Skip to main content

Kemerdekaan Malaysia perlu dipertahankan dan bantu pembebasan Palestin

PAYA BESAR, 2 September 2022 - Rakyat Malaysia perlu mempertahankan kemerdekaan negara kerana ini merupakan salah satu faktor yang membantu  ke arah pembebasan Palestin. 

Demikian menurut pengasas bidang kajian Islamic Jerusalem Studies dari United Kingdom, Profesor Dr. Abd al-Fattah el-Awaisi. 

Beliau berkata demikian dalam Wacana Ilmiah Kemerdekaan yang dianjurkan Pusat Sains Kemanusiaan (PSK) dengan kerjasama Jabatan Pendaftar Universiti Malaysia Pahang (UMP) baru-baru ini.
 
Menurut el-Awaisi, masyarakat moden perlu menggunakan pendekatan yang lebih berstrategik dalam mengawal hegemoni Barat.
 
“Sejak awal kurun ke-17, Barat telah merancang untuk mengukuhkan kedudukan dan penguasaan mereka di blok Asia, khasnya di Asia Barat. 

BENGKEL MENGENAI PORTAL UMP BERSAMA PTMK

“Negara Israel merupakan produk daripada perancangan Barat demi kelangsungan penguasaan mereka di dunia,” ujar beliau.
 
Malahan Profesor Dr. Abd al-Fattah berkata, Palestin juga menjadi mangsa caturan politik Barat. 

Hasil perancangan mereka, jutaan rakyat Palestin kehilangan tempat tinggal dan terpaksa tinggal di dalam kem pelarian, termasuklah el-Awaisi sendiri sejak kanak-kanak, sebelum berhijrah untuk mendalami ilmu pengetahuan dalam bidang Hubungan Antarabangsa.
 
Profesor Dr. Abd al-Fattah El-Awaisi menjelajah ke negara ini selama dua bulan bagi menyebar luas kefahaman kepada orang ramai mengenai situasi sebenar Baitulmaqdis.  

Beliau dalam siri program Road2Baitilmaqdis di Malaysia dalam usaha membangkitkan kesedaran rakyat Malaysia mengenai kepentingan bertindak secara strategik dalam usaha menentang kezaliman dan penjajahan Zionis di Palestin.
 
Beliau menasihatkan kepada mahasiswa UMP agar mempelajari bidang pengajian masing-masing secara bersungguh-sungguh memandangkan hanya dengan pengetahuan sahajalah seseorang itu akan menghargai dan mempertahankan kemerdekaan.
 
UMP merupakan antara universiti terawal di Malaysia yang menawarkan Kursus Elektif Pengajian Palestin dalam struktur pengajian akademik di peringkat Ijazah Sarjana Muda bermula pada tahun ini dengan dikendalikan oleh Dr. Ahmad Irfan Ikmal Hisham yang juga merupakan bekas pelajar el-Awaisi di United Kingdom.
 
Dalam program wacana ini, el-Awaisi turut mengucapkan tahniah kepada rakyat Malaysia atas sambutan Hari Kemerdekaan Ke-65.

Disediakan oleh: Dr. Ahmad Irfan Ikmal Hisham, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK)

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Admin UMP News