Skip to main content

Jalinan Pejabat SUARA UMP dan Perpustakaan dalam penyebaran ilmu

Pekan, 14 Oktober 2020 – Kerjasama antara Pejabat SUARA UMP dengan Perpustakaan UMP menjadi teras kepada penyebaran ilmu yang berterusan dalam usaha menggalakkan lebih ramai masyarakat untuk menanam sikap rajin membaca.

Menurut Ketua Pustakawan UMP, Azman Abdul Rahim, Perpustakaan sendiri tidak akan mampu menyediakan bahan bacaan termasuk buku, surat khabar, majalah, dan lain-lain lagi untuk memberi khidmat kepada masyarakat awam terutamanya golongan pelajar untuk menimba ilmu tanpa adanya bekalan daripada pusat penerbitan.

“Kolaborasi antara kedua-dua pihak ini diibaratkan seperti aur dengan tebing kerana saling memerlukan antara satu sama lain. 

“Menerusi penerbitan ia akan mengembangkan idea atau ilmu baharu manakala pihak Perpustakaan adalah sebuah tempat bagi orang ramai merujuk ilmu,” katanya.

Azman berkata demikian ketika merasmikan Majlis Inspirasi Pejabat SUARA UMP Siri Kedua di Lounge Eksekutif, Perpustakaan, UMP Pekan baru-baru ini. 

Justeru katanya, hubungan baik antara penerbitan dengan Perpustakaan perlu diteruskan untuk kelestarian ilmu pada masa akan datang.

Sementara itu, dalam majlis berkenaan, sebanyak empat buah buku bahasa Melayu dilancarkan iaitu buku Isu-isu Pembelajaran dan Pengajaran  Bahasa, Komunikasi dan Sastera, Kejayaan Dalam Keusahawanan, Kokurikulum dan Pembangunan Holistik serta buku Glosari Bergambar Tempaan Logam.

Disediakan Oleh: Shalfarina Shahriman, Pejabat SUARA UMP

 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Admin UMP News