Skip to main content

Malam Sanjungan Budi Kenang Jasa PLPU

Universiti Malaysia Pahang (UMP) menganjurkan Malam Sanjungan Budi sebagai mengenang jasa serta menghargai sumbangan mantan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU),  Dato’ Sri Mohd Hilmey Mohd Taib dan dua ahli LPU iaitu Dato’ Ahmad Azmey Abu Talib serta Dato’ Ir. Jamaludin Osman yang telah tamat tempoh berkhidmatan sebagai ahli LPU UMP.
 

Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Sri ts. Dr. Daing Nasir Daing Ibrahim berkata, majlis ini bukan sekadar majlis perpisahan malahan ianya adalah satu penghargaan bagi mengiktiraf kecemerlangan perkhidmatan ketiga-tiga tokoh berkenaan. 
 

“Universiti ini masih lagi dikenali dengan nama lamanya iaitu Kolej Universiti Kejuruteraan & Teknologi Malaysia (KUKTEM) tatkala perkhidmatan Dato’ Sri Hilmey bemula dan semua kenangan ini akan sentiasa dekat di hati dan kami begitu terhutang budi kepada anda,” kata Profesor Dato’ Sri ts. Dr. Daing Nasir ketika berucap dalam majlis tersebut.
 

Majlis ini turut diserikan dengan kehadiran Pengerusi Lembaga Pengarah yang baharu iaitu Dato’ Sri Ibrahim Ahmad. Bagi beliau, sumbangan yang dicurahkan oleh mantan pengerusi lembaga universiti serta ahli-ahli lembaga pengarah sangat besar impaknya kepada penubuhan sesebuah institusi pengajian yang mana mendidik ribuan generasi pewaris bangsa.
 

Bersempena dengan perkhidmatan Dato’ Sri Mohd Hilmey selama 11 tahun, UMP telah menerbitkan sebuah buku khas bertajuk 4018 hari: Dato’ Sri Mohd Hilmey Mohd Taib sebagai bingkisan perpisahan dan pengiktirafan dari warga universiti.
 

Buku ini mengandungi sorotan terhadap sumbangan profesional Dato’ Sri Mohd Hilmey yang berada dalam empat fasa Pelan Strategik UMP sepanjang perkhidmatan beliau sebagai Pengerusi LPU iaitu Meletakkan Asas Universiti Teknikal (2002-2007); Memperkukuh Asas Menjana Kecemerlangan (2008-2010); Universiti Teknologi Pilihan Utama (2011-2015) dan Menjana Kegemilangan (2016-2020).
 

Lebih 200 tetamu membabitkan barisan pengurusan universiti, ketua jabatan dan pusat tanggungjawab dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) hadir meraikan majlis yang diserikan dengan persembahan kebudayaan kendalian Pusat Sukan dan Kebudayaan UMP.
 

Disediakan oleh Nur Laila Afandi dari Pejabat Naib Canselor dan disunting oleh Bahagian Komunikasi dan Korporat.

Reports by:
Nur Laila binti Afandi