Skip to main content

PPV Integrasi@UMP sasar 1,000 pemberian vaksin sehari

PEKAN, 8 September 2021 - Universiti Malaysia Pahang (UMP) menjadi salah satu lokasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Integrasi menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) hasil kerjasama CITF Negeri Pahang, Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) dan Pejabat Kesihatan Daerah Pahang bagi meningkat dan mempercepatkan kapasiti vaksinasi penduduk di sekitar Pekan dan Kuantan.

Menurut Pengarah Pusat Kesihatan UMP merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras PPV UMP, Dr. Khairul Salleh Abdul Basit, UMP telah menjadi lokasi PPV Integrasi 8 sehingga 12 September 2021 bagi penerima vaksin dos yang pertama.

Ujarnya, sebanyak 1,000 unit vaksin yang disediakan setiap hari untuk penerima vaksin yang hadir. 

“Manakala penerima tidak boleh memilih jenis vaksin dan di sini dibekalkan vaksin jenis Pfizer.

“Pada kali ini, pihaknya mendapat kerjasama daripada Klinik Dr. Halim & Nor dalam menjayakan pemberian vaksin kepada masyarakat setempat. 

“Kemudahan PPV Pekan ini bukan hanya memberi kemudahan kepada warga UMP malah kepada masyarakat di sekitar untuk mendapatkan vaksin,” katanya. 

Menurut beliau lagi, kita dapat lihat, bukan sahaja penduduk kampung yang menerima suntikan ini, malah para majikan perindustrian dan perladangan turut mengambil peluang ini untuk membawa pekerja mereka untuk mendapatkan suntikan vaksin ini.

“Bagi melancarkan proses pemberian vaksin, setiap hari seramai 20 sukarelawan Inisiatif Malaysia Vaccine Support Volunteers (MyVac) dan 20 sukarelawan UMP membantu melancarkan petugas barisan hadapan dalam urusan penyampaian vaksin.

“UMP berbesar hati dapat bersama-sama menyumbang untuk negara dalam membantu negara  mencapai imuniti kelompok  dengan segera, “ katanya. 

Beliau turut maklumkan kriteria individu yang layak divaksinasi mestilah berumur 18 tahun ke atas, sihat tubuh badan, bukan kontak rapat kepada pesakit COVID-19 dan masih belum menerima janji temu vaksinasi di dalam aplikasi MySejahtera.

Pihaknya mengalu-alukan kepada semua staf, pelajar, keluarga dan individu  berhampiran yang masih belum menerima vaksin untuk hadir ke PPV Integrasi@UMP bertempat di Dewan Serbaguna UMP Pekan bermula jam 9.00 pagi hingga jam 5.00 petang sehingga Ahad ini. 

Selain itu, individu yang berminat juga boleh mengisi borang permohonan seperti di pautan yang diberikan iaitu https://bit.ly/PermohonanVaksinasiPPVUMP.

Disediakan oleh: Nor Salwana Mohd. Idris, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor 

 

Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris