Skip to main content

Persatuan Wanita UMP sumbang RM10,000 untuk Tabung Yayasan UMP bantu golongan susah

KUANTAN, 31 Disember 2021 – Persatuan Wanita Universiti Malaysia Pahang (MATAHARI) telah menyerahkan sumbangan sebanyak RM10,000 kepada Yayasan UMP sebagai menyokong usaha mengumpul dana untuk Tabung dan Endowmen yang  berperanan membantu pelajar dan golongan yang memerlukan.

Sumbangan disampaikan oleh Presiden Persatuan Wanita UMP (MATAHARI), Datin Dr. Mazita Mokhtar kepada staf Jabatan Pendaftar, Saryati Md Nayan yang hadir mewakili pihak Yayasan UMP di AC Hotel, Kuantan baru-baru ini.

Menurut Datin Dr. Mazita, sumbangan ini diberikan berdasarkan komitmen pertubuhan untuk berganding bahu bersama UMP melalui Yayasan UMP untuk membantu pelajar dan golongan komuniti yang memerlukan.

“Hampir saban tahun pihak persatuan bekerjasama dengan Yayasan UMP dalam apa jua aktiviti terutamanya dalam melaksanakan tanggungjawab sosial (CSR). 

“Antara aktiviti yang telah dijalankan seperti sumbangan kelengkapan sekolah, bantuan bakul makanan kepada staf yang menjadi mangsa Covid- 19, membantu staf yang terkesan banjir serta golongan yang memerlukan bantuan,” katanya.

Selain itu, dengan jumlah ahli persatuan kini melebihi 200 orang, pihak persatuan berkeyakinan dapat untuk turut serta dalam aktiviti kesukarelawanan sekiranya diperlukan.

Beliau mengharapkan kerjasama ini dapat diteruskan demi menyampaikan bantuan bagi meringankan beban keluarga yang memerlukan sama ada melibatkan pelajar atau masyarakat setempat.

Manakala Ketua Eksekutif Yayasan UMP, Mohd Jamil Mohd Ja’afar  mengucapkan terima kasih kepada pihak persatuan yang sentiasa memberi sokongan dalam semua program anjuran Yayasan UMP.

“Insya-Allah, Yayasan UMP akan memanfaatkan sumbangan yang diberikan dengan sebaik-baiknya,” ujarnya.

Dalam pada itu, penganjuran Tok Gajah Virtual Challenge 2021 merupakan salah satu aktiviti yang dianjurkan dalam mengumpulkan dana di samping memupuk gaya hidup sihat dalam kalangan warga dan orang ramai.

Disediakan oleh: Nor Salwana Mohd. Idris, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)

Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris