Skip to main content

Kolaborasi UMP anjur Minggu Keusahawanan SKAC

KUANTAN, 8 Oktober 2021 – Penganjuran Minggu Keusahawanan Sekolah Kebangsaan Assunta Convent 2021 (MK SKAC) hasil kerjasama Unit Kokurikulum dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SKAC dan  Pusat Jaringan Industri dan Masyarakat (PJIM), Jabatan Pembangunan Graduan, Universiti Malaysia Pahang  (UMP) secara dalam talian telah menarik penyertaan seramai 71 orang pelajar sekolah baru-baru ini.

Walaupun program tersebut tidak dilaksanakan secara fizikal, ia tidak menghalang pelbagai aktiviti dapat dijalankan dengan jayanya hanya menggunakan platform telegram menerusi penganjuran pertandingan poster paling kreatif, gaya jualan paling kreatif dan lejar paling sistematik.

Hadir sama dalam penutup program Guru Besar SKAC, Siti Hajar Hashim, Penolong Naib Canselor, Jabatan Pembangunan Graduan UMP, Profesor Madya Ir. Dr. Nurul Hazlina  Noordin, Yang di-Pertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Mohd Akmal Kong Abdullah dan Pengarah PJIM, Profesor Madya Dr. Saiful Anwar Che Ghani.

Menurut Profesor Madya Ir. Dr. Nurul Hazlina, penganjuran Minggu Keusahawanan ini bertepatan dengan matlamat kerajaan untuk menjadikan keusahawanan sebagai pilihan kerjaya dalam kalangan masyarakat yang tidak hanya bergantung kepada peluang pekerjaan, malah mencipta peluang pekerjaan.

“Usaha kerajaan untuk menerapkan kefahaman tentang kepentingan bidang keusahawanan dalam membina kehidupan yang lebih baik, amat wajar apabila KPM sendiri amat menggalakkan pihak sekolah menganjurkan Minggu Keusahawanan dan KPT menjuruskan Teras Keusahawan sebagai salah satu teras utama dalam kokurikulum di seluruh IPT,” katanya.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada pihak sekolah kerana telah berjaya menganjurkan Minggu Keusahawanan ini walaupun dalam keadaan pembelajaran secara PdPR kerana pandemik COVID-19.  

Sementara itu, menurut Siti Hajar, idea MK SKAC ini tercetus daripada Program Transformasi Pendidikan Pahang yang menyasarkan ciri model murid untuk membentuk generasi usahawan. 

“Program yang tidak bermatlamatkan keuntungan ini lebih mensasarkan kepada memberikan pengetahuan dan kemahiran berniaga.

“Program ini juga dapat memberikan kemahiran berniaga secara ‘hands on’ selain dapat membantu ibu bapa yang terkesan akibat pandemik ini. 

"Melalui program ini juga pelajar akan belajar bagaimana merancang dan membuat promosi serta memasarkan produk,” ujarnya.

Tambahnya lagi, kemahiran berfikir aras tinggi dalam kalangan pelajar turut ditingkatkan dengan gaya berniaga yang kreatif dan inovasi. 

“Akhirnya, mereka akan dibimbing untuk menjana sistem lejar bagi perniagaan masing-masing.

“Tahniah dan syabas kepada semua pelajar yang melibatkan diri di dalam program ini. 

“Walaupun hanya berumur setahun jagung, namun dengan bimbingan dan sokongan telah berjaya membuktikan bahawa usaha itu bahan utama untuk mencapai kejayaan,” ujarnya. 

Turut berlangsung Sesi Bicara Keusahawanan yang telah disampaikan oleh Pengarah Pusat Keusahawanan UMP, Dr. Mohd Nizar Mohd Razali dan Pengarah Kreatif, Tea Prima International Sdn. Bhd., Dr. Areej Torla. 

Kedua-dua panel telah berkongsikan tip dan pengalaman masing-masing dalam bidang keusahawanan. 

Dr. Areej juga merupakan pemilik jenama Telekung Tea yang merupakan penaja rasmi bagi program ini. 

Selain itu, senarai pemenang juga telah diumumkan oleh Suaizi Zainudin yang merupakan Pengarah Urusan SZ Excel dan merupakan Alumni SK Assunta Convent.

Disediakan oleh:  Halizan Mohmood, Pusat Jaringan Industri dan Masyarakat (PJIM). 

Reports by:
Admin UMP News