Skip to main content

Pelajar sambut baik Set Menu Kasih UMP

PAYA BESAR, 8 Julai 2022 - Universiti Malaysia Pahang (UMP) memperkenalkan set hidangan Menu Kasih UMP buat pelajar di dalam kampus seiring dengan hasrat Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) supaya Institusi Pengajian Tinggi (IPT) menyediakan jualan makanan di dalam kampus dengan setiap hidangan pada harga siling RM3.50 menerusi inisiatif Food Basket Siswa Keluarga Malaysia.

Inisiatif menu makanan berkualiti dengan harga serendah RM3.50 bagi setiap hidangan itu disambut baik pelajar dan menghargai usaha pihak universiti serta pengusaha kafeteria UMP bagi menjayakan usaha meringankan beban pelajar.

Menurut Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Dr. Yuserrie Zainuddin, hasil perbincangan Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) dengan  pihak kafeteria mendapati kafeteria bersedia menyediakan pakej menang-menang dalam kampus dengan menawarkan Set Menu Kasih berharga RM3.50 setiap hidangan.

“Cadangan menu Set Menu Kasih UMP ini membabitkan kafeteria terpilih di kedua-dua kampus UMP di Pekan dan juga Gambang,” katanya.

Pelajar sambut baik Set Menu Kasih UMP

Terdapat sembilan inisiatif atau kupon disediakan di bawah Food@Campus Keluarga Malaysia Keluarga UMP termasuk UMP Kasih, UMP Pek Kasih Sayang dan UMP Campus Pantry.

Lain-lain YaPEIM dan UMP Iftar (setiap hari Isnin dan Khamis) di Masjid UMP, UMP Food for All, UMP Bakul Prihatin Yayasan, UMP Traveller dan UMP Karentina

Bagi pelajar Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA), Muhamad Ilham Fariez, inisiatif ini adalah langkah terbaik dalam membantu pelajar.

“Pastinya semua pelajar UMP sangat gembira dan menyambut baik langkah yang diambil kerajaan ini yang membantu dalam meringankan beban kos sara hidup pelajar IPT khususnya golongan B40,” katanya.

Sementara itu, pelajar Kolej Kejuruteraan (KKEJ), Haze Chua Si Jie berkata, inisiatif itu memang sangat dinanti pelajar kerana ia dapat meringankan beban kos harian mereka.

"Program sebegini amat sesuai dan tepat pada masanya  bagi menjaga kebajikan pelajar yang kurang berkemampuan. 

“Harga RM3.50 yang dilaksanakan dengan beberapa pilihan menu adalah mencukupi untuk keperluan makanan harian pelajar di sini dan mereka berpuas hati,” katanya.

Beliau bagaimanapun menyarankan agar pelaksanaan program itu dibuat secara menyeluruh di dalam kampus memandangkan buat masa ini ia hanya dilaksanakan di kafeteria tertentu.

Pelajar IPT antara golongan yang turut terkesan akibat peningkatan kos sara hidup dan kenaikan harga barang. 

Justeru, langkah kerajaan memperkenalkan Menu Keluarga Malaysia di Kafeteria IPT sebagai usaha bagi menangani isu kenaikan kos sara hidup dalam kalangan pelajar universiti pastinya menggembirakan pelajar.

Disediakan oleh: Siti Nur Azwin Zulkapri, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri