Skip to main content
Pelajar diberi pilihan pulang beraya di kampung atau kekal di kampus menjelang Aidilfitri

Pelajar diberi pilihan pulang beraya di kampung atau kekal di kampus menjelang Aidilfitri

KUANTAN, 6 Mei 2021 - Berikutan pengumuman Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang membenarkan pelajar institusi pendidikan tinggi (IPT) yang kini berada di kampus dibenarkan pulang ke rumah masing-masing bersempena cuti Hari Raya Aidilfitri kecuali bagi Sarawak memberikan reaksi berbeza bagi setiap pelajar. 

Ada yang membuat keputusan untuk pulang berhari raya di kampung halaman namun terdapat segelintir yang memilih untuk berhari raya di kampus sahaja.  

Menurut Yang di-Pertua MPP, Muhammad Hisyamuddin Abdul Aziz, pengumuman ini memberikan kelegaan kepada para pelajar membolehkan mereka menyambut Aidilfitri bersama keluarga tersayang terutama kepada pelajar yang sudah lama berada di kampus dan tidak pulang ke kediaman masing-masing.  

“Universiti telah menetapkan tiga cara pergerakkan iaitu dengan menaiki kenderaan persendirian, ibu bapa ambil dan kenderaan universiti,” katanya.

Pihaknya turut mengucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan UMP atas keprihatinan dalam membantu tadbir urus pengurusan pulang pelajar ke kampung halaman bagi menyambut cuti perayaan Aidilfitri. 

Beliau sendiri akan pulang beraya bersama keluarganya di Melaka setelah selesai urusan membabitkan operasi pergerakan pelajar pulang ke kampung.

Muhammad Hisyamuddin menasihatkan pelajar yang pulang berhari raya di kampung bersama keluarga tersayang agar jangan terus leka dan alpa serta terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP), amalkan penjarakkan sosial dan kawalan kendiri yang ketat seperti contoh kerap membasuh tangan dan memakai pelitup muka walau di mana berada. 

“Pelajar juga perlu memastikan sentiasa berada dalam keadaan sihat dan selamat untuk kembali semula ke kampus bagi mengurangkan risiko jangkitan di dalam kampus,” katanya. 

Bagi Nazian Tai Jee Yen Tai Nyuk Kiong, pelajar Ijazah Sarjana Muda Industri Bioteknologi, Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI) UMP berkata, beliau dan rakan sebiliknya Fairuz Harizah Ramlin telah berbincang dan membuat keputusan untuk kekal berada di asrama dan tidak pulang pada cuti hari raya nanti.

“Sememangnya semua pelajar mempunyai keinginan untuk pulang berhari raya bersama keluarga, tambahan pula saya anak sulung dari empat adik-beradik.

“Selepas arwah ibu meninggal dunia pada tahun 2016 telah menjadi tanggungjawab saya amat besar untuk membantu ayah dalam urusan sambutan hari raya,” katanya.

Menurut beliau yang merupakan anak kelahiran Lahat Datu ini lagi, faktor kos juga memainkan peranan penting yang perlu difikirkan. 

“Untuk balik ke Sabah memerlukan perbelanjaan hampir RM1,000. 

“Dalam pada itu, faktor keselamatan dan kesihatan juga penting, malahan sehingga kini saya telah menjalani empat kali swab test Covid-19. 

“Sebagai persiapan menjelang raya, saya juga telah membeli baju raya dan biskut raya secara dalam talian. 

“Memang sedih jika dikenangkan namun ia suatu pengorbanan demi pengajian,” katanya. 

Begitu juga dengan rakan sebiliknya, Fairuz Harizah Ramlan, 22, tahun ini merupakan kali pertama kali beliau tidak dapat beraya bersama keluarga. 

“Kebiasaannya setiap kali raya, saya akan membantu ibu membuat persipan raya. 

“Kenangan memasang langsir dan membuat kuih raya pastinya menggamit kerinduan.

“Nampaknya, tahun ini saya hanya beraya bersama rakan-rakan yang tinggal di kampus sahaja,” katanya yang berasal dari Tuaran, Sabah.

Lain pula kisahnya dengan Syahmi Rasid, 24, yang merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Teknologi Industri di Fakulti Pengurusan Industri (FPI). 

Walaupun tinggal di Muadzam Shah, Pahang namun beliau memilih untuk tidak pulang ke kampung berhari raya kerana perlu menyiapkan tugasan subjek di makmal.

“Alhamdulillah, kedua ibu bapa saya memahami situasi ini dan berharap dapat menyiapkan semua tugasan yang perlu dibuat di makmal sepanjang cuti perayaan ini,” katanya. 

Sementara itu, untuk persiapan raya, beliau telah membeli baju raya secara dalam talian. 

Jika berpeluang nanti beliau berhasrat menunaikan Solat Sunat Hari Raya bersama rakan-rakan.  

Bagi Mohd Amirul Ikhmal Yoda pula pelajar Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM) yang berasal dari Sandakan Sabah, faktor keselamatan diri berkemungkinan terdedah dengan virus Covid-19 menyebabkan beliau membuat keputusan untuk kekal di kampus.

“Keputusan tidak pulang ke kampung ini mengambil kira situasi PKP yang tidak menentu, berkemungkinan jika saya balik, saya menghadapi masalah untuk menghabiskan modul subjek pembelajaran iaitu subjek Integrated Design Project yang perlu disiapkan sebelum minggu akhir pengajaran selain tempoh kuarantin apabila tiba semula ke kampus,” katanya.

Beliau menasihatkan pelajar yang pulang ke kampung agar memanfaatkan masa bersama keluarga, jaga diri semasa pulang daripada kampus dan jangan meletakkan diri mereka dalam keadaan yang terdedah dengan jangkitan demi memastikan pelajar pulang ke kampus dengan keadaan selamat.

Sehingga hari ini, seramai 2,419 pelajar bakal pulang ke kampung secara berperingkat bermula hari ini membabitkan seramai 1,231 pelajar yang pulang dengan kenderaan persendirian, 660 pulang bersama ibu bapa dan 517 menaiki kenderaan universiti mulai 7 Mei hingga 11 Mei 2021. 

Mereka yang merupakan pelajar daripada enam kategori yang dibenarkan ini dijangka kembali ke kampus mulai 15 hingga 20 Mei depan bagi menyambung sesi pengajian pada semester ini. 

Disediakan Oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)

Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit