Skip to main content
ITKAS terajui Kajian Penjenamaan Daerah Bera

ITKAS terajui Kajian Penjenamaan Daerah Bera

BANGI, 14 Oktober 2021- Institut Tamadun dan Kajian Strategik (ITKAS), Universiti Malaysia Pahang (UMP) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Pahang akan menerajui Kajian Penjenamaan Daerah Bera menerusi projek perundingan di bawah seliaan UMP Holdings Sdn. Bhd. bermula pada  penghujung bulan ini.

Satu pertemuan bersama antara ITKAS dengan wakil Kerajaan Negeri, Pejabat Daerah Bera, Majlis Daerah Bera, aktivis Budayawan-Sejarah Pahang dan penyelidik UMP telah diadakan baru-baru ini.

Hadir mempengerusikan mesyuarat ialah Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang Dato’ Sri Norolazali Sulaiman yang juga merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri bagi kawasan Guai Pahang.

Menurut Dato’ Sri Norol Azali, kajian ini akan melihat kepada tiga faktor utama iaitu sosioekonomi, pelancongan dan sejarah dalam menentukan arah tuju kajian.

“Kajian ini turut memberi tumpuan terhadap Pelan Rancangan Tempatan Daerah Bera dan beberapa implikasi lain melibatkan perundangan. 

“Besar harapan pihak Kerajaan Negeri Pahang agar kajian ini dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin,” katanya.

Kajian ini akan diketuai oleh Pensyarah Kanan, Fakulti Pengurusan Industri (FIM), Datuk Profesor Madya Wan Ahmad Fauzi Wan Husain. 

Pasukan perundingan ini juga akan turut disertai oleh penyelidik lain iaitu Profesor Madya Dr. Yudi Fernando selaku Timbalan Ketua Perundingan, Dekan FIM, Dr. Hanafiah Ahmad, Nurhaizan Mohd Zainudin dan Dr. Muhammad Shabir Shaharudin.

Menurut Penyelaras ITKAS yang juga merupakan ahli perundingan kajian untuk sektor pelancongan daerah Bera,  Mohd Zaki  Ahmad,  kajian seumpama ini bertepatan dengan objektif penubuhan ITKAS untuk menjadi sebuah pusat pemikir (think tank) berwibawa kepada Kerajaan Negeri Pahang dan juga pihak-pihak berkepentingan lain.

“Gagasan penubuhan ITKAS adalah hasil daripada idea Pengerusi Lembaga Pengarah UMP,  Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman iaitu bagi mengoptimumkan kewujudan UMP di negeri Pahang.

Pertemuan ini juga turut dihadiri oleh Pegawai Daerah Bera, Dato’ Zaman Azam, Dato’ Mustaffa Mat Yasin, Dato’ Aripin Said, Dato’ Dr. Roselan Baki dan Datuk Dr. Mohammed Anwar Omar Din. 

Lain-lain Tuan Haji Shamsul dari  Majlis Daerah Bera, Fahmi  Mohd Fikri daripada Pejabat Daerah & Tanah Bera dan Faizal Abu Bakar daripada Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN), Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang serta Lokman Che Jusoh daripada UMP Holdings Sdn. Bhd.

Disediakan oleh: Mohd Zaki Ahmad, Institut Tamadun dan Kajian Strategik (ITKAS)

Reports by:
Admin UMP News