Skip to main content

Bijak pilih cecair pembunuh kuman

Kuantan, 27 Mac- Ekoran penularan wabak COVID-19 yang sedang melanda negara dan kebanyakan negara di seluruh dunia, barangan seperti cecair pembunuh kuman (sanitizer), topeng, pelindung muka dan pakaian keselamatan menjadi tumpuan dan sukar mendapatkannya dalam pasaran. Malahan ramai yang mengambil inisiatif menghasilkannya sendiri termasuklah cecair pembasmi kuman D.I.Y (buatan sendiri) sebagai alternatif bagi menangani penularan wabak ini.

Bagi penyelidik Universiti Malaysia Pahang (UMP), Prof. Datin Dr. Mimi Sakinah Abdul Munaim dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak menghasilkan cecair itu sesuka hati tanpa merujuk kepada mereka yang berpengetahuan dalam bidang sains.

Terutamanya, berhati-hati sekiranya menggunakan bahan kimia seperti isopropil alkohol yang mudah terbakar serta boleh mengundang perkara buruk seperti kebakaran dan membahayakan diri. Ujian perencatan terhadap microb juga perlu dilakukan dalam memastikan tahap selamat digunakan tanpa kesan sampingan lain. Namun, apa yang paling utama adalah produk tersebut mampu membunuh kuman.

Prof. Datin Dr. Mimi Sakinah juga berkongsi pengalamannya selama lebih 12  tahun dalam penghasilan produk cecair pembasmi kuman yang dinamakan Germs Free Hand Sanitizer yang dtambah dengan ekstrak daun sireh bagi merencatkan pembiakan kuman. Ianya turut mengandungi Aloe Vera dan Vitamin E yang sesuai untuk kulit.   

“Berbeza dengan cecair pembunuh kuman sedia ada di pasaran ianya dapat mengelakkan masalah kulit merengsa berikutan penggunaan etanol iaitu bahan kimia alkohol yang asasnya daripada petroleum. Pada masa ini produk ini terdapat dalam bentuk cecair serta gel,” katanya.  

Beliau berkata, inovasi ini telah diuji di Makmal Bioserasi dan Klinik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi memastikan produk itu selamat digunakan, selain itu ianya digunakan secara dalaman di UMP serta di beberapa syarikat, farmasi dan hospital di bandar ini.

“Setakat ini, produk ini tidak memberikan sebarang kesan negatif dan ramai memberikan maklum balas positif antaranya kulit pemakai lembap apabila digunakan dan tidak merengsa seperti produk lain,” ujarnya.

Ketika ini, pihaknya juga melakukan penyelidikan lanjutan dengan mempelbagaikan aroma semula jadi seperti lemon. Malahan ada juga permintaan supaya ianya tidak dicampur dengan aroma lain khususnya bagi kegunaan jemaah haji atau mereka yang menunaikan ibadah umrah.

Produk ini juga telah diuji terhadap bakteria dan virus (inhibit germs) dengan formula baru kandungan alkohol optimum sehingga 75 peratus namun, ianya tidak merengsakan kulit dan selamat digunakan.  

Produk ini dihasilkan dalam makmal UMP yang mempunyai pensijilan MS ISO 13485:2016 dan memenuhi kualiti standard antarabangsa. Pihaknya juga dalam proses mendapatkan sijil halal bagi cecair pembunuh kuman ini dan ia perlu melalui pelbagai proses termasuk perakuan pengurusan amalan terbaik daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).    

Berdepan dengan situasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pihaknya juga menemui banyak kekangan dalam menghasilkan pengeluaran produk ini yang mendapat permintaan lebih 10 kali ganda berbanding sebelum ini. Antara cabarannya kini adalah harga bahan mentah iaitu alkohol yang meningkat sebanyak 50 peratus serta sukar diperolehi. Begitu juga harga botol turut meningkat sebanyak 150 peratus serta sukar mendapatkan botol termasuk pam yang digunakan untuk disambungkan ke botol pada masa ini rentetan daripada penutupan operasi kilang akibat penularan wabak COVID-19.

Beroperasi di bawah UMP Renal Care Sdn Bhd iaitu syarikat di bawah UMP Holdings Sdn. Bhd, kini pihaknya mampu menghasilkan sebanyak 1000 botol sehari atau 300 liter dengan pelbagai saiz iaitu 30 ml, 50 ml, 100 ml, 500 ml dan 2 liter. Syarikat ini juga kini mengeluarkan produk disinfektan tahap tinggi (high level disinfectant) yang berasaskan cuka makanan dalam pasaran akan datang.

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri