Skip to main content

Prof. Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman dilantik TNC (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa) UMP

PEKAN, 15 Mei 2023 - Profesor Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman, 46, dilantik Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa) Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang baharu berkuat kuasa 15 Mei 2023.
 
Pelantikan Profesor Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa) oleh pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) ini untuk tempoh tiga tahun berkuat kuasa 15 Mei 2023  hingga 14 Mei 2026.

Prof. Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman dilantik TNC (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa) UMP

 
Beliau hadir tepat jam 8.45 pagi di pejabatnya hari ini dengan disambut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd. Rusllim Mohamed, Pendaftar UMP, Saiful Bahri Ahmad Bakarim, Pengurus Kanan Jabatan Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa (JHEAA), Hazmin Aris dan barisan pengurusan serta staf di Bangunan Canseleri Tun Abdul Razak Pekan.
 
Program diikuti dengan bacaan doa yang dibacakan oleh Pegawai Hal Ehwal Islam, Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN), Ustaz  Md. Abdu Sahak.
 
Pada masa yang sama turut berlangsung serahan tugas antara Profesor Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad dan Profesor Ts. Dr. Mohd. Rusllim yang menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa) sejak 1 November 2022 menggantikan Profesor Dr. Mohd. Rosli Hainin yang tamat lantikan berakhir pada 31 Oktober 2022.
 
Profesor Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad yang berasal dari  Parit, Perak  ini memiliki kelulusan Ijazah Kedoktoran (PhD) dalam jurusan Kejuruteraan, Massey University, New Zealand (2011), pengajian Ijazah Sarjana (2003) dan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia  (2000) daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor.
 
Beliau sebelum ini merupakan Profesor di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses dan merupakan Felo Penyelidik Utama Pusat Kelestarian Ekosistem dan Sumber Alam (Pusat Alam) UMP.
 
Lain-lain beliau juga berpengalaman sebagai Pengarah Kanan Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (RMC) Universiti Malaysia Kelantan (UMK) (2019 hingga 2022), Dekan Pengajian Siswazah UMP (2015), Timbalan Dekan Pengajian Siswazah UMP (2013 hingga 2015) dan berpengalaman luas dalam bidang akademik dan penyelidikan. 

Malahan, beliau juga pernah dilantik sebagai Profesor Pelawat di Ghanami College of Technology India. 

Beliau juga merupakan auditor kanan kepada beberapa badan audit akreditasi bagi program-program akademik (EAC dan ETAC) Lembaga Jurutera Malaysia, TTAC MBOT dan MQA yang juga telah menilai lebih 30 buah institusi pengajian tinggi (IPT) sepanjang menjadi auditor. 

Dalam pada itu, beliau juga turut terlibat sebagai Pemeriksa Luar (EE) bagi Program Akademik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) – Program Bachelor Kejuruteraan Bioproses dan Sarjana Kejuruteraan Bioproses, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) – Program Bachelor Teknologi Kejuruteraan Kimia (Bioteknologi Industri) dengan Kepujian dan  Universiti Teknologi Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) – Program Bachelor Teknologi Kejuruteraan Kimia (Bioteknologi) dengan Kepujian.
  
Aktif dalam bidang penerbitan dan penyelidikan, beliau berjaya mengkomersialkan produk Softgel Kapsul Madu Kelulut, Formulasi Sabun Herba dan Madu Kelulut, Lips Balm Madu kelulut, Syampu Formulasi Madu kelulut, Ubat gigi formulasi Madu Kelulut, Hot Balm Madu Kelulut dan Mineral Propolis Madu Kelulut.

Prof. Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman dilantik TNC (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa) UMP

Sementara itu, Naib Canselor UMP, Profesor Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin melahirkan rasa berterima kasih kepada Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin atas pelantikan ini. 

Ujarnya, semoga dengan pelantikan ini UMP akan terus cemerlang dan mampu meningkatkan pencapaian ke arah universiti teknologi terunggul. 
 
"Semoga dengan pelantikan ini, UMP terus cemerlang untuk menjadi sebuah universiti teknologi terunggul dalam menerajui bidang kejuruteraan dan teknologi terutamanya dalam memperkasa Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) aras tinggi di negara ini,” katanya yang turut menghargai sumbangan Profesor Ts. Dr Mohd. Rusllim yang menjalankan fungsi TNC (HEAA) dan jasa bakti Profesor Dr. Mohd. Rosli Hainin dalam pembangunan akademik dan antarabangsa.
 
UMP sentiasa memastikan pembentukan kurikulum akademik yang dihasilkan lebih inovatif dan menjadikan infrastruktur akademik lebih efisien berorientasikan keperluan industri dan menyumbang terhadap usaha memasyarakatkan teknologi di negara ini.    

Disediakan oleh: Mimi  Rabita  Haji  Abdul  Wahit, Bahagian   Komunikasi  Korporat, Jabatan Canseleri

Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit