Skip to main content

Penutupan sementara operasi Kampus UMP Gambang mulai 13 sehingga 26 November ini

PAYA BESAR, 13 November 2021- Universiti Malaysia Pahang (UMP) menutup sementara semua operasinya di UMP Kampus Gambang bagi membendung penularan wabak Covid-19 terutamanya di dalam kampus mulai 13 hingga 26 November 2021 ini.

Lanjutan daripada pengumuman ini, semua staf universiti di UMP Kampus Gambang hendaklah Bekerja Dari Rumah (BDR) sepenuhnya dan ini tidak termasuk perkhidmatan frontliners (petugas-petugas kesihatan dan bukan kesihatan yang menguruskan pembendungan dan pengawalan wabak COVID-19) seperti urusan kesihatan, keselamatan, penguatkuasaan, hal ehwal pelajar dan penyelenggaraan kampus.

Penutupan sementara operasi Kampus UMP Gambang mulai 13 sehingga 26 November ini

Namun demikian, kehadiran staf ke pejabat ini hanya dibenarkan bagi perkhidmatan perlu dan bagi proses kerja yang tidak boleh dilaksanakan secara BDR dan memerlukan keberadaan di pejabat.

Dalam pada itu, pengumuman yang dikeluarkan Jabatan Pendaftar dalam pematuhan Pekeliling Pentadbiran Bilangan 11 Tahun 2021 Penutupan Operasi Universiti Malaysia Pahang (UMP) Kampus Gambang Susulan Penularan Wabak Covid-19 ini hanya melibatkan pengoperasian UMP Kampus Gambang dan operasi di UMP Pekan berjalan seperti biasa.

Selaras dengan pekeliling ini juga, pihak pengurusan universiti memutuskan Pelaksanaan Kawalan Diperketatkan dan Larangan Keluar Masuk Pelajar (KDLKMP) serta-merta dikuatkuasakan di Residen Pelajar dan seluruh kawasan UMP Kampus Gambang akan diawasi serta dikawal sepenuhnya oleh Bahagian Keselamatan UMP.

Pihak Jabatan Hal Ehwal Pelajar juga telah mengeluarkan Pemakluman Rasmi Krisis Covid-19: Bilangan 23 Tahun 2021 Kawalan Diperketatkan dan Larangan Keluar Masuk Pelajar (KDLKMP) UMP Kampus Gambang bagi mengekang penularan di residen pelajar.

Menurut Profesor Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMP berkata, setiap warga UMP hendaklah sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan warga kampus.

“Bagi sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) pelajar yang berada di rumah dan aktiviti PdP untuk pelajar berkeperluan khas (enam kategori) yang berada di dalam kampus pada masa ini akan diadakan secara dalam talian sepenuhnya,” katanya semasa mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Task Force Pengurusan Pelajar Bilangan 20/2021.

Dalam pada itu, bagi aktiviti penyelidikan dan penggunaan makmal adalah juga tidak dibenarkan bagi semua pelajar kecuali dengan kelulusan khas merujuk dekan fakulti masing-masing. 

Sebarang perubahan ketetapan pelaksanaan akan dimaklumkan oleh pihak Jabatan Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa dan Jabatan Penyelidikan dan Inovasi dari semasa ke semasa.

Namun begitu bagi perkhidmatan perlu (essential service) seperti kesihatan, keselamatan,pos/ kurier, bekalan, makanan/kafeteria, perkhidmatan elektrik/tenaga/air/pembersihan dalam kampus/pembaikan kritikal beroperasi seperti biasa mengikut arahan ketua jabatan masing-masing.

Profesor Ts. Dr. Yuserrie menasihatkan pelajar agar sentiasa peka dengan status kesihatan masing-masing dan mendapatkan rawatan dan nasihat daripada petugas di Pusat Kesihatan Universiti (PKU) apabila bergejala.

Beliau mengharapkan para ibu bapa dan keluarga tidak perlu bimbang dengan keadaan anak mereka di dalam kampus dan pihak universiti sentiasa memastikan pelajar mematuhi peraturan dan garis panduan serta mengikut SOP yang ditetapkan.

Sebagai langkah kawalan tambahan, pihak universiti juga telah memutuskan bahawa pelajar dikehendaki melakukan Test, Report, Inform, Seek (TRIIS) bagi mengawal dan mencegah jangkitan dan penularan Covid-19 di dalam kampus.

Sebarang pertanyaan mengenai pelaksanaan KDLKMP, pelajar boleh menghubungi Bilik Gerakan UMP Kampus Gambang (09-549 3333) dan UMP Pekan (09-424 6999) dan bagi pertanyaan berhubung urusan akademik boleh menghubungi Pusat Pengurusan Akademik (PPA) di talian Kampus Gambang (09-549 2550) dan UMP Pekan (09-424 5252).

Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC) 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit