Skip to main content

NC UMP umum 8 iltizam melestari kecemerlangan UMP

PEKAN, 23 Februari 2023 - Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang (UMP), Profesor Dato' Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin mengumumkan lapan iltizam dan azam bagi melestari kecemerlangan dalam kualiti akademik, pembangunan penyelidikan dan perkhidmatan agar UMP terus diiktiraf di persada dunia.
 
Iltizam pertama adalah Memacu Pendidikan TVET, kedua Pemerkasaan Mahasiswa, ketiga, Melonjak Kebitaraan Akademia dan keempat, Penyelidikan Berimpak, Menyejahterakan Komuniti. 

Manakala iltizam kelima adalah Agenda Pembangunan Bakat, keenam, Kemampanan Kewangan dan ketujuh, Kelestarian Ekosistem dan terakhir adalah Membangunkan Ekosistem Inklusif.
 
Menurut Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie yang berucap menyampaikan Amanat Naib Canselor UMP 2023 di Dewan Serbaguna UMP Pekan, bagi meneruskan kelestarian kecemerlangan untuk memacu Pendidikan TVET, UMP sebagai universiti dalam Rangkaian Universiti-universiti Teknikal Malaysia (MTUN) akan melaksanakan 60 peratus program berasaskan TVET dan 40 peratus berasaskan Kejuruteraan menjelang tahun 2025 melalui tiga inisiatif.
 
“Pertama, semakan semula program akademik agar bersesuaian dengan keperluan program yang berasaskan TVET. 

“Yang kedua, mewujudkan lebih banyak program akademik baharu yang berasaskan TVET dan yang ketiga, membangunkan mekanisme pengukuran baharu bagi mengukur pelaksanaan program akademik yang berasaskan TVET.

NC UMP umum 8 iltizam melestari kecemerlangan UMP

 
“UMP juga sentiasa menjaga kualiti program akademiknya untuk memastikan para graduannya dilengkapi dengan technical know-how atau pengetahuan teknikal yang relevan serta dapat memenuhi kehendak sektor industri utama negara supaya ekonomi negara ini kekal berdaya saing di peringkat global,” ujar beliau. 
 
Tambah beliau lagi, UMP akan terus berusaha untuk meningkatkan  keupayaan institusi dan sistem TVET agar terus kekal kompetitif dan menepati kehendak pasaran. 

“Sokongan pihak KPT dan pelbagai agensi dalam pelaksanaan sistem akreditasi yang diharmonikan dengan jaminan kualiti membolehkan mobiliti pelajar dalam institusi TVET termasuklah MTUN berjaya.
 
“Selain itu, UMP akan meningkatkan kualiti dan penyampaian program TVET untuk menambah baik  kebolehpasaran graduan melalui pendekatan mengupayakan industri untuk  menerajui  pembangunan  kurikulum, menghapuskan   pertindihan   program   dan   sumber, meningkatkan keberkesanan    kos    serta    memperluas   pembiayaan   TVET   bagi meningkatkan enrolmen.
 
“Bagi agenda pemerkasaan mahasiswa UMP melalui Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) akan memberikan tumpuan terhadap lima fokus berkaitan merealitikan Digital Native, kesatuan pelajar (Student Union), perniagaan pelajar, kedewasaan mahasiswa dan memanusiakan manusia,” katanya. 

NC UMP umum 8 iltizam melestari kecemerlangan UMP

Justeru itu, jelas beliau lagi dalam usaha untuk memastikan fokus pemerkasaan mahasiswa berupaya direalisasikan, universiti akan melaksanakan inisiatif pembinaan citra dan jati diri A.D.A.B. dan pemerkasaan ekosistem pembangunan pelajar serta pengalaman kehidupan kampus.

Turut diberi perhatian memaknakan fungsi kesatuan pelajar (student union), model baharu bisnes siswa dan skim pembiayaan mikro UMP, mewujudkan skim perantisan siswa, dan mempromosikan Gap Year dalam kalangan mahasiswa.

Beliau juga turut memberi tumpuan terhadap inisiatif untuk membangunkan Model Pembangunan Bakat yang mampan bagi warga akademik dan pentadbir (profesional dan sokongan).

Menurutnya, dalam pembangunan bakat berasaskan Model National Top Talent ini akan tertumpu kepada perancangan penggantian pengurusan utama universiti dan peningkatan kemahiran (upskilling) dalam kalangan pentadbir UMP mengikut acuan serta budaya yang berteraskan nilai teras universiti.

“Bagi memastikan kemampanan kewangan universiti ini, terdapat dua inisiatif utama iaitu penubuhan kursi dan pengukuhan dana endowmen yang disumbangkan oleh penderma kepada universiti untuk menyokong pelbagai program dan inisiatif universiti seperti penyelidikan, program bantuan kewangan, pengembangan akademik dan lain-lain.

Dalam pada itu, UMP telah berjaya melahirkan seramai 38,462 orang alumni yang telah menyumbang semula tenaga dan kepakaran mereka kepada masyarakat serta pembangunan negara.

Manakala kebolehpasaran graduan UMP pula mencatat peningkatan kepada 98.67 peratus bagi tahun 2022 merupakan tertinggi setakat ini.

Bagi Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie, UMP perlu memainkan peranan yang lebih efektif dalam membantu meningkatkan kesejahteraan hidup masyarakat seiring dengan tema ‘Teknologi untuk Masyarakat’.

“Justeru, penyelidikan di UMP mestilah berasaskan kepada potensi penawaran penyelesaian masalah yang berasaskan teknologi kepada masyarakat.

Turut berlangsung Majlis Sanjungan Budi bagi mengiktiraf sumbangan dan meraikan seramai 68 orang staf UMP yang mencapai 20 tahun berbakti di universiti.

Dalam pada itu, cakna dengan nasib mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria, UMP turut melancarkan Tabung Kemanusiaan UMP untuk Turkiye dan Syria.

Bersempena itu juga turut berlangsung pelancaran Inisiatif Kelestarian UMP bagi amalan gaya hidup sihat dan budaya lestari dalam kampus bagi menyokong Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) dan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Hadir sama dalam program Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Kamal Zuhairi Zamli, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) yang menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed, Pendaftar/Ketua Pegawai Operasi, Saiful Bahri Ahmad Bakarim dan barisan pengurusan universiti.

Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri

Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit