Skip to main content

Dr. Ahmad Mahfuz dan Dr. Hasnah menjuarai Anugerah Penulisan Rencana Terbaik

PEKAN, 23 Mac 2023 - Pensyarah Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FIST), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Dr. Ahmad Mahfuz Gazali muncul sebagai pemenang tempat pertama bagi Anugerah Penulisan Rencana Terbaik bagi kategori Kejuruteraan, Sains dan Teknologi manakala pensyarah Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Dr. Hasnah Hussiin pula dinobatkan pemenang tempat pertama bagi kategori Kenegaraan, Sains Sosial dan Kemanusiaan.

Anugerah disampaikan oleh Ahli Lembaga Pengarah UMP, Dato’ Hajah Habibah Mohd Yusof bersempena Majlis Hari Kualiti dan Inovasi UMP baru-baru ini.

Bagi Dr. Ahmad Mahfuz beliau melahirkan rasa terkejut namun gembira apabila artikel beliau yang bertajuk ‘Manfaat MySejahtera untuk Kajian Long Covid’ terpilih memenangi anugerah ini.

“Artikel tersebut tercetus daripada pengalamannya apabila disahkan positif COVID-19 pada tahun lalu.  

“Bagi saya. usaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) harus diberi pujian dalam usaha mengintegrasikan teknologi dan pelaporan kendiri dengan menggunakan aplikasi MySejahtera.

“Aplikasi ini sememangnya banyak memberi manfaat kepada masyarakat dalam memantau pesakit COVID-19 terutamanya pesakit yang berdepan fenomena gejala lanjutan atau sindrom pasca Covid (Long Covid),” katanya yang membawa pulang hadiah sijil dan wang tunai RM1,000.

Manakala  artikel Dr. Hasnah Hussiin yang bertajuk ‘Kesang Tua, Melaka: Dari Selat Melaka ke Pentas Dunia?’ berkongsi kisah berkisar tentang kampung kecil yang bernama Kesang Tua sebenarnya menyimpan seribu satu rahsia yang mungkin tidak diketahui umum iaitu ia berjaya melahirkan para cendekiawan, ilmuwan, golongan profesional, ahli politik, dan pakar dalam negara.

“Perkongsian ini dikatakan luar biasa kerana ia sebuah kampung kecil, manakala penduduknya majoriti bekerja sebagai petani, penoreh getah dan bekerja kampung tetapi mampu melahirkan begitu ramai golongan intelektual. 

“Mereka ini bukan sahaja menjadi juara kampung malahan sampai ke pentas antarabangsa apabila ada yang bekerja di Bank Dunia,” ujar beliau.

Tempat kedua bagi kategori Kejuruteraan, Sains dan Teknologi telah dimenangi oleh Dato’ Ir. Ts. Dr. Badhrulhisham Abdul Aziz dari Pusat Kelestarian Ekosistem dan Sumber Alam dengan artikel bertajuk ‘Industri Perlombongan Negara dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG): Satu Tinjauan’.

Bagi tempat ketiga pula telah dimenangi oleh Profesor Madya Dr. Aizi Nor Mazila Ramli dari Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FIST) dengan tajuk “Revolusi Penanaman Cendawan ke Arah Keselamatan Makanan Mampan di Malaysia’.

Selain itu, tempat kedua bagi kategori  Kenegaraan, Sains Sosial dan Kemanusiaan pula dimenangi oleh Pengurus Jabatan Penyelidikan dan Inovasi, Rosilavi Mat Jusoh dengan tajuk ‘Hala Tuju Pembangunan Industri Kenderaan Elektrik Perlu Diperkemas’ manakala tempat ketiga dimenangi oleh Dr. Noradilah Md Nordin dari PSK dengan tajuk ‘Beri Sokongan Emosi kepada Murid Mangsa Bencana Banjir’. 

Manakala bagi pemenang tempat kedua dan ketiga menerima hadiah berupa sijil dan wang tunai RM 700 dan RM500. 

Anugerah Penulisan Rencana Terbaik ini adalah sebagai  memberikan penghargaan dan pengiktirafan kepada staf  yang telah berjaya membuktikan tahap pencapaian yang cemerlang melalui pembudayaan amalan penulisan selain meningkatkan kualiti hasil kerja melalui pembudayaan inovasi dalam tugasan dan tanggungjawab yang diamanahkan.

Disediakan oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri.

Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris