Skip to main content
Jualan nombor plat khas 'UC' cecah RM3 juta, kini dibuka untuk jualan umum

Jualan nombor plat khas 'UC' cecah RM3 juta, kini dibuka untuk jualan umum

KUANTAN, 24 Februari 2022 - Universiti Malaysia Pahang (UMP) mencatatkan penjualan siri nombor pendaftaran khas 'UC' mencecah RM 3 juta sejak dibuka untuk bidaan pada 1 Februari 2022. 

Sehingga hari ini, hampir 1,000 nombor telah dibida dan terjual termasuklah nombor-nombor yang berjaya ditender oleh staf, pelajar, individu dan juga syarikat. 

Pengerusi Lembaga Pengarah UMP,  Tan Sri Dato' Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman yang juga merupakan Pengerusi Yayasan UMP berkata, orang awam yang berminat mendapatkan plat nombor kenderaan khas ‘UC’ ini boleh mendapatkannya mulai 25 Februari 2022. 

Penjualan nombor pendaftaran khas itu susulan hasrat dan inisiatif Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang mahu semua universiti awam menjana pendapatan sendiri.

"Ia adalah sebahagian usaha Yayasan UMP meningkatkan sumber pendapatan untuk disalurkan untuk pelbagai program kebajikan bagi manfaat pelajar dan golongan memerlukan," katanya. 

Beliau ditemui selepas mempengerusikan  Mesyuarat Penyelarasan Perancangan Program Belia dan Pelajar Negeri Pahang yang berlangsung di Hotel Zenith, Kuantan.  

Hadir sama Profesor Dato' Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin Yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMP. 

Pihak universiti  mengharapkan agar warga UMP khasnya dan orang awam  dapat menyokong usaha ini. 

Beliau mengucapkan terima  kasih kepada para penender awam dan pembeli termasuklah warga UMP yang terdiri daripada staf, alumni dan mahasiswa yang memberi sokongan terhadap usaha ini.

Bagi mereka yang masih berminat untuk membeli nombor plat UC, boleh terus ke laman sesawang www.ucplat.com.my yang dikendalikan oleh Sekretariat jualan Aquatwo Sdn. Bhd.

Plat khas ‘UC’ ini hanya boleh didaftarkan di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wangsa Maju, Kuala Lumpur dan juga Kuantan, Pahang bermula 1 Mac 2022 sehingga November 2024.

Plat ‘UC’ telah diluluskan oleh pihak JPJ kepada UMP. 

Kombinasi kedua huruf ‘UC’ ini diambil bagi mewakili huruf ‘U’ yang merupakan awalan perkataan UMP manakala ‘C’ merupakan nombor pendaftaran kenderaan rasmi bagi negeri ini yang juga identiti Pahang.

Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)

Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit