Skip to main content

Kolej Kediaman Mawaddah penginapan pelajar UMP berkonsepkan wakaf

PEKAN, 11 Mac 2021 - Universiti Malaysia Pahang (UMP) bakal memiliki penginapan pelajar berkonsepkan wakaf apabila Kolej Kediaman Mawaddah yang diwujudkan untuk memberi perkhidmatan perlindungan kepada pelajar dalam kalangan anak yatim atau asnaf siap sepenuhnya pada awal tahun depan.

Projek pembangunan penginapan di tapak seluas 2.0 ekar di UMP Pekan ini merupakan inisiatif pengurusan universiti bersama Majlis Ugama dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) dalam usaha membantu pelajar yang berkeperluan dan mempunyai masalah kewangan serta kos sewa rumah yang semakin meningkat yang terpaksa ditanggung pelajar.

Menurut Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman yang juga Pengerusi Yayasan UMP berkata, pihak universiti bertuah mendapat kerjasama baik dari MUIP yang membenarkan kutipan dana wakaf tunai dilaksanakan untuk membolehkan orang ramai menyumbang dalam pembangunan Kolej Kediaman Mawaddah yang bermaksud ‘Kasih Sayang’ ini.

“Tidak perlu ada rasa rendah diri dalam kalangan pelajar yang ditempatkan di sini malahan pihak pengurusan universiti bersetuju agar penempatan ini turut diperluaskan kepada pelajar lain agar tidak wujud jurang dalam kelompok segmen ekonomi dalam kalangan mereka,” katanya.

“Sepatutnya, pelajar ini akan lebih bermotivasi, kuat jati diri dan menggunakan peluang ini untuk lebih berjaya.

“Dijangkakan seramai 220 orang mahasiswa dari golongan anak yatim dan asnaf akan mendapat manfaat daripada inisiatif ini,” katanya.

Beliau mengharapkan lebih ramai akan berinfak dan membayar zakat dalam memastikan anak-anak ini dapat dibantu untuk meneruskan pengajian.

Selain itu beliau turut menasihatkan agar pelajar yang berjaya ini nanti akan kembali menyumbang untuk memberi manfaat kepada pelajar lain.

Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz mengadakan lawatan ke Kolej Kediaman Mawaddah bagi melihat perkembangan pembangunan tersebut.

Hadir sama ialah Naib Canselor UMP, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff, Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) merangkap Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan UMP, Dato' Ahmad Hairi Hussain serta pengurusan tertinggi UMP.

UMP juga mengucapkan terima kasih kepada pihak MUIP dan orang ramai yang telah menyumbang ke Tabung Wakaf Kolej Kediaman Mawaddah ini.

Mereka yang berhasrat untuk berwakaf boleh menyalurkan sumbangan atas nama Bendahari Universiti Malaysia Pahang melalui Bank Islam: 06073010024679 atau Maybank: 556235309907.
Disediakan Oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC) 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit