Skip to main content

Pejabat SUARA UMP sumbang 63 buah buku ke Perpustakaan UMP

Pekan, 26 Ogos 2020 - Bagi membangkitkan momentum sambutan Hari Kebangsaan sempena kemerdekaan ke-63, Pejabat SUARA Universiti Malaysia Pahang (UMP) telah menyumbangkan sebanyak 63 buah buku terbitannya kepada Perpustakaan UMP.

Sumbangan buku-buku tersebut telah diserahkan oleh Pengarah Pejabat SUARA UMP, Ts. Dr. Muhamad Mat Noor kepada Ketua Pustakawan, Azman Abdul Rahim dalam majlis ringkas yang berlangsung di UMP Pekan.

Antara buku-buku yang disumbangkan untuk koleksi perpustakaan ialah buku Meja Kopi, Buku Konvokesyen, Jurnal, dan Buku Ilmiah.

Penyerahan 63 buah buku ini juga merupakan simbolik sempena sambutan kemerdekaan Malaysia yang ke-63 tahun.

Menurut Azman, pihak Perpustakaan amat mengalu-alukan sumbangan buku-buku daripada Pusat Tanggungjawab (PTJ).

“Perpustakaan bukan sahaja merupakan tempat penyimpanan, tetapi penyebaran ilmu termasuklah penerbitan daripada UMP.

“Pada masa hadapan, aspek pendigitalan akan turut diperkenalkan di Perpustakaan UMP. Semua bahan bercetak akan dibuat dalam bentuk digital.

“Ini adalah untuk memudahkan para pengguna mengakses dan memelihara bahan-bahan tersebut.

“Apabila pihak luar diberikan akses, sitasi UMP boleh meningkat dan sekali gus dapat menguar-uarkan lagi buku-buku terbitan UMP,” ujar beliau.

Jelas beliau lagi, Perpustakaan akan membantu dari segi penyimpanan, penyebaran, dan juga pengkatalogan.

“Perpustakaan hanya memerlukan tiga salinan sahaja iaitu untuk Perpustakaan di Pekan dan Gambang dan juga untuk arkib.

Manakala menurut Ts. Dr. Muhamad pula, Perpustakaan dan Pejabat SUARA UMP (sebelum ini dikenali sebagai Penerbit UMP) tidak boleh dipisahkan.

“Pejabat SUARA UMP merupakan bahagian yang menerbitkan buku, manakala Perpustakaan pula berfungsi sebagai tempat menyimpan karya budaya hasil masyarakat seperti karya cetak dan digital.

“Sumbangan buku-buku ini perlu dijadikan budaya oleh semua warga UMP kerana pengumpulan bahan terbitan UMP ini juga adalah bagi tujuan memastikan bahawa semua penerbitan buku dapat direkodkan dengan baik.

“Saya juga berharap agar Perpustakaan UMP dapat memelihara khazanah ilmu ini dengan baik dan dipergunakan untuk keperluan pengguna dalam usaha untuk memupuk budaya membaca ke arah kecemerlangan negara,” katanya.

Disediakan Oleh: Safriza Baharuddin dan Nur Hartini Mohd Hatta, Pejabat SUARA UMP

Reports by:
Safriza binti Baharuddin