Skip to main content

Majlis Penghargaan dan Serah Terima Tugas Pendaftar

PEKAN, 18 Mac 2021 – Universiti Malaysia Pahang (UMP) menganjurkan majlis penghargaan buat Profesor Madya Dr. Mohd Ridzuan Darun yang telah menggalas tanggungjawab sebagai Pendaftar/Ketua Pegawai Operasi selama dua tahun bermula 15 Mac 2019 hingga 14 Mac 2021.
Sepanjang tempoh tersebut, beliau telah menyempurnakan tugas dengan baik terutamanya dalam peralihan kepimpinan Naib Canselor, Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, penstrukturan semula operasi pentadbiran, pemetaan Pelan Strategik UMP 2021-2025 dan pengurusan pentadbiran universiti berdepan cabaran penularan pandemik COVID-19 yang melanda negara sejak 25 Januari 2020.
Menurut Naib Canselor UMP, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff, para pemimpin hendaklah menjiwai institusinya sama ada dalam konteks visi, misi, falsafah dan nilai teras UMP.
“Dari situlah lahirnya sinergi yang berasaskan kesatuan pemikiran,” ujarnya.
Beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih atas segala jasa bakti dan sumbangan Profesor Madya Dr. Mohd Ridzuan sepanjang menggalas tanggungjawab ini dan akan terus memberi sokongan kepada pelantikan pendaftar yang baharu dilantik.
Profesor Madya Dr. Mohd Ridzuan turut mengucapkan terima kasih kepada pengurusan UMP terutamanya kepada Naib Canselor dan seluruh pentadbir yang telah memberi kepercayaan serta sentiasa mendokong agenda transformasi universiti.
“Masih segar dalam ingatan tatkala pertemuan pada hari pertama sewaktu Naib Canselor melapor diri.
“Antara yang telah dibincangkan adalah mengenai agenda perubahan struktur terkini yang sesuai dengan keadaan semasa dan masa hadapan.
“Alhamdulillah transisi ini berjaya dilaksanakan dan selain itu juga kita dipertanggungjawabkan untuk mengukuhkan tadbir urus UMP.
“Saya yakin, warga UMP dapat melihat kesan positif pada ekosistem universiti,” katanya dalam majlis yang berlangsung di Dewan Bankuet Canseleri Tun Abdul Razak di UMP Pekan.
Beliau juga bersyukur apabila mendapat sokongan para pentadbir yang sangat komited dalam melaksanakan tugas.
“Tanpa mereka, saya tidak mungkin dapat melaksanakannya dengan baik,” ujarnya.
Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Profesor Ts. Dr. Rosli Hainin, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr. Kamal Zuhairi Zamli dan Pendaftar/Ketua Pegawai Operasi, Hazmin Aris serta barisan pengurusan dan pegawai utama universiti.
Pada masa yang sama juga turut berlangsung majlis penyerahan tugas kepada Pendaftar baharu, Hazmin Aris, 50 yang telah mengalas jawatan Pendaftar/Ketua Pegawai Operasi mulai 15 Mac 2021.
Beliau yang telah berkhidmat selama 18 tahun di UMP sebelum ini merupakan Timbalan Pendaftar Kanan, Jabatan Penyelidikan dan Inovasi serta pernah bertugas di beberapa jabatan lain antaranya Pusat Hal Ehwal Korporat dan Kualiti, Jabatan Pendaftar, Institut Pengajian Siswazah dan Bahagian Pengurusan Akademik.
Dalam pada itu, sepanjang tempoh 19 tahun usia penubuhan universiti, UMP telah melalui era pentadbiran empat orang Naib Canselor, empat orang Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), empat orang Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), seorang Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) dan tujuh orang Pendaftar.

Disediakan Oleh: Nor Salwana Mohd. Idris, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris