Skip to main content

PKD Pekan, CITF tinjau persiapan UMP sebagai Pusat Pemberian Vaksin

PEKAN, 12 Julai 2021 - Universiti Malaysia Pahang (UMP) menerima kunjungan delegasi daripada Pejabat Kesihatan Daerah Pekan dan Petugas Pasukan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) bagi membincangkan persiapan awal untuk pembukaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di UMP Pekan.

Delegasi yang diketuai Penolong Pegawai Daerah Pekan, Shahree Anwar Mahmud itu disambut Ketua Pegawai Operasi/Pendaftar, Hazmin Aris bagi membuat tinjauan ke Dewan Serbaguna UMP yang bakal beroperasi sebagai PPV untuk pemberian vaksin kepada penduduk sekitar daerah Pekan.

Turut hadir ialah Pegawai Perubatan PKD Pekan, Dr. Muhammad Syiham Rosli. Menurut Shahree Anwar, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada pihak UMP dan mengalu-alukan kerjasama UMP dalam usaha mempercepatkan proses pemberian vaksin kepada penduduk daerah Pekan sekali gus imuniti kelompok dapat terbentuk dengan lebih cepat. 

“Dijangkakan seramai 200 orang penerima vaksin sehari apabila dewan ini mula beroperasi kelak.

“Namun, ia bergantung kepada sumber yang mencukupi termasuk untuk petugas kesihatan, sukarelawan dan paling penting bekalan vaksin yang diterima di negeri ini,” katanya dalam sesi perbincangan.

Ujarnya, usaha ini akan memperluaskan Program Outreach Vaksinasi (POV) COVID-19 bagi membentuk imuniti kelompok iaitu sebanyak 80 peratus rakyat perlu divaksin menjelang akhir Oktober nanti.

“Ia juga diharapkan dapat mempercepatkan pemberian vaksin sebelum tiba musim tengkujuh nanti,” katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Pusat Kesihatan (PKU) UMP, Dr Khairul Salleh Abdul Basit berkata, pihak UMP sedang merangka persediaan dari aspek logistik dan petugas.

Beliau mengharapkan pengalaman daripada petugas PKU dan sukarelawan dalam kalangan staf UMP yang telah berkhidmat di beberapa penempatan PPV di sekitar Kuantan dan Pekan dapat menyumbang terhadap kesiapsiagaan pusat ini yang dijangka akan memulakan operasi mulai 2 Ogos depan.

Disediakan Oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)

Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit