Skip to main content

Aidilfitri disambut meriah, UMP rai Saintis dan pelajar

PEKAN, 21 Mei 2022- Kemeriahan Syawal terus dirai dalam Majlis Hari Raya Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang berlangsung baru-baru ini bagi meraikan staf, pelajar dan komuniti setempat termasuk anak-anak dari Rumah Anak Yatim Nur Iman dalam majlis yang berlangsung di Dewan Bankuet, UMP Pekan.
 
Hadir dalam majlis, Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman yang juga merupakan Pengerusi Yayasan UMP.

Beliau turut menyampaikan serahan komputer riba buat pelajar yang berkeperluan khas. 

Hadir mewakili pelajar ialah Yang di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMP, Ahmad Fahmi  Fazli. 

Turut sama hadir, Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin dan barisan ahli Lembaga Pengarah UMP.
 

Aidilfitri disambut meriah, UMP rai Saintis dan pelajar

Ujar Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz, sebanyak 70 unit komputer riba bakal diserahkan kepada pelajar UMP daripada keluarga B40 dan yang memerlukan bagi meringankan beban mereka dalam pengajian. 

“Sehingga kini, lebih 200 komputer riba telah dimanfaatkan pelajar dan diagihkan sepanjang tahun 2021 dan 2022 ini. 
 
“Yayasan UMP cakna terhadap usaha dalam  membantu kebajikan dan kesejahteraan pelajar serta pelbagai program dilaksanakan termasuk biasiswa UMP, bantuan awal pendidikan bagi pelajar baharu, insentif kecemerlangan  Matrikulasi–UMP dan lain-lain,” katanya.
 
Selain itu, beliau turut menyampaikan sijil penghargaan dan meraikan seramai 12 pensyarah UMP yang tersenarai antara dua peratus saintis terbaik di dunia dalam pelbagai bidang serta disiplin. 

Pengiktirafan ini merujuk kepada data daripada Stanford University yang berpangkalan di Amerika Syarikat.
 
Dalam masa yang sama, pelajar Kolej Kejuruteraan (KKEJ), Lim Wei Jie turut dirai dalam majlis ini apabila dinobat sebagai pemenang Anugerah Khas Innovate Malaysia Excellent Award 2021. 

Beliau mendapat tempat pertama Intel Technology Track di pertandingan Innovate Malaysia Design Competition. 
 
Majlis turut dimeriahkan dengan persembahan nyanyian  dan tarian daripada Pusat Sukan dan Kebudayaan UMP.

Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri. 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit