Skip to main content

Covid-19: Manfaatkan masa dan peluang tambah nilai pelajar

KUANTAN, 12 Mac 2021 – Kerja separuh masa atau sambilan bukanlah suatu situasi asing bagi pelajar universiti yang rata-rata ingin mencari pendapatan sampingan bagi menampung perbelanjaan harian. Ia juga bertujuan untuk mengutip pengalaman yang sangat berharga untuk dijadikan modal bagi memperoleh pekerjaan sebenar sebaik tamat pengajian nanti.
Pandemik Covid-19 yang melanda dunia ketika ini menyebabkan pelajar universiti turut terkesan dengan pengajian dijalankan secara dalam talian sebagai norma baharu melewati setahun sejak pelaksanaan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac 2020 lalu.
Tambahan pula terdapat sesetengah pelajar mempunyai kesesuaian masa kuliah yang memberikan mereka masa terluang yang boleh diisi dengan banyak aktiviti bermanfaat termasuklah mencari kerja sambilan tanpa mengganggu jadual pembelajaran.
Bagi Ali Imran Rozli Sham, 22 yang merupakan pelajar Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE) UMP berkata, beliau mula bekerja sebagai penghantar (runner) di Butik Dadahunyai di Kuantan sejak pertengahan tahun lalu.
“Memandangkan sesi pembelajaran banyak dijalankan secara dalam talian, jadi saya mengambil keputusan untuk bekerja sambil belajar.
“Sekurang-kurangnya dengan bekerja, saya tidak perlu lagi meminta wang bagi perbelanjaan harian daripada kedua ibu bapa agar dapat meringankan beban mereka,” katanya yang merupakan anak sulung daripada lima adik-beradik.
Anak kepada pasangan Rozli Sham Haron, 49 dan Rosnah Zakaria, 51, itu berkata sepanjang tempoh pengajaran dan pembelajaran (PdP) dijalankan beliau dapat membahagikan masa sebaik mungkin.
“Tugas sebagai penghantar barang juga memberikan masa terluang bagi membolehkan saya fokus kepada pelajaran.
“Sekiranya ada topik yang saya tertinggal atau tidak faham, saya akan menghubungi rakan-rakan dan mengulang kaji semula topik tersebut,” ujarnya.
Pada pendapatnya, sehingga kini pembelajaran secara dalam talian masih lagi dapat diadaptasi walaupun kadangkala sukar juga untuk difahami terutamanya bagi subjek teknikal.
Kisahnya pernah tular di dalam Facebook apabila pensyarahnya memaparkan gambar Ali sedang menduduki peperiksaan di dalam stor di tempat kerjanya pada semester lalu.
Ia menjadi sumber inspirasi buatnya apabila dapat menyempurnakan tanggungjawab sebagai pelajar dan dengan bekerja tidak menjadi penghalang untuknya menduduki peperiksaan.
Beliau sendiri terkejut apabila menerima mesej pesanan kata-kata semangat dan mendoakan kejayaannya ketika menduduki peperiksaan.
Ujarnya, kisah ini mula tular apabila pensyarahnya, Dr. Abdul Nasir Abd Ghafar meminta beliau mengaktifkan kamera ketika sesi peperiksaan sedang dijalankan.
“Pensyarah saya telah memuat naik gambar tersebut di dalam Facebook dan bermula dari situlah kisah saya mula diketahui ramai,” katanya.
Beliau juga turut bersyukur dan berterima kasih kepada majikannya, Nurul Huda Johar yang amat prihatin serta memahami keadaannya, terutamanya ketika minggu peperiksaan lalu.
Pemilik butik itu juga sering menasihati dirinya agar belajar bersungguh-sunguh dan tidak mensia-siakan peluang yang ada.
Beliau juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada keluarga, majikan, pensyarah UMP dan rakan-rakan yang banyak memberi kata semangat dan mendoakan kejayaannya selain berharap pandemik Covid-19 segera pulih bagi membolehkan beliau dan rakan-rakan dapat kembali ke kampus untuk menyambung pengajian seperti biasa.
Namun, secara berseloroh beliau berkata sekiranya pembelajaran secara dalam talian diteruskan beliau akan meneruskan bekerja sambilan tanpa menjejaskan pengajiannya.
Selain memperoleh wang saku, pekerjaan yang dilakukan pastinya menjadi nilai tambah bagi biodata diri (resume) dan pengalaman berharga yang dikutipnya ini menjadi bekal buatnya sebagai persediaan melangkah ke alam pekerjaan setelah menamatkan pengajian kelak

Disediakan Oleh: Nor Salwana Haji Mohd Idris Daripada Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor. 
 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris