Skip to main content

Kemahiran Penulisan Kreatif Boleh Dibina

Kuantan, 26 November- Generasi muda hari ini digalakkan mencipta kehebatan dengan mengambil peluang meneroka ilmu serta meningkatkan keupayaan diri agar mampu bersaing pada masa depan.

Tidak mempunyai pendedahan tentang sastera dan hanya berlatar belakangkan program teknologi dan kejuruteraan mahupun sains, bukan halangan buat mahasiswa melahirkan idea kreatif malahan gabungan sastera dan teknikal mampu memberi kefahaman yang jelas dan mendidik masyarakat menerusi inovasi baharu selain menghasilkan output yang lebih menarik.

Bagi pensyarah Fakulti Bahasa dan Komunikasi yang juga Timbalan Pengarah Media, Bahagian Komunikasi Korporat, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Madya Dr Ghazali Din berkata, golongan mahasiswa mampu menjadikan bidang penulisan kreatif ini suatu kerjaya masa depan yang boleh menjana pendapatan sampingan.

Dengan menulis menjadikan mahasiswa mempunyai nilai tambah dalam kepelbagaian kemahiran insaniah yang menuntut mahasisa berbeza berbanding dengan mahasiswa lain. Kepelbagaian kemahiran ini boleh diteroka menerusi aktiviti penulisan atau lisan termasuklah pengucapan awam atau pengacaraan.

Katanya, kecemerlangan akademik sahaja bukan ukuran kejayaan dalam menggapai kerjaya yang diinginkan memandangkan universiti melahirkan graduan puluhan ribu setahun. Justeru, inovasi dan kreativiti adalah harta yang sangat bernilai yang boleh dimiliki mahasiswa hari ini.

“Kebanyakan penulis bermula dengan idea kecil dan mereka menulis pada peringkat awal mungkin secara suka-suka dari catatan kecil diari, telefon bimbit malahan dalam media sosial,” katanya semasa menyampaikan ceramah Penulisan dan Kerjaya: Meremajakan Idea Untuk Remaja bersempena Wacana Kesusasteraan Remaja dan Karyawan Di Universiti. 

Tampil sama sebagai penceramah adalah pensyarah kanan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Arbaie Sujud yang berkongsi tentang kedudukan bahasa dalam sastera yang mempunyai nilai estetika dan aspek keindahan bahasa itu sendiri termasuk pemikiran dan teknik. Beliau juga menasihatkan agar mahasiswa mengikuti latihan penulisan untuk mengasah bakat masing-masing. 

Dalam wacana ini Pegawai Penerbitan Kanan UMP, Muhammad Azli Shukri bertindak sebagai moderator. Program anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka dengan kerjasama Penerbit UMP dan Pusat Bahasa Moden (PBM) ini dirasmikan Timbalan Dekan (Akademik) Pusat Bahasa Moden, Abdullah Adnan Mohamed yang turut dihadiri ahli guru bahasa, PBM, Juwairiah Osman selaku ahli Jawatan kuasa Induk Program “Sasterawan/ Karyawan di Unversiti”.  

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri