Skip to main content

Penerbit UMP lancar 6 buah buku terbitan terkininya

PEKAN, 13 Januari 2022 – Penerbit Universiti Malaysia Pahang (UMP) memulakan tahun baharu kali ini dengan menganjurkan mini pelancaran enam buah buku terbitan terkininya di Majlis Aspirasi SUARA UMP Siri ke-6 yang disempurkan oleh Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automatif (FTKMA), Profesor Dr. Mahadzir Ishak bertempat di Executive Lounge, Perpustakaan UMP Pekan.

Bagi Profesor Dr. Mahadzir Ishak, majlis seperti ini walaupun kelihatan ringkas tetapi ia sebenarnya banyak menyuntik semangat kepada rakan-rakan yang lain agar bersama-sama menghasilkan karya atau buku yang bermanfaat untuk tatapan serta rujukan generasi yang akan datang.

“Selalulah ingat bahawa salah satu amalan yang kekal selepas kita meninggal dunia ialah ilmu yang bermanfaat yang kita ajar, sampaikan dan diamalkan oleh orang lain. 

“Sudah pasti, menulis buku adalah antara cara terbaik untuk memperoleh pahala yang berkekalan itu,” ujarnya.

Majlis serba ringkas dan santai itu agak istimewa apabila turut melancarkan sebuah kamus hasil kerjasama UMP dengan Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi Malaysia (AKEPT).

Penerbit UMP lancar 6 buah buku terbitan terkininya

Kamus yang berjudul Kamus Kompetensi AKEPT-UMP itu adalah hasil susunan Profesor Madya Dr. Ismie Roha Mohamed Jais, Allahyarham Dr. Mohamad Rozi Hassan, Haryani Abdullah, Muhamad Tasyrif Ghazali, Azian Mohmad Azman, Mohd Izzat Shafie@Mohd Alias, Siti Sakinah Mohtar dan Dr. Muhammad Ashraf Fauzi.

Kamus setebal 400 muka surat itu merupakan kamus kompetensi pertama di Malaysia yang diterbitkan di  dalam bahasa Melayu.

Sebahagian besar penyusun kamus itu terdiri daripada pegawai tadbir di Jabatan Sumber Manusia UMP dan mengambil masa hampir dua tahun untuk diterbitkan. 

Menurut Pengarah Penerbit UMP, Muhammad Azli Shukri, pelancaran buku kali ini agak unik kerana ia menampilkan variasi genre penerbitan yang melangkapkan profil Penerbit UMP untuk kekal releven dalam persaingan industri kandungan yang semakin mencabar.

“Kami tidak hanya cuba melakukan nilai tambah dalam pengurusan kandungan penerbitan akademik bahkan kami berhasrat untuk menerajui segmen gabungan penerbitan akademik - kreatif dengan lebih luas.

“Kami juga percaya, industri kreatif amat signifikan dalam memberi nafas baharu kepada kandungan akademik. 

“Justeru, gabungan pegawai tadbir, ahli akademik, borjuis industri, golongan kompetensi berbakat dan orang berpengaruh (influencer) media sosial perlu membentuk rantaian kerjasama yang produktif ini,” ujarnya. 

Pada masa yang sama juga turut dilancarkan buku Komik Survival Statics Part 1 hasil kreativiti Dr. Luqman Hakim Ahmad Shah, Dr. Azri Alias, Lee Giok Chui, Dr. Mohd Hazwan Yusof, Dr. Daing Nafiz Daing Idris, Dr. Nasrul Hadi Johari dan Dr. Azim Arshad. 

Tidak ketinggalan buku penyelidikan berjudul Aditif Makanan: Hukum Penggunaan Menurut Islam dan Isu-isu Halal Semasa hasil karya penulis prolifik Dr. Tuan Sidek Tuan Muda dan Profesor Madya Ts. Dr. Farhan Mohd Said turut dilancarkan.

Tiga buah buku lagi yang dilancarkan ialah Job Hunting & Get Hired hasil sentuhan penulis kreatif berbakat Dr. Wan Norfazilah Wan Ismail dan Ts. Dr. Shamsul Zakaria. 

Manakala dua buah buku lagi ialah buku modul penyelidikan kreatif berjudul Raspberry Pi Iot dan First Guide To Phyton Programming hasil penulisan Profesor Madya Ir. Dr. Nurul Hazlina Noordin dan Kamal Khalili Haji Abdullah.

Disediakan oleh: Ameerah Humaira' Mohamad Hilmi dan Nur Hartini Mohd Hatta, Penerbit UMP

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri