Skip to main content

Kekalkan perpaduan dan semai semangat patriotisme – NC UMP

PEKAN, 26 September 2022 – Usaha untuk mengekalkan perpaduan bukanlah perkara mudah dan harus disertai asas sosioekonomi bertunjangkan keadilan sosial.

Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang (UMP), Profesor Dato’ Ts. Dr. Yusserie Zainuddin berkata, perpaduan adalah suatu nikmat yang tidak ternilai harganya. 

“Oleh itu, kita perlu pupuk dan pelihara dalam diri kita semua agar kemerdekaan Malaysia dapat dipertahankan sampai bila-bila.

“Sambutan bulan kebangsaan saban tahun dijadikan landasan untuk memperkasakan sahsiah, perpaduan, pengetahuan tentang sejarah dan pembangunan negara.

Kekalkan perpaduan dan semai semangat patriotisme – NC UMP

“Begitu juga pada peringkat universiti tidak terkecuali dengan mengadakan pelbagai aktiviti sempena bulan kemerdekaan, demi menyemai semangat patriotisme dalam kalangan warga UMP,” ujarnya.

Walau bagaimanapun katanya, dalam usia kemerdekaan yang telah melebihi setengah dekad ini, masih terdapat sebilangan masyarakat khususnya golongan muda yang kurang arif mengenai peranan dan erti sebenar kemerdekaan.

“Kita perlu memerdekakan minda dari perkara negatif dan merubah kehidupan ke arah masyarakat minda kelas pertama,” katanya semasa merasmikan Majlis Penutupan Sambutan Bulan Kebangsaan di Dewan Serbaguna, UMP Pekan.  

Tambahnya lagi, kita juga seharusnya peka dan menghindari penjajahan yang lebih berbahaya iaitu penjajahan mental melalui pengaruh-pengaruh budaya dan amalan negatif.

Kekalkan perpaduan dan semai semangat patriotisme – NC UMP

“Mengibar Jalur Gemilang bukan sahaja simbolik tanda sokongan kita pada negara malah memupuk perpaduan dalam kalangan warganya tanpa mengira latar belakang agama, warna kulit, pangkat dan darjat,” katanya.

Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ts. Dr. Rosli Hainin, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Kamal Zuhairi Zamli, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed dan Pendaftar/Ketua Pegawai Operasi, Saiful Bahri Ahmad Bakarim.

Pada masa yang sama, Naib Canselor turut menyampaikan sijil penghargaan kepada kontinjen UMP yang menjuarai perbarisan kategori Institut Pengajian Tinggi (IPT) sempena  Sambutan Hari Kebangsaan 2022 Peringkat Daerah Pekan.

Lebih 200 orang warga UMP hadir meraikan majlis yang turut diserikan dengan persembahan cilik daripada anak-anak taska Anakku Comel UMP, deklamasi puisi yang disampaikan oleh Pengarah Pusat Sumber Pengajaran dan e-Pembelajaran, Profesor Madya Ts. Dr. Awanis Romli, Pengarah Unit Perkhidmatan Orang Kurang Upaya, Dr. Munira Abdul Razak dan gabungan guru bahasa Pusat Bahasa Moden (PBM) iaitu  Jamilah Bebe Mohamad dan Shamsul Harbi.

Dalam usaha untuk menyemarakkan program sasterawan di universiti, Pusat Bahasa Moden (PBM) telah menghasilkan buku bertajuk 'Serpilihan Puisi Suara Keluarga Merdeka UMP' yang menghimpunkan sebanyak 65 karya puisi iaitu penampilan khas (5 karya), staf akademik (38 karya), staf bukan akademik (10 karya), pelajar UMP (10 karya) dan alumni UMP (tujuh karya).

Turut berlangsung pameran sejarah dan kemerdekaan oleh Perpustakaan UMP yang memberi peluang pengunjung untuk menyaksikan gambar dan kisah perjuangan pemimpin dalam mencapai kemerdekaan.

Disediakan oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris