu karang dan ekosistem

Kuantan, 21 Ogos 2020 - Buat julung kalinya, Pusat Kokurikulum, Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni, Universiti Malaysia Pahang (UMP) menganjurkan Program Khidmat Komuniti Berasaskan Pendidikan: Terumbu Karang dan Kesannya Kepada Ekosistem hasil kerjasama pihak Simply Scooba Industries.
Seramai 20 orang peserta hadir menyertai program itu untuk menimba ilmu pengetahuan berkaitan jenis-jenis terumbu karang dalam aspek penjagaan, rantaian hidup kepada alam dan kepentingan kepada manusia.
Turut hadir Pengarah Pusat Kokurikulum UMP, Ts. Dr. Siti Rabiatull Aisha Idris dan Ketua Pegawai Operasi Simply Scooba Industries, Shahnaz Adila Mohd Sharif.
Menurut Ts. Dr. Siti Rabiatull, para peserta diberikan taklimat dan sesi pengenalan kepada terumbu karang oleh professional reefer di Malaysia, Khairol Khalid.
“Mereka turut dibahagiakan kepada beberapa kumpulan bagi menyelesaikan tugasan khas di dalam air.
“Pada selaman pertama dan kedua, para peserta diperkenalkan dengan jenis-jenis terumbu karang yang boleh didapati di perairan Malaysia seperti large polyp stony coral (LPS) dan small polyp stony coral (SPS).
“Ia juga dikenali sebagai terumbu karang keras dan lembut. Seterusnya, pada selaman ketiga, setiap kumpulan peserta perlu mencari jenis-jenis terumbu karang yang tergolong dalam kategori yang dinyatakan dalam tempoh yang telah ditetapkan,” katanya.
Aktiviti ini bukan sahaja memberi pendidikan mengenai terumbu karang, malahan para peserta mempunyai misi dan aktiviti yang perlu dilakukan sepanjang tempoh selaman.
Seri Liyana Ezamzuri, pelajar UMP yang menyertai program itu begitu teruja kerana berpeluang menyertai aktiviti seperti ini.
Begitu juga dengan Mohd Nadzwan Yusoff yang turut berharap agar program seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan agar masyarakat dapat mengetahui kepentingan terumbu karang dan sekali gus dapat menjaga serta memulihara terumbu karang yang ada di perairan negara.

Disediakan Oleh: Ts. Dr. Siti Rabiatull Aisha Idris dan Mohamad Najib Mohamad Nor, Pusat Kokurikulum UMP

Reports by:
Admin UMP News