Skip to main content

Patuhi SOP, pelajar UMP berpeluang pulang ke kampung sambut Aidilfitri

PEKAN, 4 Mei 2021 - Sehingga kini, Universiti Malaysia Pahang (UMP) terima permohonan daripada  kira-kira 1,800 pelajarnya daripada kawasan PKPP, PKPB dan PKP untuk pulang ke kampung halaman bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri yang akan menjelang tiba tidak lama lagi. 

Namun, pelajar dari negeri Sarawak dan pelajar yang berada di lokaliti PKPD tidak dibenarkan pulang. 

Ia selaras dengan Kenyataan Media oleh Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad dan Mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang telah diadakan pada 28 April 2021 yang telah bersetuju untuk membenarkan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) pulang ke rumah masing-masing sempena cuti Hari Raya Aidilfitri kecuali negeri Sarawak.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dato’ Dr. Yuserrie Zainuddin yang mengetuai Task Force Pengurusan Pelajar (Norma Baharu) berkata, pihak pengurusan UMP juga telah bersetuju menetapkan mekanisme kawalan iaitu pergerakan pelajar dilaksanakan secara berfasa bagi memastikan pergerakan pelajar terkawal. 

“Para pelajar turut diberi pilihan sama ada pulang ke kediaman masing-masing atau kekal berada di kampus sempena cuti perayaan tersebut. 

“Kebenaran ini adalah selaras dengan kelonggaran yang diberikan oleh MKN sebelum ini kepada sektor pendidikan. 

“Tarikh yang ditetapkan bagi pergerakan pulang ke rumah masing-masing berdasarkan tiga kaedah pergerakan pulang pelajar iaitu menggunakan kenderaan sendiri atau dijemput oleh ibu bapa/penjaga atau pun menggunakan kenderaan yang diselaraskan oleh UMP,” katanya. 

Bagi pelajar yang pulang menggunakan kenderaan sendiri katanya, mereka dibenarkan memandu kenderaan sendiri dengan surat kebenaran yang dikeluarkan oleh UMP bermula 7 hingga 12 Mei depan dan dijangka kembali ke kampus semula pada 15 hingga 20 Mei. 

“Pelajar tidak dibenarkan menggunakan kenderaan awam kecuali perkhidmatan penerbangan.

“Selain itu, bagi pergerakan ibu bapa/penjaga pelajar yang melibatkan keperluan merentas daerah atau negeri perlu membawa bersama surat pelepasan perjalanan rentas daerah/negeri atau pulang semula ke kampus yang dikeluarkan oleh UMP.  

“Mereka boleh memulakan perjalanan bermula 7 hingga 12 Mei depan dan kembali ke kampus semula pada 15 hingga 20 Mei 2021,” katanya. 

Tambah beliau lagi, manakala mereka yang menggunakan kenderaan yang diselaraskan oleh UMP, pengangkutan akan disediakan namun jumlahnya agak terhad. 

“Masa perjalanan dan pusat hentian bas bagi setiap negeri adalah berdasarkan ketetapan pihak UMP. 

“Pergerakan akan bermula pada 7 hingga 11 Mei  dan kembali semula ke kampus pada 16 hingga 20 Mei 2021,” ujarnya. 

Profesor Dato’ Dr. Yuserrie turut mengingatkan hanya pelajar sedia ada, pelajar yang sedang menjalani latihan industri dan pelajar yang telah dikenal pasti oleh pihak UMP di bawah kategori pelajar berkeperluan enam kategori sahaja yang dibenarkan kembali ke kampus sempena cuti Aidilfitri ini. 

“Pelajar sepatutnya mengambil peluang sebaiknya untuk bersama keluarga dan sentiasa mematuhi SOP semasa berada di kampung bagi membendung penularan Covid-19 yang masih menular di negara kita,” katanya. 

Bagi para pelajar yang memerlukan keterangan lanjut, boleh menghubungi Bilik Gerakan UMP di talian 09-549 3333 (UMP Kampus Gambang) dan 09-424 6999 (UMP Pekan) untuk mendapatkan sebarang khidmat nasihat dan prosedur yang berkaitan.

Disediakan Oleh : Mimi Rabita Abdul Wahit, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC) 

Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit