Skip to main content

Pentadbir universiti ‘arkitek’ pembaharuan universiti

PEKAN, 29 Mac 2021 - Universiti pada hari ini dilihat bukan sahaja sebagai institusi pengajian tinggi (IPT) tetapi sebagai sebuah kota ilmu dan penyelidikan yang juga bandar budi dan akal yang membentuk peradaban bangsa dan ketamadunan. 

Maka, pentadbir universiti perlu membentuk acuan pentadbiran universiti ke arah merealisasikan nilai-nilai ini. 

Kesan penularan pandemik Covid-19 yang melanda negara turut menuntut perubahan struktural dalam kehidupan hari ini. 

Situasi ini juga menuntut staf di universiti awam melakukan adaptasi serta bekerja dalam suasana norma baharu. 

Menurut Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, saban tahun para pegawai tadbir dan iktisas di universiti awam (UA) melalui Majlis Persatuan Pentadbir Universiti Awam (MASTI) memperjuangkan pelbagai agenda pembangunan profesional demi kebajikan dan kesejahteraan ahlinya. 

“Pada masa ini, terdapat seramai 93,638 iaitu 5.85 peratus daripada jumlah penjawat awam terdiri daripada warga UA dan kira-kira 9,652 atau 10.3 peratus adalah terdiri daripada pentadbir profesional. 

“Kerajaan amat menitikberatkan engagement antara pembuat dasar dan pelaksana dasar lebih-lebih lagi bersama persatuan gabungan atau NGO. 

“Pelbagai inisiatif yang ingin dilaksanakan oleh kerajaan perlu melalui libat urus daripada pihak yang berkepentingan bagi mendapatkan gambaran yang jelas,” katanya yang berucap merasmikan Konvensyen Pentadbir Universiti Awam Malaysia Kali Ketiga secara dalam talian. 

Hadir sama Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Profesor Dato’ Dr. Nor Aieni Mokhtar, Pengarah Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi Malaysia (AKEPT), Profesor Dr. Nordin Yahaya, Presiden MASTI, Yang Mulia Raja Shah Erman Raja Arifin dan Timbalan Presiden MASTI , Mohd Raizalhilmy Mohd Rais yang juga merupakan Presiden Persatuan Pegawai Tadbir dan Iktisas  (PPTI).

Pihaknya menyanjung tinggi sebarang pandangan dan idea dalam memberikan inti pati yang terbaik agar sesuatu dasar yang dilaksanakan mencapai objektif. 

Dalam masa yang sama pihaknya menyokong usaha MASTI dalam mengiktiraf kecemerlangan para pentadbir universiti yang mencapai tahap kompetensi yang tinggi dalam bidang kepakaran masing-masing untuk terus memacu kegemilangan tadbir urus universiti.

Seramai 28 pentadbir bakal menerima pengiktirafan sempena Majlis Anugerah Gemilang MASTI yang akan menobatkan para pentadbir universiti dalam mengungguli beberapa anugerah antaranya Anugerah Tokoh Pentadbir, Anugerah Pentadbir Terbilang, Anugerah Pentadbir Harapan dan Anugerah Pentadbir Gemilang MASTI serta Anugerah Khas MASTI.  

Sementara itu, sebanyak 23 artikel penulisan para pentadbir turut berjaya dihimpun dan dibukukan. 

Konvensyen yang bertemakan ‘Pentadbir Universiti: Pengukuhan Pentadbiran Organisasi Mendepani Cabaran Pengurusan Perubahan’ menyaksikan UMT sebagai hos bagi penganjuran dengan mendapat kerjasama  Jawatankuasa Pendaftar Universiti Awam dan Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi Malaysia (AKEPT). 

Lebih 800 orang peserta terdiri daripada pengurus profesional universiti awam menyertai konvensyen yang dijalankan selama tiga hari mulai hari ini. 

Pelbagai program turut diaturkan antaranya forum universiti berteraskan nilai yang akan menampilkan tiga orang tokoh dari dalam dan luar universiti di samping ucap tama oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Tan Sri Dato’ Seri Abdul Wahid Omar yang akan mengupas topik berkaitan kesiapsiagaan pentadbir universiti dalam mendepani cabaran pengurusan perubahan. 

Kemuncak pengisian konvensyen kali ini adalah ucap tama ‘Transformasi Pengurusan Perubahan Pentadbir Universiti’ yang akan disampaikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Mazlan Yusoff.  

Disediakan Oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC) 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit