Skip to main content

Kayuhan Merdeka UMP Kibar Jalur Gemilang Semarakkan Bulan Kemerdekaan

Pekan, 30 Ogos- Menjelang Hari Kebangsaan ke-61 yang disambut pada 31 Ogos ini memberi semangat buat peserta Kayuhan Merdeka seramai 61 orang berbasikal mengelilingi kampus sambil mengibarkan Jalur Gemilang bagi menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan warga kampus. Selain beriadah dan amalan gaya hidup sihat, sepanjang perjalanan mereka singgah di Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Perpustakaan, Pusat Bahasa Moden dan Sains Kemanusiaan, Pusat Teknologi Maklumat dan Komunikasi dan bertemu dengan anak-anak cilik dari Taska Anakku Comel UMP bagi mengagihkan Jalur Gemilang dan menyebarkan semangat  kemerdekaan dan cintakan negara.

 

Ketibaan peserta disambut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dato’ Dr. Yuserrie Zainuddin di Bangunan Canseleri Tun Abdul Razak. Pada masa yang sama beliau turut memasang Jalur Gemilang di kereta dan kenderaan universiti. Menurutnya, sepanjang bulan Ogos ini menyaksikan kibaran Jalur Gemilang menghiasi bangunan dan pejabat sebagai tanda ingatan dalam menyemarakkan sambutan bulan kemerdekaan sejak 15 Ogos lalu di UMP Gambang dan Pekan, bahkan pelbagai program yang menarik  disusun sepanjang bulan ini sehingga menjelangnya Hari Malaysia pada 16 September nanti.

 

“UMP  mengadakan beberapa aktiviti seperti Pertandingan Fotografi “ Lensa Merdeka 61”  dan Video Pendek “ Lensa Bakti”. Turut berlangsung pelancaran Festival ‘Aku Darah Anak Malaysia’ bagi menyemarakkan semangat jati diri serta meningkatkan kesedaran tentang sejarah kemerdekaan serta menanamkan perasaan sayang kepada negara,” katanya sempena Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Kemerdekaan Peringkat Universiti hari ini. Di antara pengisian termasuklah Pameran Kemerdekaan 2018 yang diadakan di Perpustakaan UMP, Classroom to Global Community bertemakan Ekspresi Bakti, Promosi dan Penghargaan melalui Teknologi (e-bP2@T), Aspirasi Merdeka dan Cendekia Bicara yang bakal menampilkan jurufoto profesional iaitu Stefano Romano dan penerima Anugerah Hadiah Guru Global setaraf 'Hadiah Nobel' iaitu Noorjahan Sultan.  

 

Katanya, menerusi program ini juga dapat memupuk dan menyemarakkan semangat patriotisma dalam jiwa warga UMP. Selain itu menerusi program ini juga dapat mewujudkan semangat kerja berpasukan dan mengeratkan silaturrahim antara warganya. Turut berlangsung pra pelancaran Kajian Produk Pengurusan Kepelbagaian iaitu Autentik, Dinamik, Altruistik dan Manusia (A.D.A.M) oleh sekumpulan penyelidik UMP diketuai Pensyarah Pusat Bahasa Moden dan Sains Kemanusiaan , Dr Munira Abdul Razak yang dijalankan sejak tahun 2007 menerusi pembelajaran dalam kalangan pelajar kejuruteraan di universiti ini.

 

Bagi  Dr Munira, penyelidikan Pengurusan Kepelbagaian (Diversity Management) berbentuk Teknologi Disruptif ini mempunyai keistimewaan apabila ianya hasil gabungan dua elemen utama iaitu Autentik dan Altruistik dalam menjamin kualiti perkhidmatan berorientasikan aplikasi akademik, e-latihan serta gamifikasi yang bertepatan dengan aspirasi UMP iaitu ‘Memasyarakatkan Teknologi’ serta kehendak Industri dan Pendidikan 4.0. Ianya selari dengan konsep `kekitaan' bahawa semua rakyat Malaysia adalah ‘sedarah’ dan bersaudara  dapat dizahirkan. 

 

Beliau yang juga pengasas syarikat D.N.A. Resources Sdn. Bhd telah menjalankan melaksanakan beberapa program menggunakan aplikasi ini dan terkini hasil penyelidikannya mendapat pengiktirafan oleh Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) dengan skim Superbxcel 2018. Produk ini juga telah mendapat pengiktirafan di pelbagai peringkat universiti, nasional dan antarabangsa sejak 2007. Terbaharu ialah pingat emas dua kali berturut-turut dalam International University Carnival on e-Learning (IUCEL) 2016 dan 2017.

 

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim