Skip to main content

ITKAS pusat pengumpulan ilmu intelektual awam

PEKAN, 12 Mac 2021 - Penubuhan Institut Tamadun dan Kajian Strategik (ITKAS), Universiti Malaysia Pahang (UMP) merupakan salah satu anjakan dalam pembentukan ekosistem universiti yang dapat mengoptimumkan manfaat keberadaan UMP di negeri Pahang.
Ia juga mampu memanfaatkan masyarakat dalam pelbagai aspek dan bidang kepakaran.
Menurut Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman, ITKAS perlu diupayakan sebagai pusat pengumpulan ilmu intektual awam dalam bidang kemanusiaan (humanities) dan seni liberal (liberal arts) sejajar dengan tuntutan mendadak terhadap teknologi terkini.
“Ini termasuklah kecerdasan  buatan (AI), robotik, blockchain, data raya (big data) dan data analitik awanan (cloud data analytics) dan dan ITKAS perlu berkala menerbit dan berwacana pada landasan domain awam,” katanya dalam sesi pertemuan dengan ketua-ketua kluster ITKAS baru-baru ini yang berlangsung di UMP Pekan.
Beliau mengharapkan agar ITKAS menjadi pusat pemikir (think tank) berwibawa kepada kerajaan negeri Pahang dan pihak-pihak berkepentingan lain di peringkat global.
Tan Sri Abdul Aziz turut optimis bahawa ITKAS mampu diiktiraf dalam tempoh yang singkat memandangkan pengalaman dan kepakaran yang terdapat di universiti ini.
Ia juga selari dengan hasrat Naib Canselor UMP, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff yang menyasarkan program wacana yang berkait rapat dengan negeri Pahang pada fasa awal penubuhan ITKAS.
Antaranya, bicara ilmiah dan aktiviti untuk menjalinkan kerjasama strategik yang boleh memperkenalkan dan mengetengahkan objektif ITKAS di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Menurut Pengarah ITKAS, Datuk Prof. Madya Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain, ITKAS juga berperanan dalam mendidik masyarakat memahami undang-undang perlembagaan dan pemikiran watan dalam pembinaan negara bangsa Malaysia.
“Kami sedang merancang takwim sepanjang tahun 2021 ini agar segala aktiviti dapat dilaksanakan dengan baik dan mendapat liputan sewajarnya dengan mengambil kira jangka masa siap kajian sehingga lulus sepenuhnya.
“Empat kluster diwujudkan di bawah ITKAS iaitu Kluster Tamadun yang akan diketuai oleh Dekan Kanan, Kolej Pengurusan dan Kemanusiaan, Profesor Madya Dr. Hasan Ahmad dan Kluster Pengurusan akan diketuai oleh Profesor Dr. Roszaini Mohamad Haniffa dari Fakulti Pengurusan Industri.
“Kluster Teknologi pula akan diketuai oleh Dekan Kanan Kolej Komputeran dan Sains Kejuruteraan, Profesor Ts. Dr. Ruzaini Abdullah Arshah.
“Manakala Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ts. Dr. Mohd Rosli Hainin akan mengetuai Kluster Infrastuktur dan Persekitaran,” katanya.
Mesyuarat Lembaga Pengarah Universiti (LPU) Bil.4/2020 pada 21 November 2020 telah bersetuju meluluskan pertukaran nama Institut Kajian Strategik Negeri Pahang (INSKEP) kepada Institut Tamadun dan Kajian Strategik atau lebih dikenali dengan ITKAS.

Disediakan Oleh: Mohd Zaki Ahmad, Institut Tamadun dan Kajian Strategik (ITKAS) dan Suntingan Oleh Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)

 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Admin UMP News