Skip to main content

714 penerima vaksin dalam Program Outreach PPV@UMP

PEKAN, 8 Ogos 2021 - Seramai 714 penerima vaksin melibatkan penduduk Kampung Marhum, Bentan, Mengkasar, Kuala Pahang, Serandu, Pulau Jawa dan sekitarnya hadir menerima vaksin dalam Program Outreach  PPV@UMP yang berlangsung di Dewan Serbaguna UMP Pekan baru-baru ini.

UMP melakar sejarah apabila turut menjadi salah sebuah universiti yang terlibat dalam membantu menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) hasil kerjasama CITF Negeri Pahang, Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) dan Pejabat Kesihatan Daerah Pekan,

714 penerima vaksin dalam Program Outreach PPV@UMP

Menurut Pegawai Perubatan Daerah Pekan, Dr. Muhammad Syiham Rosli,  pihaknya telah menjalankan pengoperasian Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bergerak di beberapa kawasan lokaliti dan pedalaman dalam memastikan sasaran  80 peratus rakyat di negara kita divaksin menjelang akhir bulan Oktober depan tercapai.  

“Waktu operasi PPV ini adalah tertakluk kepada arahan yang dikeluarkan dari semasa ke semasa dengan mengambil kira ketersediaan stok vaksin di negeri ini dan kecukupan petugas kesihatan serta petugas bukan kesihatan.

“Senarai penerima vaksin PPV bergerak PDT Pekan menggunakan senarai janji temu yang telah ditetapkan di dalam Sistem MySejahtera.

“Pihak kami mengucapkan terima kasih kepada pengurusan universiti terutamanya Pusat Kesihatan Universiti (PKU) dalam bersama-sama menjayakan usaha ini,” katanya.

Pada kali ini, seramai 30 petugas kesihatan terlibat yang turut sama melibatkan seramai 15 sukarelawan UMP turun padang bagi menjayakan program yang diselaras di bawah Jawatankuasa Bertindak Bencana UMP.  

714 penerima vaksin dalam Program Outreach PPV@UMP

Pemilihan UMP sebagai salah sebuah pusat PPV ini memberi khabar gembira buat penduduk kampung di sekitarnya apabila kebanyakan mereka dapat menerima suntikan di lokasi yang berhampiran kampung.

Bagi pasangan suami isteri yang dijadualkan menerima suntikan vaksin di UMP Pekan, Zakaria Ngah, 60 berkata, beliau amat bersyukur  penantian temujanji untuk menerima suntikan telah diperolehi bersama isterinya di PPV UMP Pekan yang  tidak jauh dengan rumahnya di Kuala Pahang.

Ujarnya, dengan situasi isterinya yang mempunyai masalah penglihatan dan berkerusi roda pastinya kemudahan ini melegakan mereka.

Manakala menurut Zaleha Ismail, 64 dari Kampung Serandu berkata, Alhamdulillah, telah menerima suntikan vaksin dan proses pemberian vaksin di sini berjalan lancar dan tidak mengambil masa yang lama untuk menunggu.

Hadir sama dalam meninjau lokasi PPV iaitu Ketua Pegawai Operasi/Pendaftar UMP, Hazmin Aris, Penghulu Mukim Kuala Pahang, Hassan Mohamed Sukor dan Pengarah Pusat Sukan dan Kebudayaan, Profesor Dato’ Ts. Dr. Rosli Abu Bakar.

Program Outreach PPV@UMP dijadual beroperasi pada tarikh yang ditetapkan iaitu 8 Ogos, 16 hingga 17 Ogos, 29 Ogos dan 6 hingga 7 September 2021 tertakluk kepada perubahan yang akan dimaklumkan mengikut perkembangan semasa.

Disediakan oleh: Nor Salwana Mohd. Idris, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)

Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris