Skip to main content

Prof. Madya Ts. Dr. Rusllim dilantik TNC HEPA UMP

PEKAN, 18 April 2022 - Ketua Pegawai Eksekutif UMP Advanced (UMPA), Profesor Madya Ts. Dr. Mohd. Rusllim Mohamed dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Malaysia Pahang (UMP) berkuat kuasa 18 April 2022 hingga 17 April 2025.

Profesor Madya Ts. Dr. Mohd. Rusllim menggantikan Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin yang sebelum ini menjawat jawatan tersebut sejak 21 Jun 2010. 

Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie kini merupakan Naib Canselor UMP kelima sejak dilantik pada 1 Mac 2022.
 
Profesor Madya Ts. Dr. Mohd. Rusllim juga merupakan Pengarah Sekretariat Teknologi dan Teknikal (TTAS) Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT).
 
Beliau memiliki kelulusan Ijazah Kedoktoran (PhD) dalam bidang Kejuruteraan Elektrikal dari UMP (2013) dan Sarjana Kejuruteraan Elektrikal dari Universiti Teknologi Tun Hussein Onn (UTHM) pada tahun 2004. 

Prof. Madya Ts. Dr. Rusllim dilantik TNC HEPA UMP

Manakala beliau mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) dalam Kejuruteraan Elektronik daripada University of Warwick, Coventry, United Kingdom (1999-2001) selepas menamatkan pengajian Diploma Kejuruteraan Elektrikal (Kuasa) daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM) pada tahun 1998.

Mempunyai pengalaman yang luas dalam pengurusan dan kepimpinan, beliau pernah memegang jawatan sebagai Pengarah Pusat Kualiti dan Pematuhan Akademik (PKPA) pada tahun 2020. 

Selain itu, beliau juga pernah dilantik sebagai Pengarah Inovasi dan Daya Saing Akademik (CAIC) pada tahun 2015 hingga 2019.

Profesor Madya Ts. Dr. Mohd. Rusllim juga pernah menerima Anugerah Kecemerlangan Akademik (AAU) 2013 (Kejuruteraan) dalam bidang pembelajaran dan pengajaran UMP.

Prof. Madya Ts. Dr. Rusllim dilantik TNC HEPA UMP

Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin berkata, pihak universiti amat berbesar hati dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad atas pelantikan ini.

"Semoga dengan pelantikan ini, UMP terus cemerlang untuk menjadi sebuah universiti teknologi terunggul dalam menerajui bidang Kejuruteraan dan Teknologi terutamanya dalam memperkasa agenda Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) aras tinggi di negara ini,” katanya.

Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Bahagian Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC) 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit