Skip to main content

Komandan Kor Sispa UMP dilantik Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Kor Siswa-siswi Pertahanan Awam

BANGI, 6 April 2022 - Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Profesor Ts. Dr. Mohd Rosli Hainin yang merupakan Penolong Pesuruhjaya Kehormat (PA) telah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Kor Siswa-siswi Pertahanan Awam (Kor Sispa).
 
Pelantikan beliau telah dibuat semasa Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Kor Sispa bilangan 2/2022 yang bersidang di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) baru-baru ini.  
 
Dalam masa yang sama, Ajutan Kor Sispa UMP Kapten Bersekutu (PA) Mohd Raizalhilmy  Mohd Rais turut telah dilantik sebagai Setiausaha Jawatankuasa Kerja Ajutan Kor Sispa Kebangsaan bagi tahun 2022 hingga 2023.
 
Kor Sispa adalah merupakan salah sebuah badan beruniform yang terdapat di setiap Institusi Pengajian Tinggi (IPT) sebagai kursus kokurikulum yang bertujuan untuk memperkasakan kemahiran insaniah dalam kalangan pelajar. 

Ia juga selari dengan Lonjakan 1 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) dalam melahirkan mahasiswa yang seimbang dari segi akademik, kokurikulum dan insaniah.
 
Menurut Profesor Ts. Dr. Mohd Rosli, penglibatan mahasiswa dalam Kor Sispa dapat  menerapkan elemen Kemahiran Insaniah (KI) dalam proses latihan dan pengajaran serta pembelajaran menerusi Kemahiran Pembelajaran Berterusan dan Pengurusan Maklumat serta Kemahiran Komunikasi.
 
“Selain itu, ia dapat menanam dan menerap sifat kreatif serta inovatif, semangat kerjasama, tanggungjawab, perikemanusiaan, taat setia serta cintakan negara dalam kalangan mahasiswa.
 
“Pemilihan ini juga merupakan satu manifestasi penghargaan atas sumbangan signifikan yang diberikan oleh Kor Sispa UMP terutama penglibatan aktif semasa aktiviti pascabencana banjir di negeri Pahang baru-baru ini,” ujarnya. 

Komandan Kor Sispa UMP dilantik Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Kor Siswa-siswi Pertahanan Awam

 
Berkongsi mengenai sumbangan dan komitmen universiti, UMP turut mencatat sejarah apabila Kompleks Sukan UMP dipilih sebagai salah sebuah Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) di negeri ini bagi  menampung penempatan pesakit akibat penularan COVID-19 yang melanda negara.
 
Malahan, UMP juga telah berjaya mengendalikan majlis pentauliahan secara  norma baharu apabila dilantik sebagai tuan rumah Majlis Pentauliahan Kor Sispa Peringkat Kebangsaan Kali Ke-12 Tahun 2021 dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Bahagian Mahasiswa Holistik, Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang berlangsung pada November 2021.
 
Hadir sama dalam sesi  ini, Penolong Pesuruhjaya (PA) Profesor Ir. Dato’ Dr. Othman A. Karim yang merupakan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang merupakan mantan Pengerusi, Pengarah Bahagian Pengurusan Latihan APM, Kolonel (PA) Fazlisyah Muslim dan Pengarah APM Pahang Kolonel (PA) Che Adam Abdul Rahman, Komandan IPT dan Institut Pendidikan Guru (IPG) dan pegawai APM pusat dan negeri.
 
Oleh: Mohd Raizalhilmy Mohd Rais, Bahagian Pembangunan Sumber Manusia, Jabatan Pendaftar

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Admin UMP News