Skip to main content

40 pelajar UMP diiktiraf raih Anugerah Mercu Sanjung

KUANTAN, 15 Mac 2023 - Seramai 40 pelajar Universiti Malaysia Pahang (UMP) raih Anugerah Mercu Sanjung (MARS) dalam Majlis Malam Anugerah Mercu Sanjung (MARS) sebagai mengiktiraf kejayaan mahasiswa dalam aspek kepimpinan, sukan, kebudayaan, kesukarelawanan, keusahawanan, pengucapan awam, inovasi dan lain-lain menerusi penglibatan mereka dalam aktiviti-aktiviti pembangunan sahsiah.
 
Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman hadir merasmikan majlis itu yang turut dihadiri Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed yang juga menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) dan barisan ahli lembaga pengarah serta pengurusan. 

40 pelajar UMP diiktiraf raih Anugerah Mercu Sanjung

 
Menurut Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz, majlis itu diadakan sebagai platform terbaik untuk mengiktiraf dan memberi galakan kepada mahasiswa yang telah menunjukkan kepimpinan yang holistik dan kompeten selari dengan inisiatif strategik Graduan Holistik yang merupakan salah satu objektif dalam Pelan Strategik UMP 2021-2025. 
 
“Penganjuran MARS ini membuka peluang kepada mahasiswa untuk bersaing secara sihat dan terlibat secara langsung dalam aktiviti pembangunan sahsiah di UMP bagi melahirkan insan yang seimbang dalam bidang akademik dan kokurikulum.
 
“Selain itu, UMP turut memberi penekanan kepada penghasilan graduan holistik yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial.  

“Ini juga akan memberi galakan, motivasi dan peluang kepada para mahasiswa untuk mengetengahkan lagi potensi dan mengembangkan bakat untuk menjadi insan yang cemerlang kepada keluarga dan masyarakat,” ujarnya. 
 
Dalam majlis itu, UMP turut menerima sumbangan Geran Pemerkasaan Mahasiswa berjumlah RM10,000 yang disampaikan alumni UMP, Muhammad Redzuand Ras Abdul Rask yang merupakan Pengarah Urusan Murs Ventures Sdn. Bhd. sebagai inisiatif menggerakkan aktiviti mahasiswa bagi pelaksanaan program berimpak.

40 pelajar UMP diiktiraf raih Anugerah Mercu Sanjung

 
Majlis menyaksikan Anugerah Tokoh Mercu Sanjung 2022 dimenangi Mohamad Mohsin Ismail dari Fakulti Komputeran yang cemerlang dalam aktiviti keusahawanan dengan penghasilan aplikasi E-Wallet Mobile Application.
 
Bagi Anugerah Khas Mercu Sanjung pula dimenangi oleh Farah Ezati Saindi dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses. 

Beliau juga merupakan penerima Yayasan UMP dan memenangi pingat emas dalam CITREX 2022 serta pernah meraih pingat emas  dalam  7th Ed of Ican Canada 2022 dan Anugerah Khas Korea University Invention Association (KUIA).

40 pelajar UMP diiktiraf raih Anugerah Mercu Sanjung

Manakala Anugerah Khas ADAB dimenangi Muhammad Amirul Aiman Hairul Nizam dari Fakulti Pengurusan Industri yang pernah mewakili Asean University Game (AUG) 2022 di Udon Ratchatthani menerusi sukan futsal. 
 
Lain-lain termasuklah Anugerah Mercu Sanjung (Ulul Albab) yang diterima oleh Anang Rustanto Suwito dan Zulfa Kurnia Umani Hari.
 
Turut dihargai penghargaan Insentif Khas Mercu Sanjung (HSK/MINDS) dalam penglibatan pelajar dan Insentif Khas Mercu Sanjung (Expo Konvo). 

Majlis turut diserikan dengan persembahan kebudayaan dan nyanyian melibatkan Prema Band, Kencana Pawana dan Aural Adrenaline.

Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit