Skip to main content

Kolaborasi strategik UMP, KPMKR transformasi pendidikan komuniti Sabah

KOTA KINABALU, 26 Januari 2022- Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan UMP Advanced memperluas kerjasama strategik dengan pihak Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah (KPMKR) termasuk agensi serta jabatan lain di negeri Sabah dalam usaha membantu transformasi komuniti berteraskan teknologi terutamanya golongan B40, ibu tunggal, golongan asnaf dan penduduk asal negeri itu.

Pertemuan bersama Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Ir. Shahelmey Yahya yang dihadiri Ahli Lembaga Pengarah UMP merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah UMP Advanced, Dato’ Mohd Sharil Abdullah memberi lebih banyak ruang kerjasama dan meneroka peluang untuk dimanfaatkan bersama pihak universiti dan komuniti di negeri Sabah.  

Turut sama hadir Ketua Pegawai Eksekutif UMP Advanced, Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed dan Pensyarah Kanan, Fakulti Pengurusan Industri (FPI), Profesor Madya Dr. Mohd Ridzuan Darun.

Menurut Dato’ Mohd Sharil, kerjasama strategik ini merupakan satu peluang yang berharga dalam membantu meningkatkan taraf pendidikan dan kemahiran penduduk Sabah.

“UMP Advanced mempunyai keupayaan dan pengalaman yang luas dalam melaksanakan program latihan dan kemahiran serta telah berjaya membantu dalam projek transformasi komuniti dan masyarakat melibatkan kumpulan sasar.

“Ia telah dibuktikan menerusi pelaksanaan Projek empowerECER Mahkota di Negeri Pahang sejak tahun 2011 hasil kerjasama dengan pihak Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dan Projek empowerNCER (Utara) yang meliputi seluruh daerah Perak dan Pulau Pinang.

“Selain itu, pengalaman yang luas pihak UMP Advanced dalam menjayakan dua projek di koridor ekonomi ini akan digunakan untuk manfaat rakyat negeri di bawah bayu itu dengan kerjasama strategik bersama pihak KPMKR,” katanya.

Dalam pada itu, Datuk Ir. Shahelmey melahirkan keyakinan dengan kemampuan UMP dalam membantu rakyat Sabah terutamanya dalam aspek pendidikan memandangkan UMP mempunyai kepakaran terutamanya dalam bidang berkaitan Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

Kerjasama strategik ini merupakan satu manifestasi komitmen UMP selaras dengan slogan UMP iaitu ‘Teknologi untuk Masyarakat dan seiring dengan moto UMP Advanced iaitu ‘Education for All, No One Left Behind’ dalam memastikan pendidikan untuk semua bagi meningkatkan taraf sosial ekonomi dan kesejahteraan masyarakat.

Disediakan oleh: Sakinah Abdullah, UMP Advanced 

Reports by:
Norhidayah binti Mohamad