Skip to main content

Bahan pembasmi kuman Diaclean Pera Sterilant cegah penularan Covid-19 di masjid

KUANTAN, 15 Julai 2021 - Pandemik Covid-19 yang menular dalam negara memberi kesedaran kepada semua pihak agar mengambil langkah tambahan bagi memastikan risiko penularan virus berkenaan dapat diminimumkan untuk keselamatan semua terutamanya di tempat umum termasuklah di masjid-masjid di negeri ini.

Dalam usaha ini, baru-baru ini telah berlangsungnya Program Basmi Covid-19 yang dianjurkan Pejabat YAB Menteri Besar Pahang dengan kerjasama Pejabat Daerah dan Tanah Kuantan, Pejabat Agama Islam Daerah Kuantan, Majlis Tindakan Sosial Pahang (MTSP) dan Persatuan Rekreasi, Sukan dan Sosial Pahang (PERSAS).

Sebanyak 111 buah masjid sekitar Kuantan telah disanitasi menggunakan bahan pembasmi kuman Diaclean Pera Sterilant keluaran anak syarikat UMP iaitu UMP Renalcare Sdn. Bhd. berbentuk semburan cecair (cold) dan wasap sebagai usaha mengawal, membasmi dan mencegah penyebaran virus Covid-19 di masjid-masjid sekitar Kuantan.

Hadir dalam program tersebut ialah Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang menyaksikan proses sanitasi dijalankan di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Kuantan sebagai penutup program.

Turut sama hadir ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Kamal Zuhairi Zamli, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang, Dato’ Dr. Haji Zulkifli Haji Ali Al-Hafiz dan Pegawai Daerah Kuantan, Tengku Dato’ Nor Asmaliza Ku Lah.
 

Bahan pembasmi kuman Diaclean Pera Sterilant

 

Menurut Profesor Ts. Dr. Kamal, produk Diaclean Pera Sterilant ini disahkan halal JAKIM dan melepasi ujian makmal berkesan menghapuskan 99.99 peratus bakteria, kuman atau virus termasuk Covid-19.

“Diaclean Pera Sterilant juga terbukti berkesan dalam membunuh human coronavirus agar penyakit berjangkit Covid-19 dapat dibendung dan dikawal secara efektif mengikut tatacara pembersihan disinfeksi di tempat awam,” katanya.

Dalam menjayakan program ini, pihak UMP Renalcare Sdn. Bhd. yang merupakan pengeluar teknologi bahan aktif asid perasetik yang pertama di Malaysia telah menyumbang antara 240 hingga 400 liter.

Diaclean Pera Sterilant adalah mesra pengguna dan mesra alam serta sesuai digunakan bagi tujuan sanitasi awam seperti di kawasan perumahan, kedai makanan, sekolah, taska, pejabat kerajaan dan swasta, institusi pengajian tinggi, kilang, rumah ibadat dan pesawat kapal terbang penumpang serta kargo dalam industri penerbangan.

Bahan pembasmi kuman Diaclean Pera Sterilant

Produk ini turut mematuhi piawaian Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) dan United Environmental Protection Agency (USEPA) sebagai bahan aktif yang mampu membunuh virus Covid-19. 

Bahan pembasmi kuman Diaclean Pera Sterilant cegah penularan Covid-19 di masjid

Ia merupakan pembasmi kuman organik berasaskan cuka makanan keluaran tempatan pertama di Malaysia yang telah mendapat pensijilan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Halal Jakim.

Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)

 

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri