Skip to main content

6 subjek UMP tersenarai di QSWUR by Subject 2022, diiktiraf dunia

PEKAN, 6 April 2022 - Enam subjek Universiti Malaysia Pahang (UMP)  disenarai antara terbaik dunia berdasarkan penarafan QS World University Rankings (QSWUR) by Subject 2022 yang diumumkan baru-baru ini. 

Subjek Kejuruteraan Kimia berada pada kelompok 150-200 terbaik dunia dan antara lima terbaik di Malaysia. 

Manakala empat subjek lagi iaitu Kejuruteraan dan Teknologi di tangga ke-357 terbaik dunia, Kejuruteraan Mekanikal, Aeronautik dan Pembuatan (301-350), Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (401-450) dan Kimia (451-500) berada dalam kelompok terbaik dunia dan kesepuluh terbaik di Malaysia. 

Penarafan kali ini turut turut menyaksikan subjek Sains Komputer dan Sistem Maklumat berada di kedudukan 601-650 terbaik dunia dan berada dalam kelompok 15 terbaik di Malaysia.

Menurut Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin, sebagai sebuah universiti teknikal yang kini melangkah ke-20 tahun, UMP  menawarkan pelbagai program teknikal berteraskan Kejuruteraan dan Teknologi.

Prof. Dato’ Dr. Yusserie Zainuddin

“UMP akan memperkukuhkan peranannya dalam Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) bagi mengangkat agenda pemerkasaan Latihan dan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) di semua peringkat.

“Universiti sentiasa menambah nilai program akademik melalui proses penanda aras secara berterusan menggunakan model (Fachhochschule) bertaraf dunia. 

“Pengantarabangsaan program dual ijazah kini sedang berkembang pesat  dan membanggakan dengan kebolehpasaran graduan berjaya melepasi 96 peratus mendapat pekerjaan,” katanya. 

Antaranya menurut beliau, penawaran Program Dual Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Automotif dan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekatronik UMP dengan Karlsruhe University of Applied Science (HKA) Jerman yang kini memasuki tahun ke-12 berjaya meluaskan jaringan kerjasama antarabangsa.

“Dalam memperkukuhkan lagi hubungan universiti, pihaknya bakal meneroka kolaborasi antarabangsa ke beberapa negara termasuklah di China dan Kazakhstan serta bakal diperluas ke Amerika Syarikat dan negara Eropah lain. 

“Dalam pada itu, kaedah penilaian QSWUR by Subjects 2022 ini berdasarkan empat indikator. 

Pencapaian tahun ini memperlihatkan Reputasi Akademik (Academic Peer Review) dan Reputasi Majikan (Employer Peer Review) bagi subjek Kejuruteraan Kimia mendapat skor tertinggi manakala subjek Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik mendapat sitasi (Citation dan Indeks-H)  (H-Index) tertinggi skor.   

QS Quacquarelli Symonds merupakan badan penarafan pendidikan tinggi antarabangsa telah menganalisis perbandingan membabitkan 15,200 program universiti, sebanyak 1,543 universiti dan 88 lokasi di seluruh dunia merentasi 51 disiplin akademik.  

Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit