Skip to main content

Forum Falsafah Seni Silat Dalam Kehidupan ubah persepsi masyarakat

PEKAN, 23 Mei 2021 – Falsafah Seni Silat Dalam Kehidupan yang merupakan sebuah forum secara dalam talian telah dianjurkan oleh Kumpulan Silat Srikala Satria, Sekretariat Kebudayaan dan Keseniaan (SKK), Universiti Malaysia Pahang (UMP) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) dan Pusat Sukan dan Kebudayaan (PSK) menggunakan Facebook sebagai medium pengantara.

Turut diundang pelakon dan pelawak terkenal, Ebby Yus yang juga merupakan seorang penggiat seni silat tanah air. 

Forum itu turut disertai barisan penggiat seni silat daripada pelbagai pertubuhan di seluruh Malaysia.

Forum yang berlangsung selama dua jam itu membincangkan persepsi masyarakat terhadap seni silat di samping memberikan perkongsian ilmu buat peserta.

Menurut pengarah program yang juga merupakan mahasiswa tahun akhir Fakulti Pengurusan Industri (FPI), Afiq Muqri Shaharud-din, walaupun berdepan cabaran terutamanya Covid-19, namun pihaknya berjaya menganjurkan forum ini sebagai salah satu inisiatif dalam meneruskan aktiviti persatuan.

“Apabila berdepan dengan pandemik COVID19 ini, penggiat-penggiat seni silat mengalami kesukaran untuk bertemu dan melakukan aktiviti fizikal. 

“Oleh kerana tidak mahu terus berdiam diri, satu usaha perlu digerakkan bagi menjana idea dan minda kami,” katanya.

Ini merupakan program pertama penganjuran kumpulan tersebut memandangkan mereka selama ini hanya memfokuskan dalam persembahan dan perlawanan silat sahaja.

Ujarnya lagi, jika mereka mampu beraksi di gelanggang, pastinya mereka juga mampu mengendalikan sebuah cabaran baharu seperti penganjuran forum seperti ini. 

Beliau yakin dengan kemampuan ahli jawatankuasa iaitu walaupun menghadapi pelbagai dugaan dan kesulitan mengendalikan program buat pertama kalinya namun, Alhamdullilah dengan izin Allah SWT segalanya berjalan lancar.

Bagi Muhammad Mohd Yunos pula yang merupakan penggiat seni di Jerantut berkata, ilmu silat ini luas. 

“Matlamatnya adalah persilatan hidup, tidak kenal maka tidak cinta dan ia terus digunakan dalam kehidupan harian. 

“Budayanya dikembangkan walaupun menggunakan pendekatan yang berbeza namun matlamatnya tetap sama,” katanya. 

Begitu juga dengan Mohd Fauzian Mohd Sabri yang turut meninggalkan komen berkata, perkongsian dan penerangan yang diberikan penuh pengertian, jelas untuk kita memahami pusaka orang-orang Melayu. 

“Semoga kita akan dapat memahami keistimewaan seni silat melayu,” ujarnya. 

Rata-rata penonton turut memberikan komen yang positif terhadap forum ini dan mengharapkan ia dapat dilakukan pada masa akan datang di samping terdapat beberapa penyertaan baharu daripada mahasiswa lain untuk menyertai seni silat ini.
 

Disediakan Oleh: Siti Nurfarmy Ibrahim, Unit Komunikasi Korporat dan Noor Afiza Mohd Asmi, Pusat Sukan dan Kebudayaan.

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim