Skip to main content

Pasangan rusa peliharaan UMP lahir anak kedua

Pekan 23 April – Pasangan rusa dikenali sebagai Pekan dan Chini yang dipelihara di Mini Deer Park dalam kampus Universiti Malaysia Pahang (UMP) di Pekan kini melahirkan anak kedua pada 22 April, tepat jam 7.00 pagi dengan berat 7 kg selepas kelahiran anak pertama pada Jun tahun lalu.

Pada tiga tahun lalu UMP telah menerima pasangan Rusa Bintik atau dikenali dengan nama Saintifik Axis-Axis sumbangan daripada Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) sebagai usaha menjadikan universiti sebagai  pusat pelancongan pendidikan  (Edu-Tour). Projek ini merupakan salah satu daripada 30 komponen Strategi Pemantapan Serambi-Bandar Pekan-Kuala Pahang.  

Menurut Ketua Unit Kelestarian & Penghijauan Kampus UMP, Pusat Pembangunan dan Pengurusan Harta (PPPH), Ts. Mohd Nurulakla Mohd Azlan kehadiran pasangan rusa ini  menjadi daya tarikan kepada pengunjung memandangkan ia terletak berdekatan laluan pintu masuk UMP dan laluan ke Kuala Pahang.

Katanya, rusa merupakan haiwan ternakan yang mudah membiak dan kaedah menternak rusa bukanlah sesuatu yang sukar kerana haiwan itu tidak perlu mempunyai penjagaan yang rapi.

“Rusa ini kami hanya memberi makan tiga kali sehari. Makanan utama rusa ini adalah palet yang kaya dengan nutrisi bagi menjamin kesihatannya. Selain itu rusa turut  diberi makanan dari sumber tumbuhan di dalam UMP seperti daun pokok Akasia dan  rumput Napier,” katanya.

Kebiasaannya ia memerlukan sekitar 10-15 kg daun pokok Akasia dan rumput Napier. Malahan di sekitar UMP Pekan terdapat lebih 2000 pokok Akasia dan pada masa yang sama rumput Napier juga turut ditanam di dalam kawasan UMP.

Dalam pada itu, kandang rusa dibersihkan seminggu sekali bagi menjamin keselesaan rusa-rusa ini di kandang. Pihak universiti sedang dalam perancangan untuk meluaskan lagi kawasan ini selain menambah baik kandang rusa yang sedia ada.

Pihaknya mendapat kerjasama baik daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pahang yang diketuai oleh Dr. Khairul Anuar Muhamad yang merupakan Pegawai Veterinar Bahagian Kesihatan Veterinar bagi memantau anak serta ibu rusa dalam keadaan sihat.

UMP sentiasa menitik beratkan keseimbangan dalam teknologi bagi menjamin kehidupan flora dan fauna bagi menjadikan universiti ini sebagai kampus lestari.  

Disediakan oleh Nor Salwana Mohd Idris daripada Unit Perhubungan Awam PNC.

 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri