Skip to main content

Manfaat teknologi Blockchain semasa pandemik Covid -19

KUANTAN, 14 Julai 2021 – Teknologi blok rantai (blockchain) merupakan sebahagian daripada trend pendigitalan yang semakin meluas di seluruh dunia dan telah memberi kesan mendalam kepada perniagaan serta perhubungan sosial.

Teknologi blok rantai yang dihasilkan sejak 2018 merupakan set protokol perisian (digital) yang membenarkan komunikasi tanpa izin antara mesin (contoh komputer ke komputer dan komputer ke telefon pintar).

Berlangsung baru-baru ini Forum Webinar Siri Bicara Profesional Siri 1 yang bertajuk ‘Teknologi Blockchain dan Pandemik COVID-19’ anjuran Pusat Jaringan Industri dan Masyarakat (PJIM), Jabatan Pembangunan Graduan UMP dengan kerjasama Persatuan Alumni Jerman Malaysia, Blockworq Sdn. Bhd. dan Akademi Maishince.

Forum dirasmikan oleh Penolong Naib Canselor, Jabatan Pembangunan Graduan UMP, Profesor Madya Ir. Dr. Nurul Hazlina Noordin. Turut hadir ialah Presiden Persatuan Alumni Jerman Malaysia (GAAM), Mohd Akmal Mohd Yusoff dan Pengarah Pusat Jaringan Industri dan Masyarakat, Profesor Madya Dr. Saiful Anwar Che Ghani.

Menurut Profesor Madya Ir. Dr. Nurul Hazlina, webinar ini bertujuan untuk membina kesedaran dalam kalangan pengusaha industri tempatan dan orang awam mengenai impak teknologi blok rantai dan impak teknologi lain seperti model perniagaan, pengurusan rantaian nilai, kedudukan persaingan dan penyalahgunaan oleh komplot penipuan kepada ekonomi dan masyarakat am.

“Inisiatif blok rantai yang asalnya dipelopori oleh Securities Commission dan Bank Negara melalui pembangunan teknologi kewangan (finance and technology) telah mengubah arah kepada ekonomi digital untuk kelestarian pembangunan pertanian dan luar bandar.

“Ia boleh digunakan secara mapan kepada pengurusan rantaian bekalan, logistik, kontrak pintar dan e-dagang,” katanya.

Dengan bantuan teknologi blok rantai, pendigitalan penjejakan asalan setiap produk (origin tracking of products) boleh dilakukan pada setiap peringkat dalam rantaian bekalan dengan data masa nyata (real-time data) yang boleh didapati dengan memasukkan sistem bersepadu (integrated system) oleh internet benda (internet of things, IoT).

“Malahan khidmat masyarakat sebegini boleh diterajui UMP sebagai sebuah universiti teknikal dengan sokongan daripada syarikat pemain industri dan NGO masyarakat berkaitan.

Menurut Mohd Akmal pula, program perkongsian ilmu dan pengalaman sebegini akan mewujudkan lebih banyak ruang perbincangan, terutama dari pihak institusi pengajian tinggi (IPT) dan industri bagi memastikan industri ini dapat terus dikembangkan seterusnya menjadikan negara kita sebagai satu daripada negara peneraju teknologi di dalam bidang ini.

Webinar ini dikendalikan oleh Razin Hafiz Abdul Razak sebagai moderator. Beliau merupakan Pengurus Wilayah, Bahagian Operasi, Honeywell Engineering Sdn. Bhd. dan pernah berkhidmat dalam bidang automasi di syarikat gergasi Jerman serta Amerika. 

Manakala barisan panel adalah terdiri daripada profesional industri yang berpengalaman dalam teknologi blok rantai iaitu Ketua Pegawai Eksekutif, Blockworq Sdn. Bhd, Effendy Zulkifly, Pengurus Besar, Maishince Capital dan pengasas bersama Maishince Academy Sdn. Bhd, Ahmad Bukhari Roslan serta Dr. Daing Mohamad Nafiz Daing Idris yang merupakan Ketua Program Sarjana Kejuruteraan Automotif, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA), UMP.

Sesi forum ini dimulakan dengan setiap panel mendefinisikan teknologi blok rantai melalui pengalaman berdasarkan bidang masing-masing yang melibatkan industri, pendidikan dan komuniti antarabangsa. Selain itu, turut disentuh isu-isu berkaitan dengan teknologi blok rantai seperti polisi, peraturan, bitcoin dan wang kripto. 

Isu utama yang dibincangkan juga turut mengaitkan pandemik COVID-19 yang melanda sehingga menyebabkan urusan perniagaan secara tradisional terjejas kerana tidak dapat dijalankan dalam keadaan biasa.

Di dalam kesenjangan ekonomi, teknologi blok rantai kini menjadi pemangkin untuk menggantikan dan mempercepatkan penggunaan penyelesaian digital serta menaik taraf dan mengukuhkan teknologi serta infrastruktur bagi memudahkan proses menjalankan perniagaan.

Teknologi ini banyak digunakan di dalam industri logistik (kurier dan penerbangan), perbankan (fintech) dan industri halal. Forum yang disertai 168 orang penonton daripada seluruh Malaysia itu akan diteruskan pada 28 Julai 2021 depan dengan membicarakan tajuk berkaitan industri halal.

Disediakan oleh: Halizan Mohmood, Pusat Jaringan Industri dan Masyarakat (PJIM)

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Admin UMP News