Skip to main content

KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong santuni warga UMP kurnia sumbangan buat pelajar

GAMBANG, 14 April 2023 - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan menyantuni warga Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan mengurniakan sumbangan kepada seramai 60 pelajar di sini. 

Turut berangkat Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah.

Hadir sama Menteri Besar Pahang, Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman dan Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin.

KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong santuni warga UMP kurnia sumbangan buat pelajar

Menurut Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie, mahasiswa dan akademia UMP akan meneruskan kecemerlangan akademik serta terus mengungguli bidang penyelidikan dan inovasi pada masa akan datang dengan meraih pelbagai kejayaan.

“Ini termasuklah dengan melahirkan lebih ramai lagi penyelidik daripada UMP yang diiktiraf sebagai saintis terbaik dunia,” katanya semasa menyampaikan ucapan.

Bersempena bulan Ramadan, UMP telah mengagihkan sebanyak RM200,000.00 bagi aktiviti penyediaan Iftar Ramadan dan Sahur secara percuma selama sebulan dengan lebih 1,600 pelajar mendapat manfaat daripada inisiatif ini hasil daripada sumbangan agensi dan korporat, potongan gaji warga kerja UMP dan orang ramai.

KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong santuni warga UMP kurnia sumbangan buat pelajar

Seramai 1000 pelajar hadir dalam program Majlis Berbuka Puasa KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bersama warga UMP yang berlangsung di Dewan Kompleks Sukan UMP Kampus Gambang.

Disediakan oleh: Mimi Rabita Haji Abdul Wahit, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri. 

Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit