Skip to main content

KDYMM Pemangku Raja Pahang dilantik Penaung Diraja Sukarelawan UMP

PEKAN, 17 Februari 2022 - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hasanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dilantik sebagai Penaung Diraja Sukarelawan Universiti Malaysia Pahang (UMP).  

Pelantikan ini seiring dengan hasrat universiti dalam memperkasa agenda kesukarelawanan di universiti ini.  

UMP komited menjalankan aktiviti-aktiviti kesukarelawanan dalam kalangan warga UMP di pelbagai peringkat bagi merapatkan jurang antara masyarakat dan komuniti universiti sebagai satu proses memasyarakatkan universiti. 

Ini selaras dengan hasrat universiti untuk memasyarakatkan kewujudannya sebagai sebuah Universiti Awam (UA) agar kewujudannya dirasai, kehadirannya dapat dilihat dan suaranya didengari masyarakat.

KDYMM Pemangku Raja Pahang dilantik Penaung Diraja Sukarelawan UMP

Warkah pelantikan disampaikan Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Tan Sri Dato’ Sri Dato Sri’ Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman dalam program Program Kayuhan Lestari UMP: Inisiatif Penghijauan Kampus anjuran Yayasan UMP. 

Turut sama hadir Profesor Dato’ Ts Dr. Yuserrie Zainuddin yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMP. 

UMP kini giat melaksanakan program kesukarelawanan yang bertunjangkan kepada Matlamat Pembangunan Lestari (Sustainable Development Goal) yang menjadi agenda global seiring dengan 17 matlamat yang perlu dicapai seperti yang diperkenalkan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk semua negara menjelang tahun 2030. 

KDYMM Pemangku Raja Pahang dilantik Penaung Diraja Sukarelawan UMP

Menurut Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz, sukarelawan UMP banyak menyumbang usaha dan khidmat bakti dalam aktiviti kesukarelawan dan mencapai SDG untuk kelestarian masyarakat merangkumi usaha memastikan akses kepada tenaga yang mampu dimiliki boleh dipercayai, lestari dan mampan untuk semua terutamanya buat warga kampus dan komuniti setempat. 

“Penglibatan pelajar dengan aktiviti sukarelawan bukan sahaja mampu meningkatkan tahap pencapaian mereka dari aspek kurikulum dan kokurikulum, malahan dapat menyemai rasa tanggungjawab yang tinggi untuk membantu komuniti sekeliling yang berada dalam keadaan yang memerlukan.

“Budaya kesukarelawan dalam kalangan generasi muda perlu diperkasakan kerana ia mampu meningkatkan semangat cintakan negara, saling hormat-menghormati dan toleransi antara kaum di negara ini.

“Penubuhan Institut Tamadun dan Kajian Strategik (ITKAS) yang ditubuhkan di universiti ini memainkan peranan terhadap usaha menyemarakkan kesukarelawanan, ketamadunan dan kajian strategik terutamanya di negeri Pahang dan di negara ini,” ujarnya. 

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hasanal turut berkunjung melawat Kelulut D'Rimba yang menempatkan Haif khas, koloni Kelulut ECOSY-Hive iaitu perumah koloni Kelulut yang dibangunkan bersama penyelidik UMP iaitu Profesor Madya Dr. Mohamad Firdaus Basrawi dan Persatuan Usahawan Kelulut Pahang (PUKP). 

KDYMM Pemangku Raja Pahang dilantik Penaung Diraja Sukarelawan UMP

Ia merupakan inisiatif khas di bawah rancangan Kampus Lestari UMP dan dikomersialkan melalui UMP Technology Sdn. Bhd., iaitu syarikat pengkomersialan teknologi UMP yang menyokong pembangunan kampus hijau.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hasanal turut berkenan menyempurnakan penanaman Pokok Kebangsaan Malaysia iaitu Merbau di Rimba Lestari ini. 

Bersempena Sambutan Ulang Tahun Ke-20 UMP, program itu juga menyaksikan penyerahan plat kenderaan khas ‘UC 2’ kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hasanal. 

Kombinasi kedua-dua huruf ‘UC’ ini diambil bagi mewakili huruf ‘U’ yang juga awalan perkataan universiti iaitu UMP manakala ‘C’ adalah nombor pendaftaran kenderaan rasmi bagi negeri Pahang selain keistimewaan tersendiri dengan perkataan unik ‘You See’. 

Nombor pendaftaran khas UMP iaitu ‘UC’ boleh dibeli mulai 25 Februari depan bagi yang berminat di http://www.ucplat.com.my.

Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit