Skip to main content

Pameran Terbesar KPTN `Jom Masuk IPT’ salur maklumat pendidikan

Strategi pelaksanaan Karnival Pendidikan Tinggi Negara ( KPTN) `Jom Masuk IPT’ yang bersifat turun padang mendekati kumpulan sasar di setiap negeri secara langsung membolehkan pelajar dan orang ramai mengetahui maklumat yang tepat mengenai peluang pendidikan tinggi dan latihan kemahiran yang sesuai untuk pendidikan tinggi mereka.

Karnival mendapat sambutan apabila lebih 16 ribu pengunjung memenuhi Kompleks Sukan Universiti Malaysia Pahang (UMP) di Gambang pada hari pertama penganjuran. KPTN adalah program bermaklumat dengan mensasarkan pengunjung mengambil peluang mendapatkan maklumat tepat dan terkini mengenai peluang pendidikan tinggi, akreditasi dan pembiayaan bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan setaraf di peringkat pengajian program asasi, diploma, ijazah pertama di universiti awam dan swasta serta sijil dan Diploma Kemahiran Malaysia di Institut Latihan Kemahiran Awam (ILKA).

Hadir menyempurnakan perasmian Karnival KPTN Zon Pahang, Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah & Tugas-tugas Khas Negeri Pahang yang mewakili Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad. Hadir sama Ketua Setiausaha KPT, Tan Sri Noorul Ainur Mohd Nur dan Timbalan Naib Canselor ( Penyelidikan dan Inovasi), Prof Dato Dr Mashitah Mohd Yusof yang mewakili Naib Canselor UMP dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KPT, Dato’ Kamel Mohammad.

Menurut Dato’ Sri Syed Ibrahim, pelebaran akses pendidikan tinggi dan Latihan dan Pendidikan Teknikal dan Vokasional ( TVET) ini bakal menyediakan generasi pewaris yang berpengetahuan dan mahir yang akan merealisasikan aspirasi Transformasi Nasional pada tahun 2050 kelak.

“Kerajaan Negeri Pahang sentiasa menyambut baik sebarang usaha yang menyumbang secara positif dan konstruktif bagi maksud tersebut dan terbuka untuk bekerjasama dengan pelbagai kementerian, jabatan dan agensi kerajaan, pihak swasta atau NGO bagi melaksanakan program-program seumpama ini,” katanya di Kompleks Sukan UMP Gambang.

Selain itu, pengunjung juga berpeluang berkongsi pengalaman bersama jurutera Malaysia yang melakar sejarah dalam pembinaan Menara Jam Abraj Al-Bait di Mekah, Datuk Ts. Wan Nazri Wan Aria dalam Sesi Bual Bicara bersempena KPTN 2018 ‘Jom Masuk IPT’ anjuran KPT dan UMP.

Penganjuran karnival yang berlangsung pada 3 dan 4 Mac 2018 ini mensasarkan pelajar sekolah menengah, lepasan diploma dan setaraf, ibu bapa, guru, komuniti setempat merebut peluang menyambung pengajian tinggi serta pencapaian pendidikan tinggi di Negara ini.

Sementara itu, bagi Prof Dato Dr Mashitah berkata ianya juga sebagai hebahan kepada calon-calon pelajar mengenai kemasukan ke institusi pendidikan tinggi (IPT) seluruh negara bagi sesi kemasukan 2018/2019 serta merupakan platform yang memberi kemudahan kepada orang ramai bagi mendapatkan maklumat program akademik yang ditawarkan.

Pempamer melibatkan penyertaan daripada semua 20 UA, IPT terpilih, pembiaya pendidikan dan lain-lain agensi berteraskan pendidikan. Memeriahkan program UMP mengadakan aktiviti Larian Fun Run `Jom Masuk IPT’, program Street Science@ Gallery, Empower Edu Tour, persembahan kebudayaan, pameran, gerai keusahawanan dan banyak lagi.

Lebih menarik pelajar berpeluang berkongsi pengalaman kesukarelawan bersama Alumni Yayasan Sukarelawan Siswa, Mariani Tan Hajir Tan dan Pengurus Kanan (Pengurusan Operasi & Penyelenggaraan) Malaysia Rail Link Sdn. Bhd, Tariq Umar Mohamed. Turut serta alumni UMP, Mohd Najib Razali yang kini merupakan Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Kimia & Sumber Asli akan berkongsi dalam menghasilkan produk G-Treat iaitu formulasi bahan semula jadi untuk rawatan sisa air berminyak dari industri sehingga terpilih sebagai finalis Skim Permulaan Usahawan Bumiputera (Superb) kelolaan pihak Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) tahun lalu.  

UMP juga telah menerima seramai 89 pelajar Tingkatan 6 Atas dan Tingkatan 5 dari 19 buah sekolah menengah dari Daerah Pekan dan Kuantan untuk satu program perkampungan menara gading yang dinamakan Projek Semaian Subur bagi membimbing mereka membuat pemetaan hala tuju akademik berdasarkan informasi yang mereka perolehi daripada KPTN kali ini.

Turut menerima manfaat membabitkan seramai 160 orang murid tingkatan 5 daripada 5 sekolah menengah di bawah Edutour, iaitu salah satu daripada Prohram empower Akademik 2018 yang merupakan program usahasama dengan Wilayah Pembangunan Ekonomi Pantai Timur (ECERDC). Sehingga kini seramai 10,915 murid tingkatan 5, tingkatan 3 dan Tahun 6 sekitar daerah Kuantan, Pekan dan Bera yang dipilih daripada sekolah rendah orang asli  dan daripada golongan B40 mengikuti program pengukuhan pembelajaran akademik.

Beberapa aktiviti lain turut dijadualkan sebagai pengisian KPTN 2018 antaranya   pengisian UPU online, pameran sains dan inovasi, pembiayaan pendidikan menerusi ceramah serta booth Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) serta memberi informasi berbentuk interaktif kepada para pengunjung karnival, khususnya para pelajar sekolah menengah berkaitan UPU Online serta beberapa program di bawah inisiatif KPT seperti 2u2i, UMAR, CEO Faculty dan ICGPA. 

 

Reports by:
Nur Laila binti Afandi